Diterbitkan pada 18 Februari 2025, 20:21

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Setelah dunia mulai reda daripada kes virus SARS-CoV-2 yang melanda negara pada tahun 2021, gaya pembelian dalam kalangan pengguna juga semakin berubah, iaitu daripada hanya secara bersemuka kepada kaedah secara dalam talian. Gaya jual beli ini telah memberikan impak besar terhadap kehidupan masyarakat pengguna berikutan pandemik COVID-19 yang mula melanda pada bulan Mac 2020.

Tambahan pula, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada bulan Mac tahun 2020 juga memberikan kesan kepada perniagaan kecil dan sederhana (PKS). Peniaga terbabit telah berhadapan dengan beberapa masalah yang berkaitan dengan operasi perniagaan yang menyebabkan pendapatan perniagaan mereka mulai merosot dengan ketara. Sebahagian daripada perniagaan pula tidak dapat bertahan tanpa sokongan kewangan atau bantuan daripada kerajaan.

Sewaktu PKP dilaksanakan, sesetengah pengguna mula mendapatkan barangan harian mereka dengan menggunakan platform digital untuk membeli barangan keperluan seperti pakaian, makanan dan pelbagai produk lain. Perubahan gaya hidup pengguna ini telah membina peluang baharu buat pengusaha PKS untuk memperkukuh operasi mereka secara dalam talian untuk terus berdaya saing.

Kaedah pembelian secara dalam talian telah mula berkembang dan kini menjadi gaya hidup baharu masyarakat pengguna untuk terus berkembang. Gaya pembeli sekarang yang mula mencari barang keperluan melalui pelbagai platform seperti Instagram, TikTok dan Facebook memudahkan mereka. Malah, gaya pembelian secara dalam talian ini tidak hanya berkembang di bandar-bandar besar sahaja, malah turut menarik minat pengguna luar bandar untuk sama-sama menggunakannya. Oleh itu, sebilangan besar pengusaha PKS telah berusaha untuk beralih daripada jualan harian biasa kepada platform digital dalam talian atau e-dagang.

Melewati situasi ini, pelbagai produk tempatan di sempadan Malaysia-Thailand disifatkan sebagai mampu menarik minat pelancong tempatan untuk berkunjung membeli-belah di premis PKS yang berskala kecil dan sederhana ini. Malah, perkembangan ekonomi selatan Thailand turut memberikan kesan yang positif kepada PKS di Pengkalan Kubor, Rantau Panjang dan Bukit Bunga, Kelantan yang berhampiran dengan sempadan ini. Walaupun pelbagai konflik sosial dan penyeludupan berlaku di pesisir Sungai Golok, iaitu sempadan antara Malaysia-Thailand, namun aktiviti ekonomi yang dijalankan oleh PKS di sekitarnya masih berjalan dengan baik.

Namun begitu, seiring dengan era digital ini, terdapat sebilangan pengusaha PKS di pesisir Sungai Golok yang terkenal dengan jualan pelbagai jenis produk dari Thailand telah mula beralih daripada kaedah jualan harian biasa di kedai kepada kaedah jualan melalui platform e-dagang. Pembeli pula mula cenderung berbelanja secara impulsif apabila melihat produk yang menarik melalui iklan kreatif, video atau foto yang muncul dalam media sosial. Pelbagai platform seperti Instagram, TikTok, dan Facebook menyediakan visual yang menarik perhatian pengguna. Pengguna mula menunjukkan minat dan beranggapan bahawa media sosial ialah platform membeli-belah yang interaktif dengan pelbagai tawaran yang menarik.

Perkara ini menyebabkan masyarakat peniaga di Sungai Golok mula berhadapan dengan persaingan digital yang tinggi dalam pemasaran produk, tambahan pula dengan kemudahan akses kepada pembeli untuk membeli produk luar negara secara dalam talian seperti dari China, Indonesia, India, Thailand dan sebagainya. Walaupun sebahagian daripada mereka telah berusaha beralih kepada platform dalam talian atau e-dagang, namun tidak semua PKS di pesisir Sungai Golok ini mempunyai kemahiran atau sumber untuk beradaptasi dengan kaedah perniagaan era baharu. Mereka tidak melihat gaya perniagaan ini sebagai peluang baharu untuk meraih keuntungan, sebaliknya menjadi cabaran bagi PKS di pekan kecil di sepanjang Sungai Golok ini.

