Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangJalur Gemilang sudah mula berkibar di sepanjang jalan besar mahupun lorong kecil di kebanyakan desa bagi memeriahkan sambutan Hari Kebangsaan yang bakal tiba. Menjelang kemuncak sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos 2025, turut diserikan dengan beberapa sambutan perayaan lain seperti di pusat beli-belah, taman awam, pusat permainan dan firma persendirian.
Sambutan ini menggambarkan keprihatinan rakyat Malaysia terhadap detik bersejarah kemerdekaan negara pada tahun 31 Ogos 1957. Rakyat Malaysia meraikan detik 31 Ogos dengan penuh semangat patriotik melalui pelbagai acara seperti perarakan, persembahan kebudayaan, pameran sejarah dan kibaran Jalur Gemilang di seluruh negara. Tarikh 31 Ogos bukan sekadar perayaan kemerdekaan sahaja, namun merupakan sambutan bersejarah untuk mengenang pengorbanan para pejuang kemerdekaan yang telah berjuang menuntut kebebasan sama ada di medan perang, politik dan menentang penjajah. Sambutan Hari Kebangsaan menggambarkan satu wadah semangat perpaduan antara kaum bagi mengukuhkan rasa cinta kepada tanah air.
Bersempena dengan semangat kemerdekaan, kerajaan telah menganjurkan sambutan Hari Kebangsaan 2025 dengan tema “Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni”. Tema ini menggambarkan aspirasi negara untuk membina masyarakat yang sejahtera, bersatu padu dan berteraskan nilai kemanusiaan sejagat. Tema ini selari dengan dasar negara yang berlandaskan Malaysia MADANI yang bertujuan membentuk sebuah negara yang prihatin terhadap kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan untuk mendukung sebuah negara yang maju dalam bidang ekonomi, sosial dan moral.
Bersesuaian dengan kerangka Malaysia MADANI, frasa Rakyat Disantuni memberikan maksud bahawa setiap lapisan masyarakat perlu diberikan peluang sama rata untuk untuk melibatkan diri dalam pembangunan ekonomi, peluang pekerjaan, keusahawanan, atau pelibatan dalam industri. Sebagai sebuah negara yang memberikan perhatian terhadap keseimbangan antara pembangunan material dengan kerohanian, pendekatan nilai yang berteraskan kemanusiaan, kesejahteraan sosial dan keadilan, akan memperkukuh pembangunan ekonomi negara. Tema Hari Kebangsaan yang memberikan perhatian terhadap Rakyat Disantuni ini telah menggambarkan bahawa keprihatinan pihak kerajaan dalam memastikan pembangunan ekonomi dan kebajikan rakyat perlu diberikan keutamaan.
Keselarian tema Rakyat Disantuni dengan kesajahteraan ekonomi amat berkait rapat dengan konsep kelestarian sebagaimana yang telah digembar-gemburkan oleh beberapa buah agensi kerajaan dan juga badan swasta. Konsep ini yang juga membincangkan tentang keseimbangan antara sosial, ekonomi dan persekitaran telah menjadi perhatian utama kepada pelaku industri dan pemikir ekonomi untuk membina kesejahteraan negara pada hari ini.
Tema Hari Kebangsaan, iatu Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni dapat dijadikan sebagai panduan dalam membina kesejahteraan ekonomi yang berteraskan Perlembagaan Negara. Perkara yang lebih penting adalah bagaimanakah untuk menghuraikan konsep Malaysia MADANI dan Rakyat Disantuni ini dengan Perlembagaan Negara yang merupakan undang-undang tertinggi negara yang membentuk kerajaan, pembahagian kuasa, serta prinsip demokrasi yang diamalkan di Malaysia sehingga sekarang.
Pelaksanaan tema Hari Kebangsaan ini juga memperkukuh beberapa dasar kerajaan sejak kemerdekaan sebagaimana yang telah dilaksananakan sebelum ini. Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang dilancarkan oleh Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak Hussein pada tahun 1971 adalah antara dasar yang memberikan perhatian terhadap kesejahteraan ekonomi melalui kesamarataan kaum di Malaysia. Pelaksanaan DEB ini turut memperlihatkan semangat Rakyat Disantuni tidak hanya menguntungkan segelintir pihak, tetapi telah dirancang agar dapat menjangkau seluruh lapisan masyarakat di Malaysia.
Oleh itu, tema Hari Kebangsaan Rakyat Disantuni pada tahun ini amat signifikan dengan matlamat DEB yang memberikan perhatian terhadap kesejahteraan yang tidak hanya kepada aspek ekonomi semata-mata, namun kepada kesejahteraan masyarakat keseluruhannya. Pada masa yang sama, kedua-dua dasar dan tema Hari Kebangsaan tahun 2025 ini amat sinonim dan memberikan perhatian terhadap kesejahteraan ekonomi kepada rakyat Malaysia. Secara tidak langsung, keadaan ini akan mengurangkan jurang sosioekonomi antara kaum dan mengukuhkan perpaduan nasional serta meningkatkan kesejahteraan ekonomi seiring dengan semangat Rakyat Disantuni yang mementingkan keharmonian dan kesaksamaan antara kaum.
Selain itu, Dasar Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB 2030) yang telah dilancarkan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad pada tahun 2019 juga mempunyai kaitan yang sangat rapat dengan tema Rakyat Disantuni. Kedua-dua tema ini berlandaskan prinsip keadilan sosial dan kesejahteraan bersama. Kedua-dua tema dan dasar ini menekankan agihan ekonomi yang adil dan keutamaan kepada golongan berpendapatan rendah, masyarakat luar bandar dan kawasan lain yang masih ketinggalan dari segi pembangunan.
Selari dengan dasar WKB 2030 ini, konsep Rakyat Disantuni tidak hanya membantu pertumbuhan ekonomi negara, malah turut meningkatkan peluang ekonomi niaga kepada pengusaha sama ada dalam perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS). Keadaan ini dapat memperkasakan dan memperkukuh lagi pendekatan keusahawanan dalam industri kecil dan luar bandar di Malaysia. Hal ini selaras dengan konsep Rakyat Disantuni, yang menuntut agar rakyat bukan sahaja dibantu melalui bantuan ekonomi yang diberikan, tetapi juga melibatkan mereka bersamas-sama merebut peluang dalam ekonomi dan pembangunan yang disediakan. WKB 2030 merupakan dasar penting yang dapat meningkatkan taraf hidup rakyat dan memperkukuh perpaduan serta kesejahteraan sosial yang menjadi tunjang kepada tema Hari Kebangsaan 2025 Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni.
Bagi memastikan pembangunan ekonomi negara tidak hanya mengejar keuntungan jangka pendek sahaja, pendekatan kelestarian ekonomi penting untuk merealisasikan tema Rakyat Disantuni berterusan dalam kesejahteraan rakyat secara berpanjangan. Dalam konteks ini juga, tema Rakyat Disantuni memberikan perhatian bahawa kelestarian di Malaysia perlu dijalankan dengan mengambil kira keseimbangan keuntungan ekonomi melibatkan pemeliharaan alam sekitar dan keadilan sosial.
Pada hari ini, firma besar dan sederhana dalam industri digalakkan untuk mengamalkan prinsip kesejahteraan ekonomi yang lestari bagi membantu syarikat kecil dan mikro bersama-sama berdaya saing dalam ekonomi niaga. Melalui kesejahteraan ekonomi, Malaysia bukan sahaja dapat membina daya pasaran baharu dalam negara, malahan dapat mengekalkan daya saing di pasaran global. Kesemuanya ini memastikan kemakmuran dapat dikongsi secara bersama-sama dan seimbang sejajar dengan aspirasi Malaysia MADANI dan Rakyat Disantuni. Tema Hari Kebangsaan ini bukan hanya membina kesejahteraan hidup bermasyarakat, malah membentuk kesejahteraan ekonomi yang lestari, dan tiada golongan tercicir dalam arus kemajuan negara. Apabila peluang ekonomi diagih secara adil dan saksama, jurang kemiskinan dapat dikurangkan dan seterusnya memperkukuh perpaduan nasional.
Secara keseluruhannya, tema Hari Kebangsaan pada tahun 2025 ini, telah membawa aspirasi negara untuk membina masyarakat yang sejahtera, bersatu padu dan berteraskan kesejahteraan ekonomi. Malaysia sebagai sebuah negara yang berbilang kaum akan dapat membina peluang. Sama dalam pembangunan ekonomi melalui aspek pekerjaan, keusahawanan dan pelibatan dalam industri. Pelaksanaan tema Hari Kebangsaan ini juga selari dengan dasar negara yang telah dilaksankan sebelum ini, seperti Dasar Ekonomi Baru (1971) yang bertujuan mengurangkan jurang sosioekonomi antara kaum, serta Dasar Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 yang memberikan tumpuan kepada agihan ekonomi adil dan peluang untuk golongan berpendapatan rendah serta masyarakat luar bandar. Selain itu, tema ini juga menuntut pembangunan yang seimbang antara kemajuan ekonomi, kelestarian alam sekitar dan keadilan sosial. Tema Hari Kebangsaan bukan sekadar slogan sambutan, namun merupakan panduan strategik kepada rakyat dan negara bagi memastikan kemakmuran dapat dikongsi bersama-sama demi membina kesejahteraan ekonomi rakyat Malaysia yang lestari.