Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPertembungan klasik antara dua gergasi bola sepak Malaysia pada suatu ketika dahulu bakal diteruskan pada tahun 2025 apabila kejohanan bola sepak jemputan Piala Sultan Selangor bakal dilangsungkan pada 27 September 2025. Kejohanan yang memasuki edisi ke-21 ini akan dilangsungkan di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur bagi mempertemukan pasukan pilihan Selangor menentang pasukan pilihan Singapura.

Piala Sultan Selangor mula dianjurkan pada tahun 2001. Kejohanan ini telah diilhamkan oleh KDYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bagi memperingati perseteruan klasik antara pasukan Selangor dan Singapura dalam kancah bola sepak Malaysia. Perseteruan ini dikenali sebagai El Classico Malaya.
Perseteruan pertama kedua-dua pasukan bermula pada tahun 1921 ketika Piala Malaya mula diperkenalkan. Kedua-dua pasukan ini bertemu dalam perlawanan akhir yang pertama Piala Malaya yang dilangsungkan di Padang Kelab Selangor, Kuala Lumpur. Dalam perlawanan itu, pasukan Singapura menjuarai Piala Malaya (kini dikenali sebagai Piala Malaysia) buat pertama kali dengan jaringan 2-1.
Kemudian, kedua-dua pasukan bertemu kembali dalam perlawanan akhir edisi kedua Piala Malaya pada tahun 1922. Pasukan Selangor berjaya membalas dendam dengan menewaskan pasukan Singapura dalam perlawanan akhir yang dilangsungkan di tempat yang sama. Pasukan Selangor merangkul juara Piala Malaya buat pertama kali dengan jaringan 3-2.
Perseteruan kedua-dua pasukan ini bersambung apabila kedua-dua pasukan bertemu sama ada dalam perlawanan akhir Piala Malaya/Piala Malaysia mahupun peringkat kumpulan Piala Malaysia dan perlawanan Liga Perdana Malaysia. Perlawanan akhir Piala Malaysia pada tahun 1981 menjadi perlawanan terakhir bagi kedua-dua pasukan bertemu dalam perlawanan akhir Piala Malaysia. Dalam perlawanan itu, pasukan Selangor berjaya menewaskan pasukan Singapura di Stadium Merdeka dengan jaringan 4-0. Sebelum ini, pasukan Selangor telah bertemu dengan pasukan Singapura dalam tiga perlawanan akhir Piala Malaysia secara berturut-turut dari tahun 1978 hingga 1980. Tahun 1981 merupakan tahun keempat kedua-dua bertemu di perlawanan akhir secara berturut-turut.
Kedua-dua pasukan bertemu buat kali terakhir dalam kancah Piala Malaysia pada tahun 1994 apabila Selangor mencatatkan keputusan seri dengan Singapura dalam perlawanan peringkat kumpulan. Singapura kemudiannya mara hingga perlawanan akhir untuk bertemu dengan Pahang. Singapura memenangi menjuarai Piala Malaysia pada tahun tersebut setelah menewaskan Pahang dengan jaringan 4-0 sebelum mengucapkan selamat tinggal kepada Liga Malaysia.
Justeru, satu perlawanan persahabatan diadakan bagi mengenang kembali perseteruan yang telah terjalin sejak awal penubuhan liga bola sepak Malaysia lagi. Melalui perseteruan ini, muncullah pemain legenda pasukan Selangor yang bersaing di atas padang seperti Zainal Abidin Hassan, Mokhtar Dahari, Abdul Ghani Minhat dan Dollah Salleh. Dari pasukan Singapura pula muncullah pemain-pemain seperti Fandi Ahmad, Rahmat Mawar, Ibrahim Awang dan V. Sundramoorthy.
Persaingan ini diteruskan oleh kedua-dua pasukan dengan berlangsungnya Piala Sultan Selangor ini. Perlawanan yang pada asalnya dilangsungkan secara dwi-tahunan pada tahun 2001 dan 2003, terus dilangsungkan secara tahunan bermula tahun 2004 hingga tahun 2014. Stadium Shah Alam menjadi gelanggang utama pertemuan dua gergasi itu. Kedua-dua pasukan akan menghantar dua pasukan, iaitu pasukan veteran dan pasukan pilihan. Perlawanan antara veteran Selangor dan veteran Singapura kebiasaannya akan dilangsungkan awal sebelum perlawanan utama.
Kemudian, pasukan pilihan Selangor yang menggabungkan pemain Selangor sendiri dengan pemain undangan dari pasukan negeri yang lain akan bersaing dengan pasukan pilihan Singapura bagi merebut trofi kejuaraan. Pasukan pilihan Singapura turut menggabungkan pemain pilihan yang beraksi dalam Liga Singapura. Pasukan pilihan Selangor memenangi perlawanan edisi pertama di Shah Alam dengan menewaskan pasukan pilihan Singapura melalui penentuan sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat dengan jaringan 0-0. Pasukan pilihan Selangor sekali lagi memenangi Piala Sultan Selangor edisi kedua dengan jaringan 4-1 di Shah Alam. Penyerang kebangsaan dan Selangor ketika itu, Mohd Nizaruddin Yusof menjadi penjaring gol pertama sepanjang sejarah kejohanan itu.

Sepanjang tahun 2001 hingga 2014, kejohanan Piala Sultan Selangor pernah dilangsungkan di Singapura, iaitu pada tahun 2004, 2006 dan 2009. Stadium Nasional Singapura dan Stadium Jalan Besar menjadi gelanggang kepada pertembungan keramat itu. Pasukan pilihan Singapura mengambil peluang beraksi di laman sendiri dengan menewaskan pasukan pilihan Selangor pada tahun 2006 dan 2009 bagi merangkul kejuaraan ini. Hanya pada tahun 2004, kedua-dua pasukan dinobatkan sebagai pemenang bersama setelah kedua-dua pasukan seri dengan jaringan 2-2.
Kejohanan Piala Sultan Selangor tidak dilangsungkan pada tahun 2015 disebabkan fenomena jerebu teruk yang melanda beberapa buah negara Asia Tenggara pada ketika itu. Kemudian, kejohanan ini diadakan semula dari tahun 2016 hingga tahun 2019 dengan tiga kali diadakan di Shah Alam dan sekali diadakan di Singapura.
Pada tahun 2020, kejohanan ini tidak dapat dilangsungkan kerana isu pandemik COVID-19 yang melanda seluruh dunia pada ketika itu. Kemudian, kejohanan ini tidak dilangsungkan sehingga tahun 2023 memandangkan kedua-dua pasukan dalam proses membangunkan semula momentum pasukan setelah pandemik yang melanda bola sepak Malaysia dan Singapura.
Kejohanan ini kembali semula dilangsungkan pada tahun 2024 setelah empat tahun menyepi. Untuk edisi ke-20 itu, stadium keramat yang menjadi saksi perseteruan kedua-dua pasukan, iaitu Stadium Merdeka dipilih sebagai gelanggang. Pemilihan stadium itu juga disebabkan oleh penutupan Stadium Shah Alam bagi menjalankan kerja-kerja perobohan stadium itu dan membina stadium baharu untuk menggantikan stadium itu.
Dalam perlawanan yang diadakan di Stadium Merdeka itu, pasukan pilihan Selangor berjaya menewaskan pasukan pilihan Singapura dengan jaringan 2-1. Pasukan pilihan Selangor terlebih dahulu membuka jaringan melalui jaringan Ronnie Fernandez. Faris Ramli menyamakan kedudukan buat pasukan pilihan Singapura sebelum Alves Fortes menjaringkan gol kemenangan buat pasukan pilihan Selangor untuk terus mengekalkan Piala Sultan Selangor di Selangor.

Tahun 2025 menyaksikan Stadium Merdeka kekal dipilih sebagai gelanggang bagi kejohanan jemputan itu. Pemilihan stadium ini akan terus menjadi saksi bagi mengimbau nostalgia buat kedua-dua pasukan yang pernah menjadi musuh di atas padang untuk berpuluh-puluh tahun lamanya. Jadi, pasukan manakah yang akan menjulang piala ini? Nantikan aksi kedua-dua pasukan pada 27 September ini.
Sebagai rekod, pasukan pilihan Selangor telah memenangi piala ini sebanyak 11 kali, manakala pasukan pilihan Singapura merangkul kejohanan ini sebanyak sembilan kali termasuklah kejuaraan bersama.