Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKes buli yang melibatkan pelajar di sekolah mahupun institusi pengajian tinggi sejak akhir-akhir ini telah menggemparkan negara. Kejadian tragik tersebut bukan sahaja mengundang simpati masyarakat, malah turut membuka ruang kepada perbahasan yang lebih mendalam tentang tanggungjawab institusi yang berkenaan dalam melindungi individu daripada perlakuan tidak berperikemanusiaan, terutamanya apabila insiden itu berlaku dalam sistem yang sepatutnya menjaga kebajikan, keselamatan dan perkembangan insan.
Walaupun tragedi tersebut dikatakan kerap berlaku dalam sektor pendidikan, realitinya insiden seumpama itu juga kerap berlaku dalam dunia pekerjaan dan organisasi moden, lebih-lebih lagi dalam sistem yang melibatkan hierarki kuasa dengna pendekatan komunikasi yang tidak seimbang, dan budaya organisasi yang membiarkan penindasan berlaku secara halus mahupun terbuka.
Dalam konteks ini, muncul satu persoalan, apakah pelajaran yang boleh diambil oleh pihak yang terlibat dalam bidang Pengurusan Sumber Manusia (PSM) daripada insiden buli institusi? Bagaimanakah kita dapat membina persekitaran kerja yang lebih adil, selamat dan berteraskan nilai kemanusiaan?
Buli sebagai Gejala Sistemik, Bukan Kes Terpencil
Buli tidak lagi wajar dianggap sebagai kes “nakal” individu, atau sekadar perlakuan spontan akibat tekanan rakan sebaya. Hal ini merupakan simptom kelemahan sistemik, sama ada dari segi mekanisme aduan yang tidak berfungsi, budaya takut bersuara, ataupun sikap sambil lewa terhadap penderaan kuasa.
Dalam dunia pekerjaan, bentuk buli mungkin lebih terselindung, namun kesannya juga berbahaya kepada individu yang mengalaminya. Hal tersebut boleh muncul sebagai tekanan emosi, penghinaan lisan, pengasingan sosial, atau manipulasi kuasa secara halus. Keadaan ini bukan sahaja menjejaskan kesihatan mental dan motivasi pekerja, malah turut merosakkan imej serta produktiviti organisasi secara keseluruhan.
Maka itu, PSM tidak boleh bersikap pasif dan harus bertindak sebagai pelindung hak pekerja, pemantau budaya organisasi, dan pemangkin kepada perubahan struktur secara menyeluruh.
PSM sebagai Benteng Perlindungan dan Keadilan
Satu daripada mesej utama daripada insiden buli institusi baru-baru ini ialah kepentingan menyediakan saluran aduan yang selamat, telus dan bebas daripada pengaruh atasan. Dalam konteks PSM, perkara ini boleh diterjemahkan melalui beberapa strategi utama:
Di samping itu, prinsip keadilan bukan hanya terpakai kepada mangsa, tetapi juga kepada pelaku. Sebagaimana dalam kes yang melibatkan individu bawah umur, undang-undang melindungi hak mereka untuk tidak didedahkan kepada penghakiman awam yang menghukum tanpa pembelaan. Dalam PSM, prinsip ini diterjemahkan sebagai hak kepada proses siasatan yang telus, serta peluang untuk pemulihan dan pembelaan diri.
Budaya Organisasi: Akar Kepimpinan dan Tanggungjawab Moral
Buli tidak berlaku tanpa adanya faktor pencetus. Insiden ini bercambah dalam suasana yang membiarkannya berlaku sama ada secara sengaja atau melalui kelalaian struktur. Pemimpin organisasi perlu menyedari bahawa mereka bukan sekadar pengurus prestasi, tetapi juga penentu kepada nilai dan norma budaya kerja.
Beberapa tindakan strategik yang perlu diberi perhatian oleh pihak HR dan pengurusan tertinggi termasuklah:
Jika insiden buli berulang kali berlaku dalam mana-mana institusi, hal tersebut menandakan kegagalan kepimpinan budaya dan kelemahan sistem pengawasan dalaman.
Pendekatan Pemulihan: Ke Arah Kemanusiaan yang Inklusif
Dalam insiden buli institusi, pendekatan “hukuman semata-mata” tidak memadai. Mangsa memerlukan pemulihan emosi dan sistem sokongan sosial yang mampan, manakala pelaku, lebih-lebih lagi jika masih muda atau berada dalam tekanan mental, harus diberikan peluang untuk memperbetul kesilapan diri melalui kaedah yang membina.
Prinsip keadilan restoratif semakin mendapat tempat dalam dunia PSM moden, menekankan pemulihan hubungan dan kepercayaan berbanding dengan hukuman yang memisahkan.
Antara inisiatif yang semakin diterima dalam organisasi progresif termasuklah:
Dari Tragedi kepada Transformasi Organisasi
Insiden buli institusi bukan sekadar kisah peribadi, tetapi gambaran kepada keretakan nilai dan sistem dalam organisasi moden yang menyeru kepada tindakan kolektif untuk memperkukuh dasar, memperhalus proses, dan menanam nilai kemanusiaan secara menyeluruh dalam budaya kerja harian.
PSM kini tidak boleh hanya menjadi pemantau rekod kehadiran dan pemproses gaji semata-mata. Hal ini demikian kerana mereka perlu mengambil peranan lebih strategik sebagai penjaga budaya, pendukung prinsip keadilan dan penggerak nilai murni dalam sesebuah organisasi.
Kini, masanya telah tiba untuk kita beralih daripada sekadar bersimpati kepada bertindak secara sistemik demi semua insan yang berhak untuk bekerja dan belajar dalam suasana yang selamat, bermaruah, dan mengutamakan nilai perikemanusiaan.