Dalam hal ini, masih terdapat sebahagian daripada masyarakat peniaga yang telah lama berniaga di beberapa buah pekan kecil di negeri Kelantan, seperti Pengkalan Kubor di jajahan Tumpat, Bukit Bunga di Jeli dan Rantau Panjang di Pasir Mas didapati kurang berminat untuk bertukar kepada gaya perniagaan digital ini. Hal ini menyebabkan sebilangan besar operasi PKS yang sudah berusia di sekitar Sungai Golok ini mulai merosot. Malah beberapa buah pekan kecil di wilayah selatan Thailand seperti Narathiwat, Yala, Songkhla dan Satun turut berhadapan dengan masalah kemerosotan perniagaan yang sama akibat ancaman pasaran digital. Gaya perniagaan secara digital ini telah mengubah stigma masyarakat peniaga di utara Malaysia dan selatan Thailand yang mempunyai pertalian saudara dalam kalangan penduduk di kawasan sempadan ini.

Perkara ini juga menyebabkan suasana perniagaan di beberapa buah pekan kecil di pesisir Sungai Golok kelihatan semakin suram. Bagi masyarakat peniaga di pesisir Sungai Golok yang ingin mengembangkan perniagaan, mereka mula beralih kepada penyesuaian kebiasaan baharu, iaitu perniagaan secara dalam talian. Sebilangan besar pengguna kini mula mendapatkan platform secara dalam talian yang mudah untuk mereka mencari dan membeli pelbagai barangan tanpa perlu mencari di gerai dalam pekan kecil di Pengkalan Kubor, Bukit Bunga dan Rantau Panjang.

Bagi mengatasi permasalahan ini, pihak kerajaan melalui beberapa buah agensi telah mengambil beberapa langkah untuk membantu PKS di Sungai Golok bagi mengatasi cabaran dalam menghadapi era digital. Pihak kerajaan telah melaksanakan inisiatif Dasar Ekonomi Digital Malaysia yang bertujuan mempercepatkan transformasi digital dalam kalangan PKS. Di samping itu, kerajaan juga turut memperkenalkan program seperti Go eCommerce dan SME Digitalization Initiative untuk membantu peniaga kecil dan sederhana mengembangkan perniagaan mereka melalui platform e-dagang dan penyelesaian digital.

Inisiatif ini menawarkan latihan kepada peniaga, menyediakan akses kepada platform secara dalam talian serta bantuan kewangan untuk membeli peralatan digital dan perisian yang diperlukan. Mereka diberikan peluang untuk memanfaatkan teknologi digital dalam memasarkan produk mereka ke pasaran global bagi memastikan industri PKS di pesisir Sungai Golok ini tidak ketinggalan dalam landskap perniagaan yang semakin berkembang,

Selain itu, industri PKS di pesisir Sungai Golok ini turut dibantu melalui inisiatif Bantuan Prihatin Rakyat dan Pakej Rangsangan Ekonomi untuk membantu mereka mengekalkan operasi perniagaan selepas pandemik COVID-19. Melalui usaha ini juga, pihak kerajaan memastikan bahawa PKS di sempadan Malaysia-Thailand terus berkembang, bersaing dan menyumbang kepada ekonomi negara melalui transformasi digital.

Segala inisiatif kerajaan ini adalah bertujuan untuk meningkatkan daya saing ekonomi mereka ke pasaran yang lebih kompetitif lagi seiring dengan norma baharu. Kesimpulannya, industri PKS di pesisir Sungai Golok pascaCOVID-19 memerlukan usaha dan sokongan yang komprehensif untuk kekal bertahan dalam era digital yang semakin berkembang agar terus berdaya saing dalam perniagaan masing-masing..

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi