Diterbitkan pada 3 Februari 2025, 17:04

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) merafak sembah menjunjung kasih atas Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVII Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar bersempena dengan pembukaan penggal keempat, Parlimen Kelima Belas pada pagi tadi yang turut menyentuh beberapa perkara yang melibatkan pendidikan negara. 

KPM sentiasa proaktif meningkatkan infrastruktur pendidikan bagi memastikan akses pendidikan yang berkualiti kepada semua murid. 

Menerusi Belanjawan 2025, Kerajaan MADANI meluluskan pembinaan sebanyak 44 buah sekolah, 11 pusat PERMATA yang dilengkapi dengan pusat didikan anak-anak autistik serta dua buah sekolah baharu bagi murid berkeperluan pendidikan khas (MBPK). 

Sebanyak RM2 bilion diperuntukkan untuk projek naik taraf dan penyelenggaraan sekolah seluruh negara merangkumi RM1 bilion untuk menyelenggara semua jenis sekolah termasuklah institusi pendidikan KPM, manakala, RM1 bilion lagi untuk menaik taraf dan pembangunan semula bangunan daif di sekolah terutamanya di Sabah dan Sarawak. Sebanyak RM100 juta turut diperuntukkan untuk membaik pulih kemudahan kantin dan surau di sekolah. 

Agenda Reformasi Pendidikan yang direncanakan oleh KPM sedang giat dijalankan pada setiap peringkat bagi memastikan pendidikan negara kekal relevan serta dapat menangani cabaran semasa dengan tuntas. Agenda ini memberikan penumpuan kepada enam fokus utama, iaitu digital, bahasa, literasi dan Pendidkan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta prasekolah. 

Selaras usaha memperkasakan pendidikan TVET, Kerajaan telah meningkatkan kadar Bantuan Geran Per Kapita (PCG) TVET sebanyak 15 peratus dengan kos keseluruhan berjumlah RM900 juta. Sebanyak RM1.2 bilion juga diperuntukkan kepada kolej vokasional dan sekolah menengah teknik seluruh negara yang menyediakan pendidikan kepada 77 ribu orang pelajar. 

Tumpuan KPM pada tahun 2025 terarah kepada pelan pembangunan pendidikan yang baharu bagi menggantikan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 dan persediaan bagi kurikulum persekolahan 2027. 

Program Generasi Madani (GenMADANI) pula dilaksanakan di sekolah-sekolah sebagai wadah untuk memupuk perpaduan serta membina karakter bangsa Malaysia yang beradab, berakhlak dan berintegriti. 

KPM akan terus berusaha untuk memastikan titah KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dilaksanakan demi penambahbaikan pendidikan negara dan kesejahteraan rakyat.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi