Diterbitkan pada 18 November 2025, 11:09

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-17 akan berlangsung pada 29 November 2025 bagi merebut sebanyak 73 buah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN). Penamaan calon yang berlangsung pada 15 November lalu menyaksikan percikan semangat demokrasi yang terus subur di negara ini. Menjelang 30 November kelak akan menyaksikan keputusan PRN Ke-17 yang bakal membentuk Kerajaan Negeri Sabah.

Siapakah yang bakal menjadi Ketua Menteri Sabah? Parti politik manakah yang bakal menerajui Kerajaan Negeri Sabah? Adalah terlalu awal bagi menjangkakan siapakah yang bakal menduduki kerusi sebagai Ketua Menteri dan daripada parti politik manakah yang akan mengisi jawatan tersebut? Yang paling penting, bagi masa hadapan negeri dan rakyat Sabah pastinya melibatkan pembentukan sebuah kerajaan yang kukuh dan stabil dengan kepimpinan Ketua Menteri yang mampu memimpin negeri Sabah demi kestabilan dan kemakmuran negeri tersebut.

Parti politik utama yang bakal bertanding termasuklah Gabungan Rakyat Sabah (GRS) (bertanding sebanyak 55 kerusi DUN bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) yang bertanding sebanyak 17 kerusi (10 PKR dan 7 DAP); Parti Warisan Sabah bertanding di kesemua 73 kerusi DUN; BN bertanding sebanyak 45 kerusi DUN; PN bertanding di 41 kerusi dan parti lain seperti STAR, UPKO, KDM, SAPP serta beberapa parti politik yang baru muncul. PRN Sabah agak kompleks dengan penyertaan banyak parti politik yang bersaing bagi memenangi kerusi DUN yang berjumlah 73. Sukar untuk diramalkan parti politik yang bakal memenangi sekurang-kurangnya mendapat sebanyak 37 kerusi DUN, iaitu majoriti mudah bagi membentuk Kerajaan Negeri Sabah.

Berdasarkan pengamatan umum, parti politik yang berkemungkinan besar menguasai majoriti pada PRN kali ini ialah Parti Warisan Sabah, GRS, BN dan PN berdasarkan jumlah kerusi DUN yang ditandingi dan berdasarkan pengalaman politik yang lepas. Tidak mustahil juga Parti Impian Sabah (PIS) yang bertanding dengan jumlah DUN yang besar juga akan menunjukkan prestasi yang baik pada PRN kali ini. Penulis menyatakan keupayaan parti politik tersebut berdasarkan pengalaman sebelum ini dengan melihat jumlah kerusi yang ditandingi oleh parti masing-masing.

Parti Warisan Sabah di bawah pimpinan YB Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal pernah menguasai dan mentadbir negeri Sabah selepas PRU Ke-14 pada tahun 2018 selama dua tahun hingga PRN pada September 2020. Begitu juga dengan GRS pimpinan Datuk Seri Panglima Hajiji Noor dan BN pimpinan Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin. PN dilihat masih baharu dalam politik Sabah, tetapi secara tidak langsung sudah melalui pengalaman dalam politik Sabah (Datuk Seri Panglima Hajiji asalnya calon BERSATU). Dalam hal ini, tidak mustahil juga sekiranya PN menjadi sebuah parti politik baharu yang berpotensi menjadi kuasa penentu dalam politik Sabah.

Para pengundi berdaftar seluruh negeri Sabah akan menentukan parti politik yang bakal menguasai politik dan pentadbiran Sabah selepas 29 November 2025 kelak. Perkara yang penting perlu dilihat menerusi terbentuknya sebuah parti dan pentadbiran negeri yang mampu membawa kestabilan dan kemakmuran di negeri Sabah. Dari segi pembangunan, masih banyak yang perlu diperbetulkan. Dalam beberapa aspek, Sabah dikatakan agak ketinggalan berbanding dengan negeri Sarawak dan negeri-negeri Persekutuan Tanah Melayu. Tanpa sebuah pentadbiran negeri yang diterajui oleh seorang Ketua Menteri yang berkebolehan dan parti politik yang kuat, Sabah sukar mengejar aspek pembangunan dengan lebih tersusun.

Situasi yang berlaku semasa keputusan bagi DUN Sabah dalam PRU ke-14, (2018) harus dielakkan. Keputusannya adalah seperti berikut:

BN = 18 Warisan = 21
PBS = 5 PKR = 2
UPKO = 5 DAP = 6
PBRS  = 01
Jumlah=*29 Jumlah = *29 STAR=2

*berlaku perpindahan sokongan selepas PRU Ke-14. STAR berpindah sokongan kepada pihak BN; UPKO berpindah ke pihak Warisan dan beberapa ADUN BN berpindah ke pihak Warisan. Akhirnya Parti Warisan pimpinan Datuk Seri Panglima Shafie Apdal memperoleh majoriti dan diisytiharkan sebagai Ketua Menteri Sabah. Datuk Seri Panglima Musa Aman (kini Tun) dengan sendirinya terlucut jawatan dan kehilangan majoriti walaupun telah dilantik sebagai Ketua Menteri pada awalnya.

Keputusan PRU Ke-14 lalu memperlihatkan tidak terbentuknya sebuah parti politik yang menang besar dan mampu membentuk sebuah kerajaan negeri yang kuat dan benar-benar stabil. Perkembangan politik Sabah yang berlaku selepas PRU ke-14 sepatutnya cuba dielakkan daripada terus berulang kembali pada PRN Ke-17.

BN hanya memperoleh sebanyak 18 kerusi DUN menerusi gabungan bersama PBS, UPKO dan PBRS dengan memperoleh sebanyak 29 kerusi DUN. Begitu juga dengan Warisan yang mendapat 21 kerusi hasil gabungan bersama PKR dan DAP yang membentuk 29 kerusi DUN kesemuanya. Perpindahan STAR sebanyak dua kerusi DUN ke pihak BN pimpinan Datuk Seri Panglima Musa Aman dan pelantikan beliau sebagai Ketua Menteri tidak membawa penyelesaian dan kestabilan pada ketika itu. Sebaliknya, UPKO yang memiliki sebanyak lima kerusi pula berpindah ke pihak Datuk Seri Panglima Shafie Apdal (Warisan) menyebabkan BN dan Datuk Seri Panglima Musa Aman selaku Ketua Menteri pada ketika itu kehilangan majoriti. Tambahan pula, perpindahan lima orang ADUN BN ke Warisan melemahkan lagi kedudukan Datuk Seri Panglima Musa Aman. Akhirnya Datuk Seri Panglima Shafie Apdal menerusi Warisan berjaya membentuk gabungan yang lebih kuat dengan memperoleh majoriti dan mengambil alih jawatan sebagai Ketua Menteri Sabah sehinggalah PRN-16 diadakan pada September 2020.

Isu yang cuba ditekankan di sini ialah berlakunya kecelaruan dan ketidakstabilan politik akibat tidak terbentuknya majoriti yang kuat dan stabil bagi pembentukan sesebuah kerajaan negeri. Adakah hal ini akan berlaku sekali lagi pada PRN ke-17? Mungkinkah akan terbentuknya majoriti yang besar bagi membentuk sebuah kerajaan negeri yang stabil? Mampukah GRS mengekalkan kuasa dalam mentadbir Sabah? Atau akan digantikan oleh parti politik lain sama ada dari Warisan, BN atau PN?

Mana-mana parti politik yang menerajui Sabah tidak begitu penting dalam persoalan ini kerana parti politik yang tinggi darjah integritinya beserta memiliki jumlah majoriti yang kukuh diyakini mampu menjamin kestabilan dalam menerajui kerajaan negeri. Dalam hal ini, para pengundi Sabah secara keseluruhan perlu lebih matang dalam membuat perkiraan sebelum membuang undi pada 29 November 2025 kelak. Undi yang diterjemahkan itu bukan “mainan” dan “percubaan” (jauh sekali bersifat emosi) tetapi ketetapan penting bagi membentuk sebuah kerajaan negeri yang stabil dan bertanggungjawab.

Sabah memerlukan pentadbiran dan pimpinan yang mengutamakan aspek integriti dan bertanggungjawab. Pengundi memiliki keupayaan dalam menilai kerana parti utama yang bertanding sudah pernah memegang tampuk kuasa. Warisan pernah memegang tampuk kuasa (cuma selama dua tahun) di bawah pimpinan Datuk Seri Panglima Shafie Apdal. GRS juga pernah/baru mentadbir Sabah, selain BN yang pernah mentadbir Sabah dalam tempoh lebih dua dekad. Pengundi juga sudah boleh menilai dan berfikir melalui prestasi yang pernah dipersembahkan oleh mereka semasa menjadi pemerintah.

Kuasa penentu pastinya terletak di tangan para pengundi. Oleh hal yang demikian, suburkanlah elemen demokrasi dengan menggunakan kuasa yang ada sebagai pengundi. Nilai satu undi yang ada sangat berharga yang tiada nilainya. Maka itu, undilah dengan tepat bagi membangunkan negeri Sabah demi masa hadapan yang lebih cerah dan bermaruah. Selamat mengundi diucapkan kepada seluruh warga Sabah yang berdaftar.

Prof. Madya Dr. Mohd. Noor Yazid, Kluster Hubungan