Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangUndang-undang hak cipta memainkan peranan penting dalam melindungi hasil karya kreatif seperti tulisan, muzik, seni, filem atau apa-apa karya seni kreatif yang dihasilkan oleh pencipta di Malaysia. Akta Hak Cipta 1987 (Akta 332) sebagai contoh menjadi asas undang-undang yang memberikan hak eksklusif kepada pemilik karya untuk mengawal penggunaan hasil kreativiti mereka. Undang-undang ini bertujuan untuk memastikan pencipta mendapat manfaat sepenuhnya daripada karya mereka dan melindungi hak intelek daripada dieksploitasi oleh pihak lain tanpa kebenaran. Namun begitu, di sebalik perlindungan undang-undang ini, pelanggaran hak cipta masih menjadi isu yang sering timbul dan memberikan kesan buruk kepada pemilik karya.
Pelanggaran hak cipta berlaku apabila seseorang menggunakan karya yang dilindungi tanpa kebenaran, sekali gus mencabuli hak eksklusif tersebut. Pelanggaran hak cipta boleh terjadi dalam pelbagai bentuk, bergantung pada apa-apa yang disalin, berapa banyak yang diambil, dan bagaimana karya tersebut digunakan. Di sini, penulis meringkaskan beberapa jenis aktiviti pelanggaran hak cipta yang sering berlaku di dunia pada masa kini.
Penyalinan Keseluruhan (Copying of Whole Part of the Work)
Bentuk pelanggaran yang paling jelas ialah penyalinan keseluruhan karya. Contohnya, jika sebuah buku diterbitkan semula sepenuhnya oleh pihak lain tanpa kebenaran pemilik asal, tindakan ini dianggap sebagai pelanggaran hak cipta langsung. Sebagai contoh, sebuah syarikat percetakan mencetak semula novel terkenal tanpa mendapatkan kebenaran daripada penulis atau penerbit asal. Tindakan ini melanggar seksyen 13(2) Akta Hak Cipta 1987, yang memberikan hak eksklusif kepada pemilik untuk menghasilkan semula (reproduce) karya mereka.
Penyalinan Sebahagian (Copying Substantial Part of the work)
Penyalinan tidak semestinya melibatkan keseluruhan karya. Sekiranya seseorang mengambil sebahagian kecil daripada karya asal tetapi bahagian tersebut penting atau substantif, perkara ini juga dianggap sebagai pelanggaran hak cipta. Dalam kes ini, kuantiti yang diambil bukanlah satu-satunya faktor tetapi kualiti atau kepentingan bahagian yang disalin turut diambil kira. Sebagai contoh, jika seseorang mengambil dialog penting dari sebuah novel atau petikan unik daripada sebuah lagu untuk digunakan dalam iklan tanpa kebenaran, perkara tersebut tetap melanggar hak cipta.
Penyalinan Karya Terbitan (Derivative) yang Diambil dari Karya Asal (Original Work)
Pelanggaran juga boleh berlaku melalui penciptaan karya terbitan. Ini berlaku apabila seseorang mengambil karya asal dan membuat pengubahsuaian kecil (substantial amendments) seperti menukar beberapa perkataan, mengubah struktur ayat atau menambah elemen baharu tetapi tetap mengekalkan idea utama, plot atau elemen khas karya asal. Sebagai contoh, mengambil jalan cerita dan watak dari sebuah novel terkenal, lalu menulis versi “diubah suai” tetapi masih serupa dengan karya asal boleh dianggap sebagai pelanggaran. Dalam situasi ini, ujian “persamaan substantif” digunakan untuk menilai sejauh mana karya baharu itu menyerupai karya asal. Satu contoh nyata ialah penggunaan bahan muzik tanpa kebenaran. Bayangkan seorang pempengaruh media sosial menggunakan lagu popular sebagai latar belakang video mereka tanpa mendapatkan lesen hak cipta. Walaupun lagu tersebut hanya dimainkan selama beberapa saat, jika bahagian yang diambil itu ialah bahagian penting atau ikonik daripada lagu tersebut, tindakan itu tetap melanggar hak cipta.
Dalam kes filem pula, pelanggaran sering berlaku melalui pengedaran cetak rompak. Contohnya, apabila seseorang memuat naik filem baharu ke laman web penstriman haram tanpa izin, mereka bukan sahaja melanggar hak cipta penerbit tetapi juga mengakibatkan kerugian kewangan yang besar kepada industri perfileman.
