Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangMenteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im Mokhtar menzahirkan kebimbangan apabila melihat laporan yang menunjukkan bahawa sebanyak 1,091 orang pelajar di institusi pengajian tinggi (IPT) direkodkan menghidap Human Immunodeficiency Virus (HIV) antara tahun 2020 hingga tahun 2024 dengan peningkatan sebanyak 222 kes baharu pada tahun 2024. Majoriti penghidapnya pula berumur antara 18 tahun hingga 19 tahun. Beliau berpendapat bahawa gejala sosial dan keruntuhan nilai moral menjadi punca utama kepada peningkatan jangkitan HIV dalam kalangan anak muda dan turut menyeru agar normalisasi maksiat atas nama kebebasan peribadi ini dihentikan.
Beliau berpandangan bahawa pendidikan kesedaran dan penguatkuasaan perlu bergerak seiring dalam usaha untuk menyelamatkan generasi pewaris negara melalui agensi agama, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan institusi pendidikan. Selain itu, pelajar dan anak muda juga perlu membina benteng akhlak dan rohani dengan menjaga maruah dan nilai diri, menjadikan agama sebagai panduan kehidupan dan bukan sekadar pelajaran serta hiduplah dengan prinsip, bukan hanya sekadar mengikut arus.
Pemuda Penggoncang Dunia
Memetik kata-kata Presiden Indonesia Pertama, Soekarno: “Berikan aku 10 pemuda, nescaya akan aku goncangkan dunia!” YBrs. Profesor Dr. Yusuf al-Qaradawi juga pernah menyatakan: “Apabila kita hendak melihat wajah negara pada masa hadapan, lihatlah generasi mudanya pada hari ini. Sekiranya golongan muda pada hari ini terdiri daripada individu yang berakhlak dan berhemah tinggi, masa hadapan negara pasti akan aman dan makmur. Namun begitu, jika keadaan menjadi sebaliknya pula, maka bersedialah untuk berhadapan dengan kemungkinan buruk yang akan berlaku kelak.”
Adakah kita sudah bersedia melihat wajah negara pada masa hadapan melalui statistik yang membimbangkan sekiranya tiada langkah pencegahan secara mega dilakukan?
Pendidikan seks atau kesihatan pada peringkat sekolah rendah, menengah dan universiti perlu diperkasakan dan diperhebat dalam mendepani cabaran semasa dan realiti masyarakat kini. Sebarang perlakuan menjurus kepada amalan tidak bermoral perlu dijauhi dengan sebaik-baik mungkin agar bertepatan dengan firman Allah SWT dalam Surah al-Isra’ ayat 32 yang bermaksud: “Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu satu perbuatan yang keji dan jalan yang jahat (yang membawa kerosakan).” Selain peringatan dan nasihat untuk menjauhi perkara yang dilarang dalam agama, penerangan dari sudut kesihatan dan perubatan juga perlu diterangkan dengan sebaik-sebaiknya.”
Perbincangan tentang penyakit kelamin dan HIV secara terbuka masih agak tabu di Malaysia. Dalam hal ini, usaha yang dilakukan oleh Universiti Utara Malaysia (UUM) melalui hantaran sebuah video pendek yang dimuat naik dalam media sosial seperti Facebook, Instagram dan TikTok harus dipuji. Video tersebut memaparkan seorang pelajar universiti yang sedang melakukan hubungan seks rambang. Yang menariknya, video tersebut memaparkan realiti bahawa sesiapa sahaja boleh terjebak dalam gejala yang tidak bermoral itu, bukan hanya pasangan heteroseksual, malah sesama jantina baik lelaki mahupun wanita.
Adakah berbaloi merasa nikmat yang sementara, namun terpaksa menanggung akibat selama-lamanya apabila dijangkiti penyakit yang boleh membawa maut sekiranya tidak didiagnosis dan dirawat dengan segera? Pusat Kesihatan dan Kesejahteraan Universiti (PKKU) UUM turut mengambil inisiatif melancarkan kempen poster kesedaran mengenai jenis-jenis penyakit kelamin atau jangkitan seksual (STI) seperti sifilis, gonorea, klamidia dan HIV/AIDS serta cara penularan yang sering berlaku akibat hubungan seksual yang tidak selamat.
Poster tersebut dipaparkan di kawasan strategik kampus seperti di perpustakaan, kolej kediaman dan kafeteria supaya diambil cakna oleh semua warga kampus. Kempen kesedaran seperti ini juga boleh dijadikan sebagai contoh ikutan kepada institusi pendidikan lain, bukan sahaja di IPT malah di sekolah seluruh negara. Kementerian Pendidikan Tinggi, Kementerian Kesihatan dan Kementerian Belia dan Sukan boleh menggerakkan jentera secara besar-besaran dan turun padang ke semua universiti untuk memberikan penerangan tentang isu ini kepada mahasiswa.
Selain itu, khidmat pempengaruh boleh digunakan untuk menarik minat pelajar mendengar topik berkaitan dengan HIV dan penyakit kelamin. Khutbah Jumaat di setiap negeri boleh menyediakan teks berkaitan dengan isu ini secara berkala supaya dapat dihayati oleh semua lapisan masyarakat. Penulis yang terdiri daripada pelbagai latar belakang pendidikan juga boleh memainkan peranan dengan menyumbang buah fikiran melalui penulisan berkaitan dengan isu ini, sama ada dari aspek agama, emosi, kesihatan, keselamatan, psikospiritual, pekerjaan, sosial dan sebagainya. Penulisan tersebut boleh dihebahkan melalui semua platform dan ruang yang ada sebagai medium perbincangan dan wacana umum tanpa tabir.
Perubahan Era, Penguatkuasaan Tegas
Era berubah, bukan sahaja penghantaran makanan dan pakaian yang boleh dilakukan melalui sistem pesanan secara dalam talian. Kini, perkhidmatan pelacuran juga boleh dipesan melalui aplikasi dalam telefon pintar, contohnya seperti e-lacur yang boleh diakses dari rumah, asrama, tempat kerja atau di mana-mana sahaja. Perkhidmatan pelacuran ini atau turut dikenali sebagai “servis” juga ditawarkan secara terbuka melalui akaun sisi gelap atau DS (dark-side) melalui laman X. Dalam hal ini, penguatkuasaan tegas perlu dilakukan oleh kerajaan dan badan berkuasa seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dengan memantau dan menyekat akaun yang mencurigakan. Orang ramai juga boleh menyalurkan maklumat kepada pihak berkepentingan dalam usaha untuk membanteras isu yang semakin membarah ini secara kolektif.
Kaedah tradisional seperti memberikan peringatan dan nasihat juga masih boleh digunakan. Para pendidik seperti cikgu dan pensyarah juga boleh mengingatkan pelajar di dalam kelas akan bahaya melakukan hubungan seks tanpa perlindungan sama ada dengan berlainan jantina atau sama jantina. Bahkan, perkara tersebut juga amat ditegah oleh agama. Bukan sahaja boleh menyebabkan isu kebejatan sosial seperti hamil luar nikah, pembuangan bayi, kerosakan nasab, malah menyebabkan berlakunya penyakit kelamin seperti STD, STI dan HIV/AIDS. Pendekatan amar makruf nahi mungkar (menyeru ke arah kebaikan dan mencegah kemungkaran) wajar dipraktikkan dalam kalangan masyarakat supaya kita saling beringat dan akhirnya membenci perbuatan maksiat itu sendiri.
Hukuman yang lebih berat juga boleh dikenakan ke atas golongan “super spreader” yang dengan sengaja atau tidak sengaja menyebarkan HIV kepada orang ramai. Perbuatan ini sama ada sengaja dilakukan kerana ingin membalas dendam, atau tidak sengaja kerana tidak melakukan pemeriksaan kesihatan boleh memusnahkan kehidupan orang lain, dan merupakan satu jenayah yang tidak harus dipandang ringan. Ambil iktibar daripada beberapa kes terbaharu yang tular kini seperti kes Sister Hong of Nanjing/Uncle Red dari China yang melakukan hubungan seks dengan lebih 1600 orang lelaki yang segelintir daripada mereka terkena jangkitan HIV dan penyakit kelamin STD.
