Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangBaru-baru ini, Institut Masa Depan Malaysia dengan kerjasama Rasuah Busters dan Majlis Belia Malaysia telah mengadakan Forum Khas #Ruangbelia: Dari Tahu Ke Tindak – Lawan Rasuah di Dewan Karangkraf Shah Alam. Penulis yang merupakan Ahli Dewan Negara, Ahli Jawatankuasa Khas mengenai Rasuah, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Penyandang Kursi Institusi Raja-Raja Melayu, Universiti Teknologi MARA (UiTM) telah diundang untuk menyampaikan ucap utama dalam forum tersebut.

Dalam ucap utama forum tersebut, penulis menerangkan tentang kata rasuah yang berasal daripada bahasa Arab risywah yang bermakna “sogokan” atau “pujukan”. Dalam Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, istilah rasuah disebut sebagai suapan. Dalam bahasa-bahasa lain yang mewakili pelbagai bangsa sedunia terdapat pelbagai istilah yang merujuk kepada rasuah. Contohnya di United Kingdom (sleaze – perbuatan tidak jujur dan tidak bermoral, terutama oleh penjawat awam), di Perancis (les affaires – transaksi haram dalam perniagaan), China (than wu – sifat haloba dan kotor), Jepun (zowai/sowai – pemberian wang untuk tujuan yang terlarang), Indonesia (pungli – akronim kata pungutan liar).
Di Malaysia, istilah rasuah diwakili juga oleh beberapa ungkapan yang sebahagiannya merupakan simpulan bahasa, misalnya pelincir, duit kopi, duit minyak, makan suap, tumbuk rusuk dan bunga emas. Ada pula yang diungkapkan dalam bahasa lain seperti kaw tim (dialek Kantonis) dan under counter money (bahasa Inggeris).
Sejarah bermulanya rasuah seiring dengan bermulanya kehidupan bermasyarakat manusia, iaitu apabila wujudnya organisasi sosial (Syed Hussein Alatas (1995). Antara contoh peristiwa awal rasuah dalam sejarah termasuklah undang-undang Hammurabi pemerintah Babylon (sekitar 1792-1750 S.M.) yang mengenakan hukuman mati kepada beberapa bentuk rasuah yang dilakukan oleh para pegawai kerajaan. Peristiwa rasuah yang berlaku semasa empayar Romawi pula tergambar oleh tindakan Raja Shamash (sekitar tahun 200 S.M.) menjatuhkan hukuman kepada seorang hakim yang menerima wang sogokan.
Di India, Undang-undang Manusmriti atau ringkasnya Undang-undang Manu (ditulis sekitar 200 S.M. hingga 200 M) yang merupakan himpunan prinsip etika dan peraturan kehidupan masyarakat Hindu menetapkan bahawa raja mestilah tidak serakah dan tidak memeras dalam memungut cukai. Para pendeta dan pemikir politik India menyatakan bahawa raja mestilah melantik pegawai yang jujur untuk memungut cukai. Raja yang menindas rakyatnya hendaklah dibunuh bersama-sama dengan anggota keluarganya. Para pegawai yang meminta rasuah daripada orang-orang desa hendaklah dibuang negeri dan harta benda mereka disita.
Syed Hussein Alatas (1995) memetik catatan sejarawan Dinasti Han, iaitu Pan Ku, tentang parahnya keadaan akibat daripada kekacauan pada awal bermulanya dinasti tersebut (206 S.M.). Ketika itu, terjadi kekurangan bijirin dan sayur-sayuran, sehingga ada orang yang sanggup memakan daging manusia. Lebih daripada setengah bilangan penduduknya mati. Pengasas Dinasti Han mengizinkan rakyat menjual anak-anak mereka dan berpindah ke daerah-daerah lain untuk mencari makanan. Pada zaman kerajaan China kuno juga, iaitu contohnya sekitar 178 Masihi, para petani dieksploitasi. Mereka mengalami masalah pengutipan cukai kepala dan levi haram. Peraturan sering diubah. Rakyat terpaksa menjual segala hasil mereka dengan separuh harga dan ada yang meminjam dengan kadar 100 peratus. Ladang dan rumah serta anak cucu dijual untuk membayar hutang merupakan perkara yang sering berlaku.
Dalam masyarakat Melayu, gambaran wujudnya rasuah terdapat dalam karya-karya Melayu lama seperti Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu), Hikayat Hang Tuah, Tuhfatul Nafis, Hikayat Raja Pasai, Hikayat Terung Pipit dan Hikayat Merong Mahawangsa. Satu daripada petikan kajian Norhashimah Jalaluddin dan Rozimah Rashidin (2008) menggambarkan peristiwa rasuah yang dapat dibaca dalam Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu):
“Ada seorang anak baginda perempuan, terlalu baik parasnya maka dipinang oleh Raja Kuci, maka tiada diberi oleh Pau Kubah. Maka diserangnya oleh Raja Kuci, maka peranglah orang Kuci dengan orang Cempa terlalu ramai, tiada beralah. Maka pada suatu hari Raja Kuci menyuruh pada penghulu bendahari Cempa membawanya muafakat diberi emas dan harta terlalu banyak. Maka penghulu bendahari Cempa pun kabullah, serta telah dinihari maka dibukakannya pintu kota oleh penghulu bendahari Cempa. Maka segala orang Kuci pun masuklah ke dalam kota Bal, maka beramuklah dengan orang Cempa. Maka kota Bal pun kalahlah.”
Kitab-kitab undang-undang Melayu lama seperti Hukum Kanun Melaka, Undang-undang Laut Melaka, Undang-undang 99 Perak dan kitab ketatanegaraan seperti Tajussalatin, Bustanussalatin dan Nasihat al-Mulk membicarakan lunas akhlak yang turut merangkum isu rasuah dalam pemerintahan kerajaan Melayu.
Rasuah Menurut Perspektif Agama
Setiap agama sebagai asas sistem kepercayaan manusia mengkategorikan rasuah sebagai perbuatan yang keji dan terlarang kerana merupakan penganiayaan dan penzaliman sesama manusia. Antara ayat al-Quran yang berkaitan dengan rasuah termasuklah:
“Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta orang lain antara kamu dengan jalan yang salah, dan janganlah kamu menghulurkan harta kamu (memberikan rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian harta manusia dengan berbuat dosa, padahal kamu mengetahui salahnya.” (al-Baqarah: 188)
Antara hadis yang berkaitan dengan larangan melakukan rasuah termasuklah:
“Sesiapa sahaja yang telah kami lantik untuk memegang sesuatu jawatan atau kerja dan telah kami tetapkan pendapatannya, maka apabila ia mengambil lebih daripada yang telah ditetapkan itu dikira sebagai penipuan dan rasuah.” (Hadis Riwayat Abu Daud).
“Pemberi rasuah dan penerima rasuah masuk ke neraka.” (Hadis Riwayat al-Tabari)
Dalam teks Ibrani (Yahudi), dicatat jua keburukan rasuah, seperti:
“You must not distort justice; you must not show partially, and you must not accept bribes for a tribe blinds the eye of the wise and subverts the cause of those who are in the right.” (Deutertonomy, Chapter 16, verse 19)
Daripada ajaran agama Buddha, dirakamkan prinsip seperti:
“Pegawai yang zalim ialah pencuri kebahagiaan rakyat … mereka menipu pemerintah dan rakyat dan menjadi punca kekacauan negara.” (The Teaching of Buddha, Tokyo, 1990).
Tipologi Rasuah
Syed Hussein Alatas (1995) mengkategorikan rasuah kepada enam tipologi, iaitu:
Unsur-unsur rasuah, menurut Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia, terdiri daripada lima perkara:
Kesalahan rasuah berdasarkan undang-undang (Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009) menyebut empat kesalahan utama rasuah, iaitu:
Yang turut menjadi kesalahan ialah sebarang percubaan atau persubahatan untuk melakukan kesalahan-kesalahan di atas.
Bentuk rasuah yang digariskan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah meliputi:
Punca, Gejala dan Kesan Rasuah
Menurut Prof. John Horgarth (Universiti Canada), dua punca utama rasuah ialah:
Donald R. Cressey pakar kriminologi Amerika Syarikat pula menyebut tiga faktor utama yang mendorong jenayah penipuan, termasuklah rasuah, iaitu:
Gejala atau simptom rasuah pula tergambar antaranya pada:
Kesan rasuah dapat dilihat pada tiga tahap, iaitu tahap individu, tahap organisasi dan tahap negara. Kesan kepada individu, antaranya termasuklah:
Kesan kepada organisasi pula antaranya termasuklah:
Kesan kepada negara melibatkan, antaranya:
Situasi Terkini Jenayah Rasuah di Malaysia
Berdasarkan Laporan Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) 2024 – 2028 dan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2024, situasi yang berikut seyogia menginsafkan kita tentang barah jenayah rasuah di negara kita:
Pada tahun 2018, lebih kurang satu pertiga daripada rakyat Malaysia (33%) menganggap rasuah sebagai isu penting negara. Persepsi ini menekankan wujudnya cabaran besar serta adanya keperluan mendesak untuk meningkatkan usaha menangani rasuah secara menyeluruh dan memulihkan keyakinan masyarakat terhadap institusi Kerajaan.
Sumber: World Values Survey, 2018. Wave 7: 2017-2022 & Laporan NACS 2024 – 2028.
Pada 2023, dapatan daripada satu kaji selidik komprehensif di seluruh negara mendedahkan fakta 41% daripada responden sangat setuju bahawa rasuah di Malaysia masih sangat membimbangkan sementara satu daripada empat orang rakyat Malaysia setuju bahawa rasuah sudah bertambah buruk dalam tempoh setahun. Keseluruhannya, lebih mengejutkan, lebih dua pertiga (67%) daripada rakyat Malaysia percaya bahawa rasuah sudah meningkat berbanding dengan tahun sebelumnya.
Sumber: Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). 2024. Pembangunan Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS): Pandangan dan Pengalaman terhadap Isu Berkaitan Rasuah, Integriti dan Tatakelola di Malaysia: Kaji Selidik Nasional. 2023 & Laporan NACS 2024 – 2028.
Pada skala makroekonomi, kesan buruk rasuah di Malaysia sangatlah besar, yang memuncak dengan kerugian luar biasa berjumlah RM277 bilion dalam nilai keluaran ekonomi dalam tempoh antara tahun 2019 hingga tahun 2023. Sebagai perbandingan, jumlah ini menyamai 28 tahun peruntukan untuk STR atau hampir menyamai KDNK di Johor dan di Pulau Pinang. Menangani rasuah sangat penting bagi menjaga kemakmuran negara dan membina masyarakat yang adil dan saksama.
Sumber: New Straits Times. 2017. Malaysia lost RM47 billion in GDP value to corruption last year – Dr. Wan Azizah; Kementerian Kewangan (MOF). 2024. Ucapan Belanjawan 2024.
– Sektor Awam (65%)
– Sektor Swasta (53%)
– Sektor Pertubuhan Bukan Kerajaan atau NGO (51%)
Kajian nasional oleh Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) mendapati bahawa sektor yang paling dianggap mempunyai isu rasuah yang tinggi ialah sektor awam, dengan 65% orang responden menyatakan demikian. Sektor swasta pula mencatatkan 53%, manakala sektor pertubuhan bukan kerajaan atau NGO turut tidak terkecuali dengan 51%. Hal ini menunjukkan bahawa persepsi terhadap isu rasuah di negara kita merentas pelbagai sektor, bukan terhad kepada kerajaan semata-mata. Maka itu usaha memerangi rasuah memerlukan tindakan menyeluruh, merangkumi sektor awam, swasta dan masyarakat sivil secara kolektif.
Sumber: Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). 2024. Pembangunan Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS): Pandangan dan Pengalaman terhadap Isu Berkaitan Rasuah, Integriti dan Tatakelola di Malaysia: Kaji Selidik Nasional. 2023 & Laporan NACS 2024 – 2028.
– Pentadbiran (36%)
– Penguatkuasaan (24%)
– Perolehan (24%)
Sumber: SPRM. 2024. Statistik maklumat rasuah yang diterima oleh SPRM: Keseluruhan maklumat (mengikut sektor rasuah) dari tahun 2013 hingga tahun 2023.
Data SPRM bagi tempoh tahun 2013 hingga tahun 2023 menunjukkan bahawa kes rasuah paling banyak berlaku dalam sektor pentadbiran, iaitu sebanyak 36%, diikuti oleh sektor penguatkuasaan dan perolehan, masing-masing mencatatkan 24%. Hal ini jelas menggambarkan bahawa kelemahan dalam tadbir urus, kuasa dalam penguatkuasaan, serta proses perolehan yang tidak telus masih menjadi lubuk utama rasuah di negara ini. Maka, usaha pembanterasan rasuah perlu lebih berfokus pada pembaharuan dalam ketiga-tiga sektor ini.
– Kegagalan pentadbiran (28.5%)
– Kelemahan kawalan dalaman dan kepatuhan (28.0%)
– Konflik kepentingan (20.3%)
– Kelemahan agensi penguatkuasaan undang-undang (8.5%)
– Kurang usaha mencegah rasuah (8.0%)
– Kurang ketelusan (5.3%)
– Kerenah birokrasi (1.3%)
– Kurang sokongan dan kesedaran umum mengenai rasuah (0.3%)
Sumber: SPRM. 2024. Aduan diterima oleh SPRM: Sesi libat urus dengan agensi-agensi kerajaan.
Hasil sesi libat urus bersama-sama dengan kementerian, jabatan dan badan berkanun yang dijalankan oleh SPRM menunjukkan bahawa punca utama rasuah ialah kegagalan pentadbiran (28.5%) serta kelemahan kawalan dalaman dan kepatuhan (28.0%). Selain itu, konflik kepentingan juga menjadi faktor besar dengan 20.3%. Punca lain termasuk kelemahan agensi penguatkuasaan undang-undang (8.5%), kurang usaha mencegah rasuah (8.0%), kurang ketelusan (5.3%), karenah birokrasi (1.3%), serta kurangnya sokongan dan kesedaran umum (0.3%). Hal ini menunjukkan bahawa isu rasuah banyak berpunca daripada kelemahan dalaman sistem itu sendiri, justeru reformasi pentadbiran dan pengukuhan integriti dalaman amat kritikal untuk membanteras rasuah secara berkesan.
– Politik wang (80%)
– Suapan untuk mempercepat urusan (78%)
– Salah guna kuasa (77%)
– Konflik kepentingan (67%)
– Pemalsuan dokumen (55%)
Sumber: Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). 2024. Pembangunan Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS): Pandangan dan Pengalaman terhadap Isu Berkaitan Rasuah, Integriti dan Tatakelola di Malaysia: Kaji Selidik Nasional. 2023.
Kajian nasional oleh Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menunjukkan bahawa persepsi umum terhadap rasuah paling tinggi dikaitkan dengan politik wang yang mencatatkan 80%. Keadaan ini diikuti oleh rasuah untuk mempercepat urusan (78%), salah guna kuasa (77%), konflik kepentingan (67%) dan pemalsuan dokumen (55%). Dapatan ini menunjukkan bahawa masyarakat melihat rasuah bukan sekadar isu pentadbiran tetapi sudah menjadi amalan biasa dalam politik, urusan harian dan sistem pentadbiran, sekali gus menunjukkan perlunya tindakan tegas terhadap semua peringkat, terutamanya dalam politik dan pentadbiran harian.
– 79% hilang keyakinan dalam kalangan pelabur asing.
– 78% peningkatan insiden kemiskinan.
– 78% kemerosotan daya saing.
– 77% kemerosotan pertumbuhan ekonomi.
– 77% peningkatan pengangguran.
– 73% mata wang melemah.
Sumber: Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). 2024. Pembangunan Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS): Pandangan dan Pengalaman terhadap Isu Berkaitan Rasuah, Integriti dan Tatakelola di Malaysia: Kaji Selidik Nasional. 2023.
Menurut kajian Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), kesan ekonomi akibat rasuah amat ketara dan meluas. Sebanyak 79% orang responden percaya bahawa rasuah menyebabkan hilangnya keyakinan pelabur asing, diikuti peningkatan kemiskinan (78%), kemerosotan daya saing (78%), serta kemerosotan pertumbuhan ekonomi (77%). Selain itu, peningkatan pengangguran (77%) dan kejatuhan nilai mata wang (73%) turut dikaitkan dengan rasuah. Dapatan ini jelas menunjukkan bahawa rasuah bukan sahaja isu moral, bahkan punca utama kelembapan ekonomi negara, yang memberikan kesan langsung kepada peluang pekerjaan, kos sara hidup dan kestabilan kewangan rakyat.
– 82% hilang kepercayaan terhadap ahli/parti politik.
– 81% hilang hormat kepada pemimpin nasional/parti politik.
– 78% kerajaan dilihat kurang berintegriti.
– 78% dipandang rendah oleh masyarakat antarabangsa.
– 77% kerajaan tidak akan serius memerangi rasuah.
– 75% kerajaan tidak akan ada tatakelola yang baik.
– 72% masyarakat tidak akan sokong usaha kerajaan.
Sumber: Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). 2024. Pembangunan Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS): Pandangan dan Pengalaman terhadap Isu Berkaitan Rasuah, Integriti dan Tatakelola di Malaysia: Kaji Selidik Nasional. 2023.
Kajian oleh Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menunjukkan bahawa kesan rasuah terhadap politik sangat besar. Sebanyak 82% orang responden menyatakan bahawa mereka hilang kepercayaan terhadap ahli dan parti politik, manakala 81% hilang rasa hormat kepada pemimpin nasional. Selain itu, kerajaan dianggap kurang berintegriti (78%), dipandang rendah oleh masyarakat antarabangsa (78%), tidak serius memerangi rasuah (77%), serta gagal mewujudkan tadbir urus yang baik (75%). Malah, 72% menyatakan masyarakat tidak akan menyokong usaha kerajaan. Hal ini jelas menunjukkan bahawa rasuah meruntuhkan keyakinan rakyat terhadap kepimpinan politik dan menjejaskan imej negara di mata dunia, sekali gus menjadi ancaman serius kepada kestabilan politik dan kepercayaan awam.
Laporan Ketua Audit Negara 2024 (LKAN 2/2024) mengesahkan kewujudan isu rasuah dan ketirisan yang mengakibatkan pembaziran dan kerugian berbilion wang negara. Laporan ini mendedahkan beberapa kelemahan tadbir urus termasuklah masalah integriti dan rasuah yang melibatkan audit ke atas 11 kementerian dengan kos keseluruhan RM41.97 bilion. Antara isu utama yang dibangkitkan termasuklah kelemahan dalam pengurusan projek mega seperti Projek Sungai Nadi Kehidupan (RoL), program pemerkasaan jaringan jalur lebar, serta projek di Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER). Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia juga telah menerima dokumen berkaitan untuk siasatan lanjut, termasuklah kes yang melibatkan Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRD Corp). Dalam masa yang sama, Mesyuarat Jawatakuasa Susulan LKAN (JSLKAN) turut diadakan bagi memastikan tindakan susulan oleh agensi penguatkuasa seperti SPRM dan PDRM dilaksanakan. Secara jelas, laporan ini membuktikan bahawa isu rasuah dan kelemahan tadbir urus masih serius di negara ini.
Sumber: Laporan Ketua Audit Negara 2/2024 (LKAN 2/2024).
Inisiatif Kerajaan dalam Pembanterasan Rasuah
Berdasarkan fakta dan maklumat yang dipaparkan dalam artikel ini jelas menunjukkan bahawa jenayah rasuah masih menjadi masalah nasional yang mencemaskan. Pelbagai inisiatif yang digerakkan oleh kerajaan memperlihatkan kesungguhan usaha untuk membanteras rasuah. Kajian penilaian keberkesanan terhadap semua inisiatif itu perlu dilakukan untuk ditambah baik, terutamanya dalam aspek pelaksanaannya. Diakui bahawa usaha memerangi rasuah memang amat sukar kerana permulaan jenayah itu terletak pada jiwa manusia. Bayangkan jika dapatan kajian bahawa 30.5% orang mahasiswa yang menjadi responden kajian mengakui kesediaan untuk terlibat dalam rasuah jika berkuasa dan berpeluang itu sebagai gambaran realiti jiwa manusia di negara ini, negara memang berhadapan dengan keadaan yang parah.
Satu daripada usaha yang perlu dilakukan, di samping menambah baik semua inisiatif yang diperkenalkan ialah menerapkan strategi negara-negara yang rendah kadar jenayah rasuahnya di dunia. Negara-negara dengan kadar rasuah terendah di dunia merangkumi Denmark, New Zealand, Finland, Sweden dan Singapura. Negara-negara ini secara konsisten menduduki tangga teratas dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI), yang mengukur persepsi tahap rasuah dalam sektor awam di seluruh dunia.