Manakala di dalam karya sastera, pelanggaran hak cipta sering berlaku apabila bahagian penting daripada karya tersebut disalin tanpa kebenaran. Sebagai contoh, seorang penulis mungkin menyalin petikan puisi atau dialog daripada sebuah novel terkenal dan menggunakannya dalam karyanya sendiri, sama ada untuk tujuan komersial atau penerbitan peribadi. Walaupun hanya sebahagian kecil karya asal yang diambil, jika bahagian tersebut merupakan elemen penting seperti tema, gaya penulisan atau ekspresi kreatif, tindakan itu boleh dianggap melanggar hak cipta di bawah seksyen 13(2) Akta Hak Cipta 1987.
Tambahan pula, karya sastera juga sering menjadi mangsa cetak rompak melalui pengedaran salinan digital tanpa kebenaran. Sebagai contoh, apabila seseorang memuat naik salinan e-buku yang dilindungi hak cipta ke laman web perkongsian fail tanpa kebenaran pemilik atau penerbit asal, tindakan ini melanggar hak eksklusif untuk menerbitkan semula dan mengedar karya tersebut. Dalam banyak kes, cetak rompak e-buku ini memberi impak negatif kepada penulis dan penerbit, terutamanya dari segi pendapatan.
Satu lagi bentuk pelanggaran yang sering berlaku dalam karya sastera adalah apabila pelajar atau ahli akademik mengambil bahagian daripada karya sastera seperti esei atau kajian ilmiah dan menggunakannya secara haram tanpa memberikan kredit kepada penulis asal. Ini bukan sahaja melanggar hak cipta tetapi juga dianggap sebagai plagiarisme, yang mencabar integriti akademik.
Dalam kes seperti ini, pemilik karya boleh mengambil tindakan undang-undang untuk menuntut ganti rugi atau menghentikan penggunaan karya mereka secara tidak sah. Sebagai langkah pencegahan, mereka juga boleh menggunakan perkhidmatan seperti MyIPO untuk mendaftarkan karya mereka dan mendapatkan bukti pemilikan yang sah. Pelanggaran hak cipta dalam karya sastera, sama seperti dalam karya lain, merugikan bukan sahaja pemilik tetapi juga industri secara keseluruhan. Oleh itu, penting bagi semua pihak, termasuk pembaca dan pengguna, untuk memahami kepentingan menghormati hak cipta bagi memastikan dunia sastera terus berkembang dengan inovasi dan kreativiti yang asli.
Implikasi Pelanggaran Hak Cipta
Pelanggaran hak cipta mempunyai implikasi yang serius. Dari sudut ekonomi, hal ini boleh mengakibatkan kerugian besar kepada pencipta karya. Penulis, pemuzik atau pembuat filem yang bergantung pada pendapatan daripada karya mereka mungkin kehilangan peluang untuk mendapat keuntungan apabila karya mereka digunakan secara haram. Dari segi moral, pelanggaran hak cipta mencemar penghargaan (recognition) terhadap usaha dan kreativiti seseorang dalam nilai yang dihasilkan oleh pihak mereka.
Dari perspektif undang-undang hak cipta, pemilik hak cipta boleh mengambil pelbagai langkah untuk melindungi hak mereka. Antaranya termasuklah dengan mengeluarkan notis henti dan memberhenti (cease-and-desist), menuntut ganti rugi, atau mendapatkan perintah injunksi untuk menghentikan penggunaan karya yang melanggar hak cipta. Dalam sesetengah kes, pelanggaran yang lebih serius boleh menyebabkan tindakan jenayah dan hukuman berat dan juga boleh dilaporkan kepada pihak penguatkuasa, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.
Untuk mengelakkan pelanggaran hak cipta, pengguna perlu memahami batasan undang-undang dan menghormati hak pemilik karya. Mendapatkan kebenaran bertulis atau lesen penggunaan ialah langkah utama yang perlu diambil sebelum menggunakan karya yang dilindungi hak cipta. Bagi pemilik karya, pendaftaran dengan MyIPO ialah langkah penting untuk memberikan bukti sah pemilikan sekiranya berlaku pertikaian melalui pendaftaran pemberitahuan sukarela hak cipta (Copyright Voluntary Notification). Di samping itu, pemunya hak cipta dicadangkan untuk meletakkan teknologi seperti tera air digital (watermark) atau perisian pemantauan hak cipta (security monitoring) yang boleh digunakan untuk mengesan pelanggaran, terutamanya di platform digital.
Dalam dunia digital yang semakin canggih, pelanggaran hak cipta menjadi semakin sukar untuk dikawal. Namun dengan meningkatkan kesedaran tentang undang-undang hak cipta dan mewujudkan budaya menghormati hak intelek, kita dapat melindungi kepentingan pencipta karya sambil memastikan keadilan dalam industri kreatif. Hak cipta bukan hanya soal undang-undang, tetapi juga soal penghormatan terhadap usaha dan inovasi manusia.