Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangDalam usaha untuk membentuk generasi pengurus sumber manusia yang unggul dan berdaya saing, sebuah program pembentangan projek yang memfokuskan isu-isu semasa dalam bidang pengurusan sumber manusia telah dilaksanakan bagi menyorot penyelesaian yang strategik.
Program yang berkonsepkan pembelajaran berasaskan penyelidikan ini memberi peluang kepada pelajar untuk mengaplikasikan teori pengurusan sumber manusia dalam konteks dunia sebenar. Sebanyak 70 orang pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis yang mengikuti kursus MGT340 Human Resource Management (HRM) tampil berkongsi dapatan mereka.
Dengan pendekatan analitis, para pelajar telah menyelidik, menilai dan membentangkan pelbagai cabaran kontemporari yang sedang dihadapi oleh organisasi dari segi pengurusan modal insan. Antara topik hangat yang diketengahkan termasuklah isu pengurusan bakat dan hak pekerja muda, cabaran kesihatan mental di tempat kerja, implikasi automasi dan kecerdasan buatan terhadap tenaga kerja, isu ketidaksamarataan gender dan kepelbagaian di tempat kerja serta cabaran pengurusan prestasi dalam era bekerja secara hibrid.
Setiap kumpulan pelajar bukan sahaja membentangkan latar belakang dan kesan isu tersebut, malah turut mencadangkan cadangan strategik dan praktikal sebagai penyelesaian. Antara saranan yang dikemukakan termasuklah penstrukturan semula polisi sumber manusia, pelaksanaan program kesejahteraan pekerja, pemerkasaan latihan dan pembangunan, serta penggunaan data dan analitis untuk menyokong keputusan pengurusan.
Dalam usaha membina kecekapan dalam abad ke-21 seperti komunikasi berkesan, kolaborasi, pemikiran strategik dan kemahiran penyelesaian masalah, program ini secara tidak langsung telah mencapai matlamatnya untuk melatih pelajar bukan sahaja memahami konsep-konsep dalam pengurusan sumber manusia secara teori, malah untuk menjadi pemikir kritikal yang mampu menilai dan menyelesaikan isu dengan pendekatan holistik dan profesional.
Maklum balas daripada pensyarah dan pelajar juga menunjukkan bahawa program ini berpotensi diperluaskan sebagai platform tahunan, bahkan boleh dijadikan sebagai medan kolaborasi industri-akademia pada masa hadapan. Hal ini sejajar dengan keperluan semasa untuk melahirkan graduan yang bersedia menghadapi cabaran pengurusan sumber manusia yang semakin kompleks dan dinamik.

Pembentangan projek ini menjadi manifestasi bahawa generasi muda hari ini jelas memiliki kesedaran, kemahiran serta keberanian untuk meneroka cabaran dan merumuskan penyelesaian terhadap isu-isu kritikal dalam bidang pengurusan sumber manusia. Mereka bukan sekadar menempatkan diri sebagai pengurus tenaga kerja, tetapi tampil sebagai agen perubahan dan penjaga nilai-nilai kemanusiaan dalam organisasi moden.
Usaha menyiapkan pelajar hari ini sebagai pemimpin sumber manusia masa depan bukan lagi sekadar matlamat akademik, tetapi merupakan satu pelaburan strategik untuk menjamin kelangsungan dan kemajuan organisasi, masyarakat serta negara secara keseluruhan.
Inisiatif seperti ini memperlihatkan peranan penting Institusi Pengajian Tinggi dalam membentuk barisan profesional sumber manusia yang bukan sahaja berpengetahuan luas, tetapi juga berdaya tahan, responsif terhadap perubahan, dan mampu mencorakkan landskap pekerjaan yang inklusif, progresif dan mampan. Program pembentangan ini jelas merupakan langkah signifikan dalam merapatkan jurang antara teori dengan amalan sebenar dalam dunia korporat.