Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangTun Dr. Mahathir Mohamad, seorang tokoh penting negara kita yang pernah memegang jawatan Perdana Menteri sebanyak dua kali, iaitu empat penggal selama 22 tahun dan kali kedua selama 22 bulan. Beliau dilantik sebagai Perdana Menteri Keempat pada 16 Julai 1981 bagi menggantikan Perdana Menteri Ketiga Tun Hussein Onn sebelum kembali memimpin negara pada tahun 2018 sebagai Perdana Menteri Ketujuh.
Pelantikan kali kedua beliau sebagai Perdana Menteri menjadikan Tun Dr. Mahathir Mohamad pada ketika itu sebagai pemimpin tertua di dunia yang memegang jawatan berkenaan. Dilahirkan pada 10 Julai 1925 dan pada hari ini 10 Julai 2025, maka genaplah 100 tahun usia Tun Dr. Mahathir. Sempena ulang tahun kelahiran ke-100 ini, berikut adalah beberapa detik penting dalam kerjaya politik beliau:
Memacu Pemodenan dan Pertumbuhan Ekonomi
1. Dasar Pandang ke Timur
Selepas mengambil alih tampuk pemerintahan negara selaku Perdana Menteri Keempat, Tun Dr. Mahathir melancarkan Dasar Pandang ke Timur yang menggesa rakyat Malaysia mencontohi etika kerja dan amalan perniagaan negara seperti Jepun dan Korea Selatan. Dasar ini mencerminkan wawasan beliau yang lebih luas untuk menjadikan Malaysia sebagai negara industri dan tidak terlalu bergantung kepada pertanian.
2. Kelahiran PROTON
Satu daripada tonggak pemodenan Tun Dr. Mahathir ialah projek kereta nasional. Diilhamkan pada tahun 1979, Projek Kereta Nasional diluluskan oleh Kabinet pada tahun 1982, dan Perusahaan Otomobil Nasional (PROTON) ditubuhkan pada 1983 dengan kerjasama syarikat Mitsubishi Corporation.
3. Menyokong penswastaan
Tun Dr. Mahathir mendorong penswastaan syarikat milik kerajaan dengan alasan bahawa langkah itu dapat meningkatkan kecekapan dan pertumbuhan ekonomi. Walaupun dikritik, dasar ini menyaksikan penswastaan sektor utama seperti telekomunikasi, elektrik dan penerbangan.
4. Pembinaan prasarana utama
Dalam tempoh 22 tahun pertama sebagai Perdana Menteri (1981–2003), beliau melancarkan pelbagai projek prasarana utama seperti Lebuhraya Utara-Selatan, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan pembangunan Putrajaya sebagai pusat pentadbiran negara.
5. Menara Berkembar Petronas
Siap dibina pada Mac 1996 dan dibuka secara rasminya pada Ogos 1999, Menara Berkembar Petronas menjadi simbol aspirasi dan kemajuan pesat Malaysia di bawah pimpinan Tun Dr. Mahathir.
6. Menangani Krisis Kewangan ASIA 1997
Ketika krisis kewangan Asia 1997 memuncak, Tun Dr. Mahathir telah menolak bantuan dana dari Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF). Sebaliknya, beliau mengenakan kawalan modal dan menetapkan kadar pertukaran ringgit bagi mengawal aliran keluar dana dan menstabilkan ekonomi. Keputusan tersebut membantu ekonomi Malaysia pulih lebih pantas berbanding dengan negara serantau lain.
7. Kembali ke arena politik pada usia 92 tahun
Dalam satu peristiwa luar biasa, Tun Dr. Mahathir kembali aktif dalam politik pada tahun 2018 dan membentuk gabungan bersama di bawah nama Pakatan Harapan. Tun Dr. Mahathir kemudiannya mengetuai pembangkang bagi mencapai kemenangan bersejarah, sekali gus menamatkan penguasaan berdekad-dekad lamanya Barisan Nasional (BN) dalam pemerintahan negara.
Pemikiran Mendahului Zaman
Jika direnung secara halus, perkara yang patut dicontohi oleh kita daripada figura berusia satu abad ini ialah pemikiran beliau. Pemikiran beliau jauh ke hadapan dan mendahului zaman. Ketika pentadbiran pertamanya sebagai Perdana Menteri, beliau telah mengutarakan idea untuk mewujudkan Koridor Raya Multimedia (MSC). Projek tersebut merupakan suatu rancangan pembangunan kerajaan untuk memajukan bidang sains dan teknologi di Malaysia. Idea tersebut dianggap sebagai “ekonomi digital” oleh Tun Dr. Mahathir.
Beliau percaya pada ketika itu bahawa ekonomi digital adalah seperti benua baharu yang tidak kelihatan. Usahawan terkenal, Jack Ma berkata, “Konsep Koridor Raya Multimedia ialah suatu konsep yang hebat dan mendahului zaman”. Jack Ma turut menyatakan bahawa idea penubuhan Alibaba milik beliau sebenarnya berdasarkan projek MSC.
Idea MSC diumumkan oleh Tun Dr. Mahathir 30 tahun lalu pada 1995. Pada ketika itu, beliau beranggapan bahawa kita sedang berada dalam sistem ekonomi yang semakin menitikberatkan penguasaan ilmu. Maka itu, penggunaan teknologi maklumat akan menjadi semakin penting. Namun begitu, ada pihak yang menyatakan bahawa konsep ekonomi digital yang diusulkan beliau itu hanyalah angan-angan sahaja. Hal ini demikian kerana pada masa itu Tun Dr. Mahathir sudah berusia lebih daripada 70 tahun. Kebanyakan pihak menganggap bahawa fikiran Tun Dr. Mahathir sudah bercelaru memandangkan usia beliau sudah lanjut. Namun ternyata kini, idea koridor tersebut telah menjadi daya penggerak yang penting dalam pembangunan ekonomi negara. Idea tersebut telah menarik perhatian seluruh dunia dan direalisasikan oleh negara lain pada hari ini.
Mentaliti yang Baik
Selain memelihara kecergasan dengan bersenam setiap hari, tidur mencukupi dan menjaga pemakanan, Tun Dr. Mahathir mendedahkan rahsia lain kesihatan dan panjang umur beliau, iaitu “mempunyai mentaliti yang baik”. Beliau menambah, “Tidak kira hal luar negara atau dalam negara, kecil atau besar, semuanya perlu dikendalikan dengan tenang dan baik.” Inilah antara faktor utama beliau dapat mengekalkan mentaliti yang baik dan menjadi prinsip beliau dalam menyelesaikan masalah.

Tun Dr. Mahathir menyifatkan kawalan minda sangat penting dalam menyelesaikan sebarang masalah. Jelas beliau, seseorang yang ingin berjaya memerlukan minda yang tenang. “Apabila mental berada dalam keadaan baik, sambil mengayuh beca pun seseorang itu boleh menyanyi. Akan tetapi, jika mentaliti seseorang itu tidak baik, memandu kereta mewah pun tidak akan tenang,” Itulah pesanan beliau yang menyentuh tentang kepentingan mentaliti yang baik dalam kehidupan seharian. Aktiviti mental ini jelas beliau, dipercayai membantu beliau melambatkan proses penuaan kognitif. Di samping itu, beliau juga seorang yang berdisiplin tinggi dalam mengurus masa, selain bersikap positif dalam menghadapi cabaran hidup.
Beliau menjelaskan bahawa sikap merupakan cerminan yang memperlihatkan keadaan mental seseorang. “Apabila mempunyai sikap yang baik, barulah kita boleh mengekalkan emosi yang positif sepanjang hari, iaitu perlu ada sikap positif dalam melaksanakan setiap tugas. Kita perlu berfikir dari sudut yang berbeza. Apabila bersikap positif, hari-hari kita akan gembira dan bahagia,” demikian kata beliau.

Pemikiran beliau masih cerdas dan tajam walaupun kini telah menjengah ke usia 100 tahun. Di dunia ini, amat jarang-jarang untuk kita melihat seseorang itu mampu hidup sehingga 100 tahun terutamanya di negara Asia. Didoakan semoga Tun Dr. Mahathir terus diberikan nikmat kesihatan yang berpanjangan dalam menjalani kehidupan untuk fasa yang seterusnya.