Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangSejarah pasukan hoki lelaki Malaysia dalam peta hoki antarabangsa agak gemilang sejak zaman dahulu. Pasukan hoki lelaki Malaysia pernah menduduki tempat keempat dalam kejohanan Piala Dunia Hoki Lelaki Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) pada tahun 1975, ketika itu Malaysia menjadi tuan rumah. Pasukan junior hoki lelaki juga pernah mengungguli tempat keempat dalam kejohanan Piala Dunia Hoki Lelaki Junior FIH pada tahun 2013 di India. Pasukan itu tewas kepada pasukan Perancis dalam perlawanan separuh akhir sebelum kecundang kepada pasukan Belanda dalam penentuan tempat ketiga dan keempat.
Pencapaian paling gemilang sudah tentunya ketika Malaysia memenangi pingat perak dalam acara hoki lelaki Sukan Komanwel 1998 di hadapan penonton sendiri di Kuala Lumpur. Pasukan hoki Malaysia tewas kepada pasukan Australia dalam perlawanan akhir.
Namun begitu, semenjak beberapa tahun ini, prestasi pasukan hoki kebangsaan semakin merosot. Bermula dengan menduduki tangga tercorot, iaitu tangga keenam dalam kejohanan Trofi Juara-juara Asia di Moqi, China pada tahun 2024, prestasi pasukan hoki Malaysia terus hambar dalam kejohanan hoki lelaki Piala Negara-negara FIH 2024-2025 yang dilangsungkan di laman sendiri. Kejohanan ini menawarkan tiket kepada juara untuk layak ke kejohanan hoki lelaki Liga Pro FIH 2025-2026. Liga Pro FIH merupakan liga elit yang dianjurkan oleh FIH bagi menggantikan Liga Dunia Hoki FIH sebelum ini.
Pasukan hoki Malaysia hanya berjaya menduduki tempat keenam daripada lapan pasukan yang bertanding dalam Piala Negara-negara FIH itu. Pada peringkat kumpulan, pasukan Malaysia gagal mara ke separuh akhir setelah tewas kepada pasukan hoki New Zealand dalam perlawanan kedua. Walaupun berjaya menewaskan pasukan hoki Jepun dan seri dengan pasukan hoki Pakistan, jumlah jaringan tidak mencukupi untuk membawa Malaysia dalam kelompok empat pasukan terbaik.
Pasukan hoki Malaysia bersaing dalam perlawanan klasifikasi tempat kelima hingga kelapan. Pasukan kebangsaan berjaya menewaskan pasukan hoki Afrika Selatan sebelum tewas kepada pasukan hoki Wales dalam penentuan tempat kelima dan keenam.
Pasukan hoki Malaysia yang dilatih oleh Sarjit Singh Kundan perlu berbuat sesuatu sebelum aksi kejohanan hoki lelaki Piala Asia yang akan dilangsungkan pada 27 Ogos hingga 7 September 2025 di India. Juara kejohanan ini akan diberikan tiket automatik ke kejohanan Piala Dunia Hoki Lelaki FIH yang akan dilangsungkan di Amstelveen, Belanda dan Wavre, Belgium pada bulan Ogos 2026. Jika tidak, pasukan hoki Malaysia perlu melalui pusingan kelayakan Piala Dunia yang dilangsungkan pada bulan Februari 2026.
Cabaran Piala Asia tentulah getir apabila Malaysia perlu bersaing dengan lima kuasa besar hoki Asia yang lain, iaitu tuan rumah, India, Pakistan, Korea Selatan, Jepun dan China. Pasukan India dilihat pasukan pilihan untuk menjuarai kejohanan itu berdasarkan prestasi semasa pasukan itu. Pasukan India menjadi satu-satunya pasukan hoki Asia yang beraksi dalam Liga Pro FIH dan masih kekal bersaing bagi musim 2025-2026. Untuk itu, pasukan ini sudah beraksi dengan kuasa besar hoki dunia seperti Belanda, Belgium, Sepanyol, Jerman, Australia dan Argentina.
Tambahan pula, melalui revolusi yang telah dilakukan oleh Persatuan Hoki India (Hockey India) menjadikan pasukan itu sukar digugat oleh mana-mana pasukan hoki Asia yang lain. Pasukan hoki India juga berjaya menjuarai Trofi Juara-juara Hoki Asia di China pada tahun 2024 menambahkan lagi bukti bahawa pasukan ini bakal merampas semula Piala Asia kali ini. Dalam Piala Asia Hoki Lelaki 2022 di Jakarta, Indonesia sebelum ini, pasukan hoki Korea Selatan telah menjulang trofi dengan menewaskan pasukan hoki Malaysia di perlawanan akhir.
Dari sudut kem hoki Malaysia pula, pasukan hoki Malaysia perlu mempertingkat usaha dan prestasi untuk kekal bersaing dalam hoki antarabangsa. Setakat ini, Malaysia tidak pernah terlepas beraksi dalam Piala Dunia Hoki Lelaki sejak layak pada tahun 2014 yang dilangsungkan di The Hague, Belanda. Malaysia terus mara ke pusingan akhir bagi edisi tahun 2018 dan 2023 apabila kedua-duanya dilangsungkan di India. Hanya Malaysia masih gagal untuk menempatkan diri dalam acara hoki lelaki Sukan Olimpik setelah kali terakhir layak pada tahun 2000 di Sydney, Australia.
Berbanding dengan Piala Dunia Hoki FIH yang memberikan sebanyak 16 slot, hanya 12 slot diberikan oleh Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) untuk setiap pasukan hoki layak ke Sukan Olimpik. Dengan jumlah yang agak terhad ini, agak sukar untuk semua pasukan hoki mara ke pusingan akhir termasuklah Malaysia. Peluang yang terhad ini menyebabkan Malaysia gagal melayakkan ke Sukan Olimpik sejak tahun 2000 hingga sekarang.
Hoki Malaysia memerlukan satu revolusi seperti mana yang berlaku pada pasukan bola sepak Malaysia. Pasukan hoki kebangsaan masih menagih khidmat pemain-pemain senior seperti Faizal Saari, Fitri Saari, Firhan Ashari dan Sharil Saabah. Pemain-pemain ini sudah berumur lebih 30-an dan semakin berusia untuk memberikan khidmat dalam sukan hoki yang memerlukan stamina dan kepantasan. Walaupun pasukan muda hoki Malaysia mampu memberikan pemain pelapis kepada pasukan senior tetapi jurang kualiti itu masih wujud antara kedua-dua generasi itu.
Program pembangunan pemain muda hoki Malaysia masih berada tahap yang rendah berbanding dengan program pembangunan hoki India. Ini dapat dilihat sendiri dalam kejohanan hoki junior lelaki Piala Asia pada tahun 2024 yang dilangsungkan di Muscat, Oman. Pasukan hoki India berjaya menjuarai kejohanan itu setelah menewaskan pasukan hoki Malaysia dalam pusingan separuh akhir sebelum menumpaskan pasukan hoki Pakistan dalam perlawanan akhir. Pasukan hoki muda Malaysia sekadar menduduki tempat keempat setelah tewas kepada pasukan Jepun dalam perlawanan penentuan tempat ketiga dan keempat. Walau bagaimanapun, pasukan hoki junior Malaysia tetap mara ke pusingan akhir Piala Dunia Hoki Junior FIH tahun 2025 yang akan dilangsungkan di India.
Melihat pada situasi yang dihadapi oleh pasukan hoki Malaysia, kita dapat melihat masa depan yang penuh tanda tanya kepada sukan hoki ini. Pihak Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) perlu memandang serius kepada permasalahan ini agar jurang pasukan hoki Malaysia tidak berada begitu jauh dengan negara-negara kuasa besar hoki yang lain. Pihak kerajaan melalui Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) juga perlu turut serta menggiatkan lagi usaha dan program pembangunan hoki di Malaysia.
Kita tidak mahu prestasi pasukan hoki Malaysia akan terus merudum dan tidak lagi mampu bersaing dengan pasukan-pasukan dari benua Asia sendiri yang semakin meningkat prestasi mereka. Lihat pasukan hoki China sendiri yang ketika dahulu menjadi pasukan belasahan pasukan gergasi hoki Asia lain sudah semakin kuat dan mampu memberikan saingan terhadap India, Pakistan, Korea Selatan dan Malaysia.
Oleh itu, MHC dan pihak yang berkaitan perlu berusaha keras agar hoki terus relevan dalam peta hoki dunia dan sekali gus mampu layak semula ke Sukan Olimpik. Jika tidak, masa hadapan sukan hoki di Malaysia akan malap dan kemungkinan menjadi pasukan belasahan pasukan lain suatu hari kelak.