Oleh Hamdan Abu
21 November 2024, 09:36

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

(Sempena Hari Televisyen Sedunia 2024 pada setiap 21 November)

Keghairahan menonton televisyen (TV) daratan (terrestrial television) negara jiran seperti Thailand, Indonesia dan Singapura oleh sesetengah penduduk Malaysia bukanlah perkara baharu dan bukan juga menghairankan. TV daratan merujuk jenis TV yang isyaratnya dihantar melalui gelombang radio menerusi stesen pemancar bumi kepada antena  peralatan TV penerima di rumah di mana-mana sahaja isyarat boleh dicapai; atau juga menerusi peranti digital TV (Digital Terrestrial Television atau DTT Decoder) atau Myfreeview (MYTV). TV daratan adalah percuma. Ramai penduduk negara ini yang menetap di negeri yang bersempadan sering menonton siaran TV negara tersebut.

Antena yang digunakan di rumah untuk menerima siaran TV negara jiran biasanya berketinggian melebihi lima meter dari aras tanah.

Dalam teknologi penyiaran, gelombang Ultra High Frekuensi (UHF) yang digunakan bergerak mengikut garis penglihatan (line of sight) bergantung pada kuasa pancaran yang digunakan. Oleh itu, dengan voltan sederhana atau tinggi yang digunakan, siaran radio atau TV yang dipancarkan dari sesuatu stesen pemancar berkeupayaan merentas sesebuah negeri. Kedudukan stesen pemancar yang lebih tinggi seperti di puncak gunung boleh menyebabkan gelombangnya bergerak lebih jauh lagi merentas sempadan negara.

Sebagai contoh, jika sesuatu stesen memancarkan gelombang pada kuasa 10 watt ERP (Effective Radiated Power), siaran itu dapat diterima dalam jarak lapan hingga 20 kilometer. Bergantung pada lokasi atau ketinggian, stesen pemancar radio atau TV yang terletak di Gunung Ulu Kali, Genting Highland, jika memancarkan kuasa antara 20 kilowatt (kW) sehingga 50 kW memungkinkan siaran TV  terpancar  sejauh hingga 80 kilometer (km) atau 100 km. Sudah tentu, jika kuasa pancaran yang lebih tinggi digunakan, gelombangnya akan terpancar di kawasan yang lebih jauh dan berupaya merentas sempadan negeri dan negara.

Stesen pemancar RTM, Kajang, Selangor. Antena yang tinggi digunakan untuk pancaran ke Sabah dan Sarawak.

Sebagai perbandingan, siaran radio gelombang pendek WaiFM yang dipancarkan menerusi stesen pemancar RTM Kajang, Selangor menggunakan kuasa pancaran hingga 100 kW. Oleh sebab itu, siarannya dapat diterima  di Sabah dan Sarawak yang beribu-ribu kilometer jaraknya yang menjadi fokus siaran radio itu.  Bagaimanapun, beberapa peminat radio gelombang pendek menyatakan, WaiFM yang menggunakan frekuensi 11665 kHz dapat diterima di beberapa tempat di Amerika Latin seperti Mexico, Brazil dan Uruguay. Malah, carian melalui Internet menunjukkan WaiFM juga didengar di beberapa tempat lain seperti  Peru, Ecuador, Panama, Nicaragua, Argentina, Chile, Bolivia, Guatemala dan Paraguay walaupun isyaratnya agak lemah.

Jurutera dan ahli teknologi profesional yang berdaftar dengan  Lembaga Teknologi Malaysia (MBOT), Ts. Ir. Dr. Azlan Ab Aziz yang dihubungi penulis menjelaskan, “Di Malaysia, khususnya di kawasan sempadan, penduduk dapat  menerima dan menonton siaran televisyen dari negara jiran seperti Singapura, Thailand, Brunei dan Indonesia. Fenomena ini berlaku kerana sifat isyarat siaran TV daratan yang mampu merentasi jarak yang jauh, terutamanya dalam jalur UHF yang lazim digunakan di Malaysia dan negara-negara jiran.