Begitu juga dengan berita yang berlaku baru-baru ini berkaitan dengan serbuan polis di sebuah banglo di Jalan Kemumin, Kelantan, yang dipercayai disertai hampir 100 orang gay. Berdasarkan soal siasat bersama-sama dengan 20 orang gay tersebut, mereka mengaku bahawa mereka menghidap penyakit HIV. Walaupun Majlis AIDS Malaysia dalam kenyataan terbaharunya menyatakan bahawa program yang didakwa sebagai pesta gay itu merupakan sesi turun padang atau outreach bagi mendekati komuniti berisiko tinggi sebagai pencegahan HIV, namun Ketua Polis Kelantan, YBhg. Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata pihaknya mempunyai bukti kukuh berhubung kes tersebut hasil risikan rapi pihaknya sebelum serbuan dibuat demi menjaga keselamatan dan ketenteraman awam.
Langkah Pencegahan
Terdapat beberapa usaha pengurangan kemudaratan yang telah dan boleh dilaksanakan seperti penggunaan kondom dan kaedah Profilaksis Pra-Pendedahan (PrEP) sebagai langkah pencegahan HIV. PrEP diambil sebelum berlakunya pendedahan kepada HIV bertujuan menghalang virus daripada membiak dan menjangkiti tubuh. Kaedah ini disyorkan kepada individu yang berisiko tinggi dijangkiti HIV seperti mereka yang kerap melakukan hubungan seks tanpa kondom, berkongsi jarum suntikan atau mempunyai pasangan positif HIV.
Menurut Timbalan Menteri Kesihatan, YBhg. Datuk Lukanisman Awang Sauni, pelaksanaan PrEP di beberapa fasiliti kesihatan juga menunjukkan kejayaan dalam membendung penularan jangkitan. Meskipun keberkesanan ubat PrEP membantu dalam pencegahan penularan virus HIV, namun terdapat hukum penggunaannya bagi yang beragama Islam. Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) Kali Ke-122 yang bersidang dari 18 Oktober hingga 20 Oktober 2023 memutuskan bahawa PrEP harus diambil dan diberikan kepada pasangan suami isteri yang sah bagi mengelakkan penularan HIV kepada pasangan yang belum dijangkiti dengan nasihat pegawai perubatan manakala pemberian dan pengambilan PrEP untuk tujuan maksiat adalah dilarang dan diharamkan.
Walau bagaimanapun, Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis yang bersidang pada 23 Julai dan 24 Julai 2023 berpandangan bahawa mudarat penyebaran HIV yang boleh berjangkit secara meluas adalah lebih besar berbanding dengan mudarat penyalahgunaan PrEP untuk menggalakkan perbuatan songsang, namun mereka tetap menekankan pengharaman bagi individu yang mengambil PrEP untuk menggalakkan dirinya melakukan seks bebas atau songsang. Penulis berharap agar Jawatankuasa Fatwa Negeri-negeri dapat melakukan kajian lebih teliti berkenaan dengan PrEP bagi individu yang terlibat dengan perlakuan seks songsang dengan memberikan pertimbangan terhadap mafsadah atau kemudaratan yang bakal berlaku kepada bukan sahaja ahli keluarga, namun masyarakat secara umumnya dalam mengekang penularan HIV ini. Langkah ini bukanlah untuk menggalakkan tetapi mencegah malapetaka yang lebih besar dan bertepatan dengan kaedah fiqh, iaitu “Apabila bertembung dengan dua mafsadah (keburukan atau kerosakan), maka kita melakukan mafsadah yang lebih ringan.”
Bagi individu yang sudah terlanjur dan mempunyai simptom penyakit HIV, usahlah malu untuk berjumpa dengan doktor bagi mengenal pasti penyakit anda. Jangan bimbang kerana terdapat hak keistimewaan dan privasi antara pesakit dengan doktor yang akan menjaga maklumat kesihatan anda dan tidak akan didedahkan kepada sesiapa. Membuat konsultasi dengan doktor merupakan langkah terbaik daripada anda menyimpan sendiri masalah tersebut dan akhirnya bukan sahaja mengundang padah kepada diri sendiri, malah lebih parah dan bahaya apabila merebakkan penyakit kelamin dan HIV tersebut kepada orang lain. Sesungguhnya, mencegah adalah lebih baik daripada mengubati.