Diterbitkan pada 14 Ogos 2025, 13:15

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Buli merujuk tingkah laku agresif yang berulang kali dilakukan untuk menyakiti atau mengawal orang lain secara fizikal, verbal atau emosi. Walaupun ramai yang beranggapan bahawa buli hanya berlaku di sekolah atau di tempat kerja sahaja, namun hakikatnya buli juga boleh berlaku di rumah, iaitu lingkungan yang sepatutnya menjadi tempat yang selamat dan penuh kasih sayang.

Buli yang berlaku di rumah boleh memberikan kesan psikologi yang lebih mendalam kerana melibatkan hubungan kekeluargaan yang rapat. Sebagai contoh, situasi buli yang berlaku dalam rumah termasuklah anak yang sering dipukul atau dimarahi dengan kasar oleh ibu bapa, atau adik-beradik yang saling mengejek dan mengabaikan perasaan antara satu sama lain. Kita perlu sedar bahawa buli juga boleh bermula dari rumah. Oleh itu, kita perlu mengambil langkah yang sewajarnya untuk menghentikan gejala buli ini supaya rumah kekal menjadi tempat yang selamat dan menyokong perkembangan emosi ahli keluarga.

Buli boleh merosakkan hubungan antara ahli keluarga. Apabila berlakunya buli yang melibatkan kata-kata kesat atau keganasan fizikal, keadaan ini akan menimbulkan perasaan takut, rendah diri dan ketidakselesaan dalam kalangan ahli keluarga. Perasaan tidak selamat ini menyebabkan mangsa menjauhkan diri dan mengurangkan komunikasi dengan ahli keluarga yang lain. Menurut kajian daripada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) pada tahun 2023, lebih 30 peratus remaja melaporkan mengalami keganasan fizikal atau emosi di rumah. Data ini menunjukkan bahawa buli di rumah masih berlaku dalam masyarakat dan memberikan kesan langsung terhadap hubungan keluarga.

Sebagai contoh, seorang anak yang selalu dimarahi atau dipukul oleh ibu bapa mungkin menjadi pendiam dan jarang berkongsi masalah dengan keluarga, sekali gus menjejaskan keakraban keluarga. Hubungan yang renggang ini menjadikan suasana rumah tidak harmoni dan boleh menyebabkan masalah seperti tekanan mental, konflik berterusan, malah boleh membawa kepada masalah sosial yang lebih serius seperti lari dari rumah atau tingkah laku bermasalah.

Selain itu, buli di rumah memberikan kesan buruk terhadap perkembangan mental dan emosi mangsa. Hal ini demikian kerana mangsa buli di rumah mudah mengalami tekanan, rendah diri dan kurang keyakinan yang boleh menjejaskan prestasi di sekolah dan kehidupan sosial. Kesan psikologi ini boleh berpanjangan dan mempengaruhi kesejahteraan individu dalam jangka masa panjang.

Menurut Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2023, kira-kira 4.6 peratus penduduk Malaysia berusia 15 tahun ke atas mengalami kemurungan, iaitu peningkatan dua kali ganda berbanding dengan tahun 2019. Walaupun data ini tidak spesifik kepada buli yang berlaku di rumah, namun mencerminkan peningkatan isu kesihatan mental dalam kalangan masyarakat secara umum.

Selain itu, kajian oleh Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) mendapati bahawa buli siber, yang sering bermula dari rumah melalui peranti digital, boleh menyebabkan mangsa mengalami kecemasan, kemurungan dan berisiko untuk membunuh diri. Oleh itu, buli di rumah bukan sahaja memberikan kesan jangka pendek, tetapi juga kesan jangka panjang terhadap kesejahteraan individu. Kesan negatif ini boleh mempengaruhi hubungan sosial, prestasi akademik dan kestabilan emosi mangsa.

Buli bukan sahaja memberikan kesan emosi tetapi juga boleh menjejaskan kesihatan fizikal dan hubungan sosial mangsa. Hal ini demikian kerana tekanan yang berterusan akibat buli di rumah boleh menyebabkan gangguan tidur, sakit kepala dan masalah kesihatan lain. Selain itu, mangsa mungkin sukar menyesuaikan diri dalam pergaulan kerana perasaan rendah diri dan kurang keyakinan. Sebagai contoh, pada tahun 2024, terdapat beberapa kes buli melibatkan keluarga di Malaysia yang mendapat perhatian media. Contohnya, seorang remaja di Selangor yang dilaporkan mengalami keganasan fizikal dan mental oleh ahli keluarganya sendiri. Kes ini hanya diketahui selepas mangsa meluahkan masalahnya kepada guru di sekolah, yang kemudian bertindak mendapatkan bantuan kaunseling. Kes sebegini menunjukkan betapa pentingnya komunikasi terbuka dan kesedaran dalam kalangan ahli keluarga supaya mangsa tidak terus terperangkap dalam penderitaan. Pendek kata, buli di rumah bukan sahaja memberikan kesan emosi tetapi juga kesejahteraan fizikal dan sosial mangsa, yang memerlukan perhatian serius daripada keluarga dan masyarakat.

Sehubungan dengan itu, kesedaran dan komunikasi merupakan kunci untuk menghentikan buli di rumah. Dengan memahami maksud buli dan membuka ruang perbincangan secara terbuka dalam keluarga, ahli keluarga dapat mengenal pasti masalah lebih awal dan mencari jalan penyelesaian bersama-sama.

Komunikasi yang efektif membantu mengurangkan salah faham dan mencegah tindakan buli daripada berterusan. Selain itu, inisiatif kerajaan seperti program “Keluarga Sihat Bahagia” anjuran KPWKM juga menekankan pentingnya pendidikan dan latihan komunikasi dalam keluarga untuk mencegah buli dan keganasan rumah tangga. Oleh itu, pendidikan dan kesedaran dalam kalangan keluarga sangat penting untuk membina suasana rumah yang selamat, harmoni dan menyokong kesejahteraan emosi semua ahli keluarga. Komunikasi yang sihat boleh menjadi benteng utama dalam menghentikan buli di rumah.

Tindakan segera dan mendapatkan sokongan profesional merupakan langkah penting untuk menghentikan buli di rumah. Situasi buli di rumah yang tidak ditangani dengan segera boleh berlarutan dan menjadi lebih serius. Oleh itu, ahli keluarga perlu mengambil tindakan konkrit seperti menetapkan batasan jelas terhadap tingkah laku buli, dan memastikan semua ahli keluarga memahami bahawa buli tidak boleh diterima sama sekali.

Selain itu, bantuan daripada kaunselor keluarga, psikologi atau pihak berkuasa sosial penting untuk memberikan intervensi yang sesuai, membantu mangsa memulihkan diri serta membimbing keluarga mengurus konflik secara positif. Sokongan profesional juga dapat membantu mengesan punca buli dan membina strategi penyelesaian jangka panjang yang berkesan. Contohnya, pada tahun 2023, KPWKM telah melancarkan program kaunseling keluarga dan intervensi psikososial di beberapa buah negeri yang terlibat dengan kes keganasan rumah tangga dan buli.

Melalui program ini, mangsa yang mengalami buli dalam keluarga mendapat peluang untuk mendapatkan sokongan psikologi dan panduan untuk membina hubungan yang lebih sihat. Selain itu, keluarga juga dididik dengan cara komunikasi yang efektif dan cara menangani konflik tanpa menggunakan kekerasan atau buli. Oleh itu, mengambil tindakan segera dan mendapatkan bantuan profesional bukan sahaja membantu menghentikan buli di rumah tetapi juga memupuk suasana yang harmoni dan menyokong perkembangan emosi positif dalam keluarga.

Kesimpulannya, buli yang bermula di rumah bukan sekadar luka yang kelihatan, sebaliknya mencalitkan kesan dalam jiwa yang sukar dihapus. Situasi malang ini meruntun hati, merenggangkan kasih sayang dan menabur benih kesakitan yang membelenggu emosi setiap insan yang terlibat. Rumah, sepatutnya menjadi tempat kita berlindung dan pulang dengan harapan, bukan medan derita dan keresahan. Namun begitu, masih belum terlambat untuk kita berubah. Dengan kesedaran yang jitu dan komunikasi yang terbuka, kita boleh memutuskan rantaian buli yang menyeksa ini. Segala usaha dan tindakan yang kita ambil pada hari ini merupakan pelaburan kasih sayang untuk masa depan keluarga yang harmoni dan penuh kehangatan.

Ingatlah, sebelum nasi menjadi bubur, sebelum luka kecil menjadi parah dan hati yang rapuh hancur berkecai, marilah kita bersama-sama melangkah ke arah perubahan, membina rumah yang bukan sahaja tempat berteduh, tetapi syurga yang dipenuhi dengan kasih dan sayang daripada seisi keluarga yang bahagia.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi