Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPeristiwa 13 Mei 1969 merupakan titik hitam dalam sejarah di Tanah Melayu yang melibatkan peristiwa ketegangan antara kaum selepas Pilihan Raya Umum Ke-3. Peristiwa ini berlaku berikutan ketegangan antara parti pembangkang DAP dan Gerakan yang terdiri daripada kaum Cina dengan parti pemerintah, iaitu Perikatan yang majoritinya Melayu. Pilihan raya ini telah menyaksikan parti Perikatan yang menggabungkan parti Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO), parti Persatuan Cina Malaysia (MCA) dan parti Persatuan India Malaysia (MIC) telah memenangi pilihan raya itu dengan pencapaian 66 kerusi Parlimen daripada jumlah keseluruhannya sebanyak 104. Keputusan pilihan raya itu jauh berkurangan dari segi majoriti berbanding dengan pilihan raya sebelum ini.
Ketidakpuasan kaum Cina yang terdiri daripada pihak pembangkang terhadap penguasaan politik di Tanah Melayu telah menyebabkan berlakunya ketegangan pada 13 Mei 1969. Krisis ketidakseimbangan ekonomi dan politik telah menyebabkan kedua-dua belah pihak merasa tidak puas hati sehingga wujudnya konflik antara masyarakat Melayu dengan kaum Cina yang memperjuangkan dan kepentingan hak kaum masing-masing. Kaum Cina yang tinggal di bandar-bandar besar lebih memperjuangkan hak ekonomi dan politik mereka. Manakala masyarakat Melayu yang tinggal di luar bandar dan ketinggalan dari sudut ekonominya lebih memperjuangkan hak sosial mereka berteraskan Perlembagaan Persekutuan yang dibentuk sejak awal merdeka.
Bagi meredakan keadaan yang semakin tegang dan tidak terkawal, sebuah badan khas pentadbiran darurat dan dikenali sebagai Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) telah ditubuhkan oleh pihak kerajaan untuk mentadbir dan mengawal bagi memulihkan ketegangan darurat tersebut. MAGERAN telah mengambil alih tugas pemerintahan negara selepas Parlimen digantung bagi membolehkan langkah-langkah segera diambil untuk memulihkan keamanan dan kestabilan negara. Pelbagai langkah dilakukan untuk menjamin ketenteraman awam, menstabilkan politik dan ekonomi, serta menyusun semula hubungan antara kaum.
Seterusnya bagi mengelakkan kejadian seumpama ini tidak berulang lagi, pihak kerajaan telah mengambil langkah-langkah drastik dengan memperkenalkan Dasar Ekonomi Baru (DEB) pada tahun 1971. Dasar yang telah dilancarkan oleh Perdana Menteri Kedua, Tun Abdul Razak itu bertujuan untuk mengurangkan jurang kemiskinan tanpa mengira kaum. Melalui dasar ini juga pihak kerajaan telah menyusun semula struktur masyarakat yang tinggal sama ada di bandar dan luar bandar. Kesemuanya adalah untuk menyemarakkan aspek perpaduan negara dan integrasi nasional ekoran tragedi 13 Mei yang menjadi pengajaran besar kepada rakyat Malaysia keseluruhannya.
Walau bagaimanapun, peperangan ekonomi bagi penguasaan perniagaan domestik masih berlaku walaupun pihak kerajaan telah melancarkan pelbagai dasar dan program bagi memberikan kebaikan kepada kedua-dua belah pihak yang berteraskan Perlembagaan Persekutuan. Melalui DEB ini juga, pihak kerajaan telah menyusun semula pembangunan rakyat bagi membasmi kemiskinan tanpa mengira kaum bagi mengurangkan aktiviti ekonomi mengikut kaum. Namun begitu, pelaksanaan dasar ini masih mencetuskan kontroversi, terutamanya dari segi keutamaan yang diberikan kepada Bumiputera dalam pelbagai sektor termasuklah kuota pendidikan, pemilikan saham, dan kontrak kerajaan. Kesemuanya ini dilihat sebagai bentuk peperangan ekonomi yang tersirat dan memberikan kesan kepada persaingan perniagaan dalam kalangan rakyat Malaysia sendiri.
Pada hari ini, peperangan dan penaklukan ekonomi sesebuah negara tidak hanya berlaku dalam konteks ekonomi makro sahaja, sebaliknya ekonomi mikro di sesebuah negara turut terkesan akibat krisis ekonomi domestik antara pemain industri tempatan. Bagi merealisasikan hasrat kerajaan supaya tragedi 13 Mei tidak berulang dalam konteks krisis ekonomi domestik, Dasar Pembangunan Nasional (DPN) telah dilancarkan untuk mencapai pertumbuhan ekonomi yang mampan dan seimbang dari segi ekonomi, sosial dan fizikal. Matlamatnya adalah untuk memastikan pengagihan kekayaan negara secara saksama antara semua kaum dengan pelibatan aktiviti dalam ekonomi, khususnya dalam sektor perindustrian.
DEB dan DPN memberikan perhatian terhadap perancangan membasmi kemiskinan dan menyusun semula masyarakat bagi membentuk daya saing Malaysia yang kukuh pada peringkat antarabangsa. Secara langsung, hal ini akan dapat mengurangkan ketegangan ekonomi antara kaum yang wujud, terutamanya dalam masalah pemilikan hartanah, peluang pekerjaan, dan akses bantuan kerajaan.
Sesungguhnya, konsep penaklukan ekonomi di beberapa buah negara maju kini berhadapan dengan masalah yang lebih meruncing berbanding dengan peperangan bersenjata dan politik. Keadaan penaklukan ekonomi ini berlaku apabila negara besar Eropah yang telah mengenakan tarif tinggi terhadap barangan yang diimport dari luar. Hal ini dilakukan bagi melindungi industri domestik mereka sehingga menyebabkan ketegangan perdagangan antarabangsa yang menimbulkan kepada peperangan ekonomi. Peperangan ekonomi dunia kini telah meningkat apabila setiap negara mula membina empayar bagi membolehkan muncul sebagai kuasa ekonomi global yang besar seperti negara Jepun dan China. Pada hari ini, peperangan ekonomi telah mula bangkit dan dapat dilihat bahawa negara China dan Jepun mula membina strategi baharu dengan gaya peperangan ekonomi bagi menguasai kepentingan sosial dan politik sekarang.
Sebagaimana tragedi 13 Mei tempatan yang telah mewujudkan pemberontakan akibat rasa tidak puas hati dari sudut ekonomi antara kaum ketika itu, pihak kerajaan telah melancarkan pelbagai dasar dan program bagi meredakan peperangan ekonomi yang berlaku. Melalui konsep peperangan ekonomi ini, beberapa syarikat besar tempatan telah mula membina empayar ekonomi di Malaysia. Begitu juga dengan syarikat besar antarabangsa yang lain telah menguasai ekonomi dan politik yang berbentuk kompetitif dan monopoli. Berdasarkan kesedaran inilah, pihak kerajaan secara berkesinambungan telah membina kerjasama ekonomi rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa dan agama. Sebenarnya, tragedi 13 Mei 1969 peristiwa titik hitam kepada rakyat Malaysia yang menimbulkan krisis peperangan ekonomi dan sosial di Malaysia. Sesungguhnya, pihak kerajaan juga telah merancang pelbagai dasar baharu dengan memperkenalkan slogan Malaysia MADANI yang sentiasa mengutamakan perpaduan kaum secara keseluruhannya agar tragedi 13 Mei tidak berulang lagi dalam persekitaran ekonomi sekarang.
Meneliti sejarah lampau, beberapa dasar kerajaan yang telah dilancarkan sebelum ini seperti DEB, DPN dan Malaysia MADANI telah membawa aspirasi pembangunan negara yang inklusif dan mampan serta seimbang dalam pertumbuhan dan pengagihan ekonomi. Kesemua ini memainkan peranan penting dalam membentuk hala tuju pembangunan negara demi mencapai kejayaan Malaysia sebagai sebuah negara berperlembagaan, sekali gus membina kesejahteraan rakyat yang berbilang kaum.
Prof. Madya Dr. Muhammad Abi Sofian Abdul Halim, Pensyarah Kanan di Fakulti Ekonomi dan Pembangunan Lestari, Universiti Malaysia Terengganu.