Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPada 31 Mac lalu, keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 telah diumumkan. Senyum dan gembira serta teriakan dan sorakan mengiringi kejayaan keputusan SPM yang diperoleh. Namun, di sebalik wajah gembira tersebut, terdapat juga wajah kedukaan disebabkan keputusan SPM yang diperoleh tidak seindah seperti yang diharapkan. Kecewa, sedih dan muram mengiringi perasaan tatkala menatap slip keputusan SPM. Melewati situasi tersebut, jarang-jarang kisah mereka didengari. Mereka juga punya perasaan yang perlu didengari, lebih-lebih lagi selepas mereka sudah melakukan yang terbaik. Usah dibiarkan mereka terkontang-kanting keseorangan dengan dibuai perasaan bersalah dan tersisih. Mereka memerlukan perhatian dan sokongan ibu bapa, adik-beradik dan rakan sebaya.
Pada usia yang muda seperti ini, kegagalan mencapai matlamat seperti yang diharapkan dalam peperiksaan SPM boleh memberikan impak besar kepada emosi dan mental mereka. Setelah meletakkan harapan yang tinggi terhadap peperiksaan yang sebesar ini, sudah tentu mereka mudah terkesan jika gagal mencapai keputusan seperti yang diharapkan. Apabila keputusan yang diperoleh tidak seperti yang diharapkan, mereka mungkin mengalami rasa malu dan rendah diri, malah cenderung untuk mengalami kemurungan, sekali gus menyebabkan hilang arah tuju dalam kehidupan yang seterusnya. Jika tidak ditangani dengan betul, kesannya boleh berlarutan dan menjejaskan masa hadapan mereka. Situasi yang dibimbangkan ialah kesannya mungkin turut menjejaskan hubungan sosial mereka. Oleh sebab itu, mereka perlu diberikan perhatian dan sokongan.
Dalam menangani emosi dan mental mereka, ibu bapa seharusnya tidak menghukum mereka atau terus membandingkan dengan anak orang lain yang mendapat keputusan cemerlang, sebaliknya memberi sokongan kepada mereka tanpa syarat. Hal ini sangat bermakna buat diri mereka dan membantu membuang rasa kecewa yang dirasai. Berilah masa kepada mereka untuk menenangkan diri. Kemudian, jadilah pendengar tanpa perlu menghakimi. Benarkan mereka meluahkan perasaan, bersedih dan menangis kerana rasa tersebut merupakan reaksi normal yang melambangkan kekecewaan manusia. Bantulah mereka untuk melihat keputusan SPM yang tidak diharapkan itu sebagai sebahagian daripada proses pembelajaran dan bukannya penamat kepada masa hadapan.
Ibu bapa perlu mengingatkan mereka tentang perjalanan kehidupan dan masa hadapan yang masih lagi panjang. Oleh itu, mereka perlu bangkit dan tidak boleh mengalah dan berputus asa. Anggaplah hal tersebut sebagai pencetus semangat dan batu loncatan untuk berusaha lebih gigih dalam meraih kejayaan lain pada masa hadapan. Ibu bapa boleh berkongsi pengalaman orang lain yang mendapat keputusan SPM yang kurang cemerlang, tetapi boleh juga berjaya dalam kehidupan sebagai perangsang kepada mereka agar dapat menaikkan semangat kepada mereka.
Misalnya, kisah pelajar SPM yang hanya mendapat keputusan 3A sahaja,tetapi selepas itu mereka berjaya melangkah masuk ke Universiti Oxford atau United Kingdom hasil tekad dan usaha yang berterusan. Kegagalan mendapat keputusan SPM yang cemerlang tidak pernah menghalang impian mana-mana individu untuk terus menimba ilmu hingga ke menara gading sehingga menjadi orang pertama dalam keluarga yang berjaya sambung pelajaran ke universiti. Memang bukan mudah untuk bangkit semula setelah mengalami kekecewaan. Oleh sebab itu, sokongan berterusan daripada ibu bapa mampu memainkan peranan penting dan membuatkan mereka berasa tetap dihargai dan menjadi lebih kuat dan berdaya tahan untuk meneruskan kehidupan selepas itu.
Masyarakat juga masih terbelenggu dengan kecemerlangan akademik walaupun dunia pendidikan dan laluan kerjaya sudah berubah. Memang benar keputusan SPM antara tiket untuk masuk ke universiti, namun kebolehan lain dan usaha seseorang pelajar itu juga turut sama penting. Ramai yang menganggap pelajar yang memperoleh keputusan banyak A merupakan penentu kejayaan. Namun realitinya, ada juga pelajar yang cemerlang SPM, tetapi gagal dalam pembelajaran pada peringkat tinggi selepas itu. Hal ini demikian kerana cara pembelajarannya berbeza-beza mengikut situasi.
Oleh itu, masyarakat perlu mengubah pemikiran dan tidak terlalu mementingkan aspek akademik semata-mata, tetapi turut melihat pencapaian dalam aspek lain. Walaupun memperoleh sedikit A dalam keputusan SPM, namun sekiranya mempunyai kebolehan lain dan dalam masa sama aktif berpersatuan dan bersukan, hal ini jauh lebih baik daripada pelajar yang hanya fokus terhadap nilai akademik semata-mata. Kini, ramai yang berjaya tanpa keputusan SPM yang cemerlang, contohnya mereka yang menceburi bidang Teknik dan Vokasional (TVET) mampu membina kerjaya sendiri. yang lebih penting ialah cara mereka membawa diri selepas memperoleh keputusan SPM. Masyarakat perlu mengubah persepsi bahawa kejayaan hanya datang daripada pencapaian akademik. Memang betul, pencapaian akademik itu penting tetapi bukanlah penentu kejayaan individu, sebaliknya komitmen dan kesungguhan yang tinggi serta kesanggupan menghadapi apa-apa jua cabaran yang mendatang dalam menempuhi kehidupan selepas mendapat keputusan SPM.
Sebagai ibu bapa, tidak dinafikan bahawa mereka sentiasa mengharapkan perkara yang terbaik untuk anak-anak. Kecemerlangan dalam SPM menjadi harapan setiap ibu bapa. Maka itu, apabila keputusan yang diperoleh anak-anak tidak seperti diharapkan, mereka menghadapi situasi seperti sedih, marah dan kecewa. Situasi seperti ini normal kerana mereka telah berkorban dalam banyak perkara demi memastikan anak-anak mencapai pendidikan terbaik. Ketika berhadapan dengan situasi ini, tidak salah untuk mereka berasa sedih, marah dan kecewa. Namun, bangkitlah bersama-sama anak untuk meneruskan perjalanan kehidupan yang masih lagi panjang buat mereka. Keputusan SPM yang tidak seperti diharapkan cuma satu daripada episod dalam perjalanan hidup. Hal ini juga boleh dianggap sebagai satu peluang baharu dan juga tidak bermakna seseorang itu akan kecundang untuk selama-selamanya.
Ibu bapa perlu memahami bahawa setiap anak melalui laluan yang berbeza. Setiap anak juga mempunyai keunikan tersendiri. Ada yang berjaya dengan mudah dan ada pula perlu mendaki lebih tinggi untuk berjaya. Kita tidak boleh mengukur nilai mereka hanya berdasarkan satu keputusan peperiksaan. Perkara yang penting ialah mereka perlu diberikan ruang dan peluang untuk mengenali potensi diri dan membina keyakinan diri serta mempunyai semangat untuk terus mencuba dan percaya pada diri sendiri. Ibu bapa perlu terus berada di belakang mereka,yakni menjadi penyokong dan pembimbing terbaik untuk anak yang mengalami kekecewaan dsebabkan keptuusan yang tidak memihak kepada mereka.
Pada hakikatnya, banyak jalan lain mampu membawa kepada masa hadapan yang lebih baik. Setiap jalan yang dipilih selepas itu sama ada menerusi akademik, TVET atau keusahawanan mampu membawa kepada kejayaan jika disertai dengan usaha dan semangat tidak pernah padam. Akhir kalam, sekali lagi diingatkan kepada lepasan SPM dan ibu bapa, cerminan keputusan SPM itu bukanlah penentu segala-galanya dalam kehidupan kita.