Merentas Sempadan Negara

Dr. Azlan yang juga bekas Pensyarah Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah menambah, faktor utama yang membolehkan isyarat televisyen merentasi sempadan kerana pemancarnya diletakkan di lokasi yang tinggi seperti gunung atau bukit. Di negara ini, banyak pemancar televisyen terletak di kawasan berbukit atau puncak gunung kerana kedudukan yang tinggi itu membolehkan isyarat disebarkan ke kawasan yang lebih luas dan mampu melangkaui sempadan negara.

Jurutera dan ahli teknologi profesional, Pembantu Professor Ts. Ir. Dr. Azlan Ab Aziz.

Beliau memberikan contoh, pemancar yang terletak di Gunung Ledang di Johor atau Bukit Larut di Perak dapat menghantar isyarat televisyen sehingga ke kawasan yang agak jauh, termasuk ke negara jiran seperti Singapura, Indonesia dan Thailand.  Oleh itu, rancangan radio dan TV Malaysia yang dipancarkan dari Gunung Ledang misalnya banyak ditonton di beberapa kawasan di Indonesia seperti Kepulauan Batam, Riau, Karimun  dan Sumatera yang berada dalam jarak kira-kira 200km hingga 300 km.

Dr. Azlan yang ketika ini menjawat jawatan Pembantu Profesor dan juga Timbalan Pengarah Pejabat Perusahaan, Fakulti Kejuruteraan Bidang Program Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik, Universiti Teknologi Brunei (UTB) berkata, “Selain kedudukan pemancar di puncak gunung dan keadaan geografi, kuasa pemancar yang tinggi membolehkan isyarat TV daratan terpancar pada jarak yang lebih jauh dan kekal kuat walaupun merentasi sempadan negara.”

Perambatan Gelombang

Selain itu, beliau menambah, “Keadaan atmosfera tertentu seperti perambatan gelombang di kawasan troposfera boleh memanjangkan jangkauan isyarat TV dalam sela masa yang singkat. Pembiakan (propagation) ini berlaku apabila lapisan udara sejuk terperangkap di bawah lapisan udara panas, menyebabkan isyarat TV ‘melantun’ lebih jauh daripada biasa, menjadikan siaran rentas sempadan lebih mudah diakses.”

Dr. Azlan yang berasal dari Taiping, Perak berpendapat,

Kesamaan budaya dan bahasa, khususnya di kawasan sempadan juga mendorong minat menonton siaran TV asing kerana kandungan yang disiarkan bersesuaian dengan cita rasa penonton tempatan. Namun begitu, penerimaan siaran rentas sempadan ini kadangkala boleh menimbulkan isu pengawal seliaan, terutamanya jika kandungan yang disiarkan berbeza daripada norma tempatan atau mengganggu siaran domestik.

Selaku Jurutera dan Pakar Teknologi Profesional, Dr. Azlan juga seorang yang mahir mengenai frekuensi radio (yang digunakan dalam  teknologi komunikasi, radio dan TV) merupakan  Felo Penyelidik Pelawat, Pusat Penyelidikan Antena (ARC) Universiti Teknologi Mara (UiTM). Beliau juga bergiat aktif dalam pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan dipilih sebagai  Ketua Biro Pendidikan, Malaysian Amateur Radio Transmitters’ Society (MARTS). Sejak kira-kira 10 tahun lalu, beliau banyak membimbing penggiat radio amatur Malaysia untuk memahami konsep gelombang radio dan  juga kaedah membuat antena radio dua hala. 

Siaran Radio dan TV Thailand

Antara negeri di Semenanjung Malaysia yang boleh menerima siaran radio dan TV negara Thailand termasuklah Pulau Pinang, Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu. Selain itu,  kawasan di Timur Laut Perak seperti Pangkalan Hulu dan Gerik juga mendapat siaran negara Thailand secara percuma. Disebabkan Pengkalan Hulu hanya bersebelahan dengan daerah Betong di Thailand, siaran radio dan TV negara itu dapat diterima dengan jelas oleh penduduk tempatan tanpa perlu menggunakan antena atau peralatan tambahan.

Manakala penduduk di Utara Semenanjung seperti Kedah boleh menikmati hingga 30 saluran DDT menerusi pemancar radio dan TV Thailand di Wilayah Satun, Songkhla dan Patani. Beraneka program TV itu adalah seperti Nation TV, One HD, Thairath TV, TV 5, GMM 25, True4U dan lain-lain.

Siaran TV Singapura

Di Selatan Semenanjung pula, penduduk di kawasan di Johor Bahru, Pontian, Batu Pahat, Kota Tinggi, Kluang, Skudai, Nusajaya, Segamat, Muar dan lebih 25 lokasi lain dapat menerima kira-kira 20 siaran TV daratan dan digital Singapura selain siaran radio.

Penduduk di lokasi berkenaan dapat menonton rancangan seperti Chanel 8 yang dikendalikan oleh Mediacorp, Chanel Okto, Chanel U dan Suria yang kebanyakannya menayangkan drama bersiri dari Hong Kong, Macau, China, Taiwan, Indonesia dan juga Malaysia.

Siaran TV Indonesia

Selain itu, penduduk yang menetap di Johor Bahru, Skudai, Nusajaya, Pasir Gudang,  Pengerang, Masai, Bandar Penawar, Kukup, Pontian dan Tanjung Piai juga mempunyai kelebihan menikmati hampir 15 siaran TV Republik Indonesia (TVRI) yang dipancar dari Pulau Batam dan Riau, Indonesia.

Siaran TV itu seperti program Indo Siar, Mentari TV, CNN dan CNBC Indonesia, TVRI Nasional, TVRI Riau, TV Batam dan TV Nusantara bergantung pada kedudukan, arah dan jenis antena yang digunakan.

Begitu juga, siaran TV Indonesia dapat diikuti di sesetengah kawasan di pantai barat Melaka seperti Kesang, Merlimau, Umbai, Alai dan Ujung Pasir. Beberapa lokasi lain di pantai Melaka juga dapat menerima siaran yang dipancar dari Dumai, Indonesia yang berjarak hanya kira-kira 117 kilometer sahaja.

Manakala kawasan tertentu di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan pula dapat menerima siaran TV Brunei (RTB) Darussalam. Antaranya termasuklah siaran RTB Aneka, RTB Sukamaindera dan RTB Perdana.

Penduduk berhampiran Kalimatan di Sarawak seperti Lundu dan Bau, juga boleh menerima  stesen TV Republik Indonesia (TVRI) yang stesen pemancarnya di Kalimantan Barat. Siaran TV Indonesia itu dipancar dari Sanggau Ledo yang berjarak kira-kira 167 km ke Lundu. Siaran TVRI yang dipancar dari Balai Karangan  di Kalimantan Barat pula dapat diikuti oleh penduduk Tebedu dan Serian yang jaraknya  kira-kira 27 km dan 66 km.

Manakala, beberapa tempat di  Kalabakan, Merotai dan Serudong di Tawau, Sabah boleh menerima siaran TVRI yang dipancar dari Nununkan, Kalimantan Barat. Jarak Pulau Nununkan ke Tawau kira-kira 35 km mengikut laluan udara atau 19 batu nautika mengikut laluan laut.

Penduduk yang tinggal di kawasan sempadan yang ingin menerima siaran stesen negara jiran seelok-eloknya menggunakan antena luar jenis 37e yang sepadan dengan gelombang UHF pada julat 470 MHz – 860 MHz. Oleh itu, dapat dilihat banyak rumah di negeri yang bersempadan negara jiran menggunakan antena yang sangat tinggi. Memasang antena pada ketinggian sekurang-kurangnya enam meter dari aras bumi memudahkan menerima siaran yang lebih jelas.

Sementara itu, dikatakan sebanyak 18 stesen radio dan tiga stesen TV Malaysia dapat diakses dari beberapa wilayah Indonesia di Kalimantan Barat. Antaranya termasuklah stesen RTM TV1, TV2 dan TV3 dan stesen radio seperti Klasik FM, Sinar FM, IKIM FM, Sarawak FM, Era FM, WaiFM, dan Traxx FM.

Siaran TV Asing Boleh Menghakis Jati Diri Tempatan

Walau bagaimanapun terdapat faktor berbangkit yang disuarakan pihak tertentu berkaitan dengan saran TV negara asing yang ditonton oleh penduduk negara ini. Ada yang mengaitkan nilai nasionalisme atau jati diri terutama dalam kalangan anak-anak muda boleh terhakis pada masa jangka panjang kerana siaran asing tersebut tidak membawa aspirasi, nilai dan budaya penduduk negara ini.

Kekerapan menonton pada jangka masa panjang dan tidak pula menonton siaran tempatan, mungkin boleh menyebabkan hal penting dalam negara tidak sampai kepada golongan tersebut. Dasar-dasar baharu kerajaan mungkin tidak dapat diketahui atau tertinggal banyak maklumat penting seperti amaran cuaca, bencana dan sebagainya.

Siaran negara asing juga tidak memenuhi acuan penapisan tempatan. Sebagai contoh, klasifikasi filem yang ditetapkan oleh Perbadanan Filem Nasional Malaysia (FINAS) iaitu “U”, “P13” dan “18” tidak diguna pakai. Kesan jangka panjangnya dikhuatiri boleh memberikan kesan psikologi yang negatif kepada penonton khususnya para remaja atau yang di bawah umur. Pada masa sama, pengaruh negatif daripada pelbagai kandungan dalam talian yang ditonton juga sukar dibendung.

Pensyarah Kanan, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (FKPM), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Melaka, Siti Hajar Abd Aziz mengulas,

Terdapat beberapa kesan yang perlu diberi perhatian apabila penduduk  Malaysia menonton rancangan dari Thailand dan Singapura, khususnya dalam konteks pendidikan budaya dan pengaruh budaya asing.

Pensyarah Kanan, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (FKPM), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Melaka, Puan Siti Hajar Abd Aziz.

Menonton filem dari Thailand dan Singapura, contohnya boleh membuka mata penonton Malaysia terhadap kepelbagaian budaya yang wujud di rantau ini. Filem Thailand, sebagai contoh, sering menampilkan elemen budaya yang kaya seperti festival tradisional, adat resam dan makanan tempatan yang boleh memberikan penonton perspektif baharu tentang kehidupan di negara tersebut. Begitu juga dengan filem dari Singapura yang sering mengetengahkan masyarakat pelbagai kaum dan budaya di bandar metropolis serta memberikan pandangan tentang bagaimana masyarakat majmuk boleh hidup dalam harmoni.

Siaran TV Asing Mendominasi Budaya

Pensyarah FKPM itu menambah, “Namun begitu, terdapat juga risiko yang berkaitan dengan pengaruh budaya asing, terutama apabila penonton mula menerima nilai dan norma yang dipaparkan dalam filem tersebut tanpa refleksi kritikal. Perkara ini boleh membawa kepada cultural imperialism, sejenis dominasi budaya, di mana budaya tempatan mula dipinggirkan atau digantikan oleh pengaruh budaya dari negara lain. Sebagai contoh, filem asing tersebut mungkin mempromosikan nilai yang bertentangan dengan adat tempatan, seperti pergaulan bebas atau gaya hidup mewah yang mungkin tidak sesuai dengan norma budaya Malaysia.

Beliau menyarankan,

Penonton perlu menonton dengan kesedaran dan kefahaman tentang latar belakang budaya yang berbeza, serta sentiasa mengutamakan nilai tempatan dalam kehidupan seharian. Pada masa yang sama, industri media tempatan perlu berterusan menyokong dan mempromosikan kandungan yang mencerminkan dan memperkukuhkan identiti budaya Malaysia agar tidak tenggelam oleh pengaruh budaya luar. Dalam era globalisasi ini, kebijaksanaan dalam memilih dan menonton kandungan media adalah kunci untuk mengekalkan keseimbangan antara penerimaan budaya luar dengan pemeliharaan warisan budaya kita sendiri.

Siaran TV Analog RTM Ditamatkan

Siaran TV negara jiran yang dapat diterima oleh penduduk negara ini menjadi ketara sejak bulan September 2019 apabila RTM menamatkan pancaran TV analog. Sejak tarikh itu, semua stesen TV di negara ini memancarkannya menerusi format digital dan pengguna perlu memiliki peranti DVB-T2 untuk menerima siaran MYTV atau set TV digital untuk menerima siaran TV sedia ada.

Penamatan TV analog juga telah melengkapkan Projek Pendigitalan Penyiaran Nasional yang dilancarkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 6 Jun 2017, bagi membantu rakyat menikmati siaran TV yang lebih baik.  Siaran digital juga bertujuan untuk meningkatkan piawaian penyiaran TV yang lebih sempurna dan bermutu setanding dengan negara maju.

Sebagai rekod, Malaysia ialah negara ketiga di dalam ASEAN melakukan peralihan siaran TV analog kepada TV Digital pada 1 Januari 2019. Stesen TV di Sabah dan Sarawak termasuk Labuan merupakan stesen tempatan terakhir melakukan Analogue Switch Off (ASO) secara serentak pada 31 Oktober 2019.

Stesen Pemancar Radio dan TV

Dalam industri penyiaran dan telekomunikasi seperti dinyatakan di atas, stesen pemancar biasanya terletak di tempat tinggi seperti di gunung. Stesen pemancar perlu dipasang di tempat tinggi supaya isyarat atau gelombangnya tidak terhalang dan akan terus ke telefon, radio atau televisyen pengguna di mana-mana sahaja. Jika di sesuatu kawasan tiadanya bukit atau gunung maka, puncak bangunan tinggi menjadi alternatif.

Di Semenanjung Malaysia, antara lokasi pemasangan stesen pemancar radio dan TV termasuklah Gunung Pulai setinggi 654 meter dari aras laut dan Gunung Ledang (1276 m) di Johor; Gunung Telapak Buruk (1193 m) di Negeri Sembilan; Bukit Chin Chin (1793 m) Genting Highland di Pahang dan Bukit Larut (1200 m) serta  Bukit Kledang (808 m) di Perak.

Selain itu, bagi kawasan utara dan timur, stesen pemancar juga terletak di Gunung Jerai, Kedah (1207 m), Gunung Raya, Langkawi (881 m),  Bukit Kemuning, Terengganu (286 m) dan Bukit Bakar, Kelantan (606 m).

Di Sabah dan Sarawak antaranya  terletak di Bukit Karatong, Kota Kinabalu (848 m), Gunung Kinabalu, Ranau (4095 m), Gunung Silam Lahad Datu (884 m), Gunung Serapi, Kuching (911 m), Bukit Temuduk, Sri Aman (700 m) dan Bukit Lambir, Miri (468 m).

Antena digital 37e atau digelar antena tulang ikan.

Di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pula pemancar radio dan TV bertempat di bangunan tinggi seperti menara Kuala Lumpur (335 m). Manakala pemancar Pulau Labuan terletak  di Bukit Timbalai (65 m) yang dibina pada 2004.

Pengguna yang tinggal di kawasan rendah atau terlindung oleh bukit atau gunung mungkin sukar untuk menerima gelombang radio atau TV tempatan. Oleh itu,  pengguna yang berkenaan  boleh  mengatasinya dengan memasang piring satelit direct to home (DTH)  atau menggunakan antena “tulang ikan” UHF di luar rumah.

Kredit Foto: Frank Okay | Unsplash
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.