Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangMalaysia dan beberapa pasukan bola sepak gergasi Asia Tenggara dijangka akan menurunkan barisan kedua bagi mengharungi Kejohanan Bola Sepak ASEAN Piala Mitsubishi Electric 2024. Kejohanan dwitahunan yang digelar sebagai Piala Dunia Asia Tenggara akan dilangsungkan pada 8 Disember 2024 hingga 5 Januari 2025 kelak melibatkan sepuluh buah pasukan Asia Tenggara. Pasukan Timor Leste berjaya menjadi pasukan yang layak ke kejohanan ini setelah menewaskan pasukan Brunei Darussalam dalam perlawanan kelayakan yang diadakan pada Oktober 2024.
Kejohanan ini dilihat seperti sedikit hilang prestijnya apabila beberapa pasukan gergasi seperti Malaysia, Indonesia, Thailand dan Singapura dijangka akan menurunkan barisan kedua sama ada campuran pemain senior dan pemain muda atau pun pemain muda keseluruhannya. Pasukan ini terpaksa berbuat demikian kerana kejohanan ini tidak diadakan dalam kalendar Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) yang tidak mewajibkan semua kelab melepaskan pemain masing-masing untuk menyertai kem pasukan bola sepak kebangsaan. Tambahan pula, kebanyakan liga bola sepak Asia Tenggara sudah berubah mengikut kalendar FIFA yang diadakan secara silang tahun. Majoriti liga ini bermula pada pertengahan tahun 2024 dan berakhir pada April hingga Mei 2025 mengikut kalendar liga bola sepak Eropah.
Hanya satu pasukan gergasi Asia Tenggara, iaitu Vietnam akan menurunkan pasukan terkuat mereka memandangkan liga bola sepak itu akan dihentikan selama sebulan bagi memberikan laluan kepada pasukan kebangsaan mereka. Pasukan Indonesia pula tidak dapat memanggil pulang semua pemain warisan mereka yang berpangkalan di liga Eropah kerana tidak mendapat pelepasan daripada kelab masing-masing. Pasukan lain seperti Laos, Kemboja dan Myanmar dilihat akan menurunkan pemain terbaik mereka bagi menyaingi pasukan-pasukan gergasi Asia Tenggara yang lain.
Ketiadaan pemain ternama mengurangkan prestij kejohanan ini yang biasanya akan menjadi sasaran setiap pasukan kebangsaan untuk mencapai keputusan yang positif. Pasukan kebangsaan Malaysia turut tidak dapat menurunkan pemain-pemain kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) Football Club dan beberapa pemain Selangor Football Club (FC) yang terlibat dalam Liga Juara-juara Elit AFC (ACLE) dan Liga Juara-juara AFC 2 (ACL2) yang diadakan pada 3 hingga 5 Disember 2024 selain Liga Super Malaysia dan Piala Malaysia yang turut dilangsungkan pada bulan Disember 2024. Jadi, jurulatih Malaysia, Pau Marti Vicente dilihat akan memanggil pemain baharu bagi mengisi kekosongan pemain tetap yang biasa dipanggil untuk menyarung jersi kebangsaan.
Kejohanan Bola Sepak Asia Tenggara bermula pada tahun 1996 dengan nama Piala Tiger, mengambil nama penaja utama pada ketika itu. Kejohanan yang dianjurkan oleh Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) ini telah diadakan di Singapura, sebagai tuan rumah yang pertama. Sebanyak 10 buah pasukan beraksi dalam kejohanan ini dengan dibahagikan kepada dua kumpulan yang mengandungi lima pasukan. Thailand menjadi juara kejohanan buat kali pertama setelah menewaskan pasukan Malaysia dalam perlawanan akhir dengan jaringan 1–0. Gol kemenangan Thailand telah dijaringkan oleh pemain legenda Thailand, Kiatisuk Senamuang.
Kejohanan ini diteruskan untuk edisi kedua pada tahun 1998 dengan Vietnam menjadi tuan rumah. Jumlah penyertaan pasukan dikurangkan kepada lapan pasukan dengan enam pasukan yang gagal ke pusingan separuh akhir di Singapura dalam edisi sebelum ini perlu mengharungi pusingan kelayakan. Singapura yang perlu mengharungi pusingan kelayakan berjaya menjuarai kejohanan Piala Tiger setelah menewaskan pasukan tuan rumah, Vietnam dalam aksi akhir dengan jaringan 1–0.
Nama Piala Tiger kekal untuk tiga edisi selepas itu, iaitu edisi 2000, 2002 dan 2004. Edisi 2004 menjadi edisi terakhir menggunakan nama Tiger apabila syarikat pengeluar arak itu tidak lagi menjadi penaja. Untuk edisi 2002, format pertandingan berubah dengan dua negara akan menjadi penganjur bersama-sama, iaitu Singapura dan Indonesia yang dipilih sebagai tuan rumah peringkat kumpulan sebelum perlawanan kalah mati dilangsungkan di Indonesia. Thailand berjaya mengekalkan kejuaraan dengan menewaskan Indonesia dalam perlawanan akhir melalui penentuan sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat dengan jaringan 2–2. Thailand turut berjaya memenangi Piala Tiger 2000 selaku tuan rumah.
Nama kejohanan ini diubah pada tahun 2007 dan dikenali sebagai Kejohanan Bola Sepak AFF. Untuk dua edisi ini, terdapat sedikit perubahan format yang sudah dimulakan dalam edisi 2004 apabila perlawanan separuh akhir dan akhir diadakan secara timbal balik, manakala perlawanan peringkat kumpulan masih diadakan di dua buah negara yang berbeza. Untuk edisi 2004 itu, negara Malaysia dan Vietnam bersama-sama dipilih sebagai tuan rumah pada peringkat kumpulan.
Empat pasukan berjaya meloloskan diri ke peringkat separuh akhir, iaitu Malaysia, Singapura, Indonesia dan Myanmar. Pasukan Singapura berjaya memenangi kejuaraan itu buat pertama kali selepas Indonesia, dalam perlawanan akhir dengan agregat jaringan 5–2. Edisi 2004 turut menjadi edisi terakhir perlawanan penentuan tempat ketiga dan tempat keempat dilangsungkan kerana selepas itu tiada lagi perlawanan penentuan tempat ketiga dan keempat. Pasukan Malaysia menjadi pasukan terakhir yang memenangi tempat ketiga setelah menewaskan Myanmar dengan jaringan 2–1 yang dilangsungkan di Singapura.
Menginjak edisi 2008, syarikat pengeluar kereta terkemuka Jepun, Suzuki sudi untuk menjadi penaja kejohanan berprestij itu. Suzuki terus menjadi penaja kejohanan itu hingga edisi 2020 dan dikenali sebagai Piala Suzuki AFF. Vietnam berjaya merangkul kejuaraan pada edisi 2008 setelah menewaskan Thailand dengan agregat jaringan 3–2 sebelum mengulangi pencapaian itu dalam edisi 2018 setelah menumbangkan Malaysia dalam perlawanan akhir dengan agregat jaringan yang sama.
Malaysia berjaya memenangi kejuaraan Piala Suzuki AFF buat pertama kali dalam edisi 2010 setelah menewaskan Indonesia dalam perlawanan akhir dengan agregat jaringan 4–2. Kemenangan pasukan Malaysia ini telah menjadi titik perubahan kepada landskap bola sepak Malaysia yang telah dikritik teruk susulan prestasi buruk yang ditonjolkan oleh pasukan Malaysia dalam Kejohanan Piala Asia AFC pada tahun 2007. Ketika itu, Malaysia menjadi tuan rumah bersama-sama dengan tiga negara Asia Tenggara yang lain, iaitu Indonesia, Thailand dan Vietnam. Susulan kemenangan Malaysia itu, rakyat Malaysia tidak lagi segan menyarung jersi Malaysia ke mana-mana sahaja mereka pergi dan perjalanan bola sepak Malaysia turut menjadi bualan rakyat hingga kini.
AFF telah membuat perubahan format lagi dalam kejohanan itu pada edisi 2018 apabila perlawanan peringkat kumpulan diadakan kembali secara rentas negara. Sebanyak 10 pasukan akan dibahagikan kepada dua kumpulan dengan setiap pasukan akan menjadi tuan rumah sebanyak dua perlawanan dan menjadi pelawat untuk dua perlawanan lagi.
Format untuk perlawanan separuh akhir dan akhir masih dikekalkan. Perubahan format ini memberikan peluang kepada penyokong tuan rumah untuk datang memenuhkan stadium bagi menonton perlawanan pasukan masing-masing beraksi. Berbanding dengan format lama, stadium hanya akan penuh jika ada perlawanan yang melibatkan pasukan tuan rumah sahaja dan perlawanan lain menjadi hambar kerana kesukaran penyokong pasukan tersebut untuk hadir ke stadium.
Cuma untuk edisi 2020, Piala Suzuki AFF diadakan lewat setahun, iaitu pada tahun 2021 akibat pandemik COVID-19. Kejohanan itu turut diadakan secara berpusat dengan Singapura menjadi tuan rumah untuk semua perlawanan termasuklah perlawanan separuh akhir dan akhir. Thailand berjaya menjuarai kejohanan tersebut setelah menewaskan Indonesia dengan agregat jaringan 6–2. Kejohanan bola sepak AFF kembali semula ke format edisi 2018 untuk edisi 2022 dan 2024.
Bermula edisi 2022 dan 2024, Suzuki tidak lagi menjadi penaja utama. Sebuah lagi syarikat Jepun, Mitsubishi Electric bersetuju untuk menjadi penaja utama dan kejohanan itu berubah nama lagi kepada Piala Mitsubishi Electric AFF untuk edisi 2022. Untuk edisi 2024, kejohanan itu dikenali pula sebagai Piala Mitsubishi Electric ASEAN.
Sepanjang 14 edisi penganjuran, Thailand telah dinobatkan sebagai Raja Bola Sepak Asia Tenggara apabila berjaya merangkul kejuaraan sebanyak tujuh kali, diikuti oleh Singapura sebanyak empat kali, Vietnam sebanyak dua kali dan Malaysia memenanginya sekali. Saban edisi muncul nama-nama pemain yang berjaya mencuri tumpuan dalam kejohanan itu seperti Kiatisuk Senamuang, Teerasil Dangda dan Chanatip Songkrasin (Thailand); Bambang Pamungkas, Elie Aiboy dan Ilham Jaya Kesuma (Indonesia); Safee Sali, Safiq Rahim dan Safawi Rasid (Malaysia); dan Noh Alam Shah dan Shahril Ishak (Singapura).
Dengan ketiadaan beberapa pemain ternama untuk edisi 2024 dilihat akan menyuramkan sedikit kejohanan itu untuk edisi pada kali ini. Pihak AFF cuba menganjak jadual perlawanan yang pada asalnya bakal dilangsungkan dari 23 November 2024 hingga 21 Disember 2024 ke tarikh baharu supaya tidak bertembung dengan tarikh kelab-kelab bola sepak yang beraksi dalam ACLE dan ACL2.
Namun begitu, ketiadaan pemain-pemain ternama untuk beberapa pasukan seperti Malaysia dan Indonesia dilihat mampu memberikan impak negatif kepada prestij kejohanan bola sepak AFF itu sendiri. Untuk makluman, bagi edisi 2024, Malaysia diundi dalam kumpulan A bersama-sama dengan Thailand, Singapura, Kemboja dan Timor Leste. Indonesia pula diletakkan dalam kumpulan B merangkumi Vietnam, Laos, Filipina dan Myanmar.
Diharapkan untuk edisi seterusnya, pihak AFF dapat mengambil kira keperluan liga-liga utama Asia Tenggara yang semakin kompetitif dan semakin mengekori kalendar AFC dan FIFA. Mungkin kejohanan ini boleh dilangsungkan pada bulan Mei atau Jun seperti mana kejohanan Piala Dunia FIFA bagi membolehkan kejohanan berusia 28 tahun ini tidak hilang prestijnya pada masa hadapan.