Diterbitkan pada 23 Oktober 2025, 15:56

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Menjelang Oktober, kebanyakan universiti kembali membuka kampus untuk kemasukan mahasiswa bagi sesi akademik Oktober 2025 hingga Februari 2026. Begitu juga dengan Universiti Teknologi MARA (UiTM) yang menerima kehadiran ribuan anak bumiputera dari seluruh Malaysia.

Bagi mahasiswa yang baru memulakan pengajian tinggi, peluang ini merupakan pengalaman baharu untuk mereka meneroka ilmu yang lebih luas, manakala bagi mahasiswa yang menyambung pengajian pada semester seterusnya, kepulangan mereka ke kampus pasti akan digunakan dengan sebaik-baiknya untuk membaiki keputusan pelajaran dan memantapkan pencapaian kokurikulum yang diperoleh sebelum ini.

Walau bagaimanapun, sesi pengajian baharu bukan sekadar rutin akademik yang berulang pada setiap semester. Sebaliknya, fasa ini mempunyai cabaran yang tersendiri, harapan dan peluang yang menuntut mahasiswa untuk bersedia dari segi fizikal, mental dan emosi terhadap kejelasan tujuan melanjutkan pengajian.

Fasa Baharu Dunia Baharu

Mahasiswa pada hari ini tidak lagi bergantung pada nota pensyarah dan buku teks sahaja. Dalam era pasca-pandemik yang berpandukan kecerdasan buatan, pembelajaran bersifat lebih fleksibel, hibrid dan berdikari. UiTM terus komited memperkukuh ekosistem digitalnya dengan menggunakan platform seperti i-Learn, UFUTURE dan pelbagai aplikasi kolaboratif yang menjadikan pembelajaran lebih terbuka dan inklusif.

Namun begitu, kesemua teknologi ini hanya berperanan sebagai alat yang membantu mahasiswa untuk menyelesaikan tugasan. Pada hakikatnya, kejayaan sebenar ditentukan daripada sikap dan etika mahasiswa semasa menggunakan alat bantu belajar tersebut. Maka itu, sesi akademik baharu ini perlu dilihat sebagai peluang untuk membina kemahiran masa hadapan dan bukan sekadar untuk lulus peperiksaan.

“Para pendidik hanya memberikan panduan. Sehubungan dengan itu, mahasiswa mesti mempunyai rasa ingin tahu, semangat ingin belajar dan kesanggupan untuk berubah. Hal ini demikian kerana mahasiswa pada zaman sekarang dituntut untuk menjadi proaktif, dan bukannya pasif,” ujar Dr. Farehan Omar, Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, UiTM Puncak Alam.

 

Pensyarah membimbing mahasiswa untuk menjadi tunjang kecemerlangan akademik di UiTM.

Menyalakan Semangat dalam Diri

Setiap mahasiswa membawa kisah dan latar belakang yang unik ke dalam dewan kuliah. Ada yang datang dari desa dengan impian tinggi untuk mengubah nasib keluarga. Ada juga yang datang dari bandar dengan cita-cita untuk mencipta inovasi. Tidak kira dari mana kita bermula, yang penting ialah cara pembawaan diri.

Sesi pembelajaran di universiti ialah masa terbaik untuk membina semangat baharu. Mahasiswa boleh menetapkan matlamat yang realistik sama ada untuk menaikkan purata nilai gred kumulatif (CGPA), menyertai persatuan pelajar, memimpin pelajar melalui Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), atau menjadi versi diri yang lebih baik daripada semalam.

Dalam hal ini, mahasiswa tidak perlu berasa takut akan kegagalan atau berasa malu untuk meminta bantuan. Hal ini demikian kerana setiap perjalanan menuju kejayaan pasti ada detik kegagalan yang mengajar mahasiswa erti kebangkitan. UiTM misalnya, menyediakan pelbagai bentuk sokongan kepada mahasiswa seperti sesi kaunseling, rawatan psikologi, klinik akademik dan bantuan kewangan seperti zakat dan tabung amanah pelajar.

Menyeimbangkan Aspek Akademik dengan Kehidupan

Cabaran terbesar mahasiswa semasa di universiti ialah keseimbangan antara tuntutan akademik dengan kehidupan sosial dan kesihatan mental. Tekanan tugasan dan peperiksaan serta harapan keluarga ada kalanya membebankan mahasiswa, tetapi inilah realiti kehidupan yang perlu dihadapi oleh mahasiswa. Oleh sebab itu, universiti merupakan tempat terbaik untuk mahasiswa belajar mengurus tekanan sebelum melangkah ke alam kerjaya.

Mahasiswa digalakkan agar meluangkan masa untuk menyertai aktiviti kokurikulum, persatuan, kesukarelawan atau melakukan senaman ringan di kampus. Bagi mahasiswa yang aktif, kebiasaannya mereka lebih berdaya tahan dalam menghadapi tekanan. Mereka bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik, tetapi juga matang dalam mengurus emosi dan hubungan.

“Apabila mahasiswa terlalu fokus pada perjuangan, mereka lupa bahawa universiti juga menjadi ruang untuk membina karakter dan empati. Saya selalu menggalakkan mahasiswa saya keluar dari bilik kuliah untuk melibatkan diri dalam program bersama-sama dengan komuniti kerana inilah pembelajaran kepada dunia sebenar,” kata Prof. Madya Dr. Shukor Sanim Mohd Fauzi, Pensyarah Fakulti Sains Komputer dan Matematik, UiTM Cawangan Perlis.

Menjadikan UiTM sebagai Landasan Kejayaan

UiTM bukan sekadar institusi akademik, malah menjadi landasan untuk mencorakkan masa hadapan. Ribuan alumni yang lahir dari institusi ini telah menunjukkan bahawa graduan UiTM mampu bersaing pada peringkat nasional dan antarabangsa. Buktinya, banyak graduan universiti ini yang bergelar usahawan berjaya, teknokrat dan pemimpin politik. Maka itu, setiap mahasiswa harus menetapkan matlamat masing-masing tentang legasi yang ingin ditinggalkan setelah bergelar graduan kelak.

 Langkah yang Bermakna

Sesi akademik Oktober 2025 hingga Februari 2026 merupakan fasa penting dalam kehidupan mahasiswa untuk mengambil langkah baharu dengan semangat yang tinggi. Oleh itu, sambutlah peluang untuk mempelajari proses menuju kejayaan, cara menangani kegagalan dan membina masa hadapan yang lebih cerah. UiTM menyediakan pentasnya dan giliran mahasiswa pula untuk beraksi.

 

Mahasiswa menghadiri kuliah sebagai langkah permulaan untuk membina masa hadapan yang lebih cerah.
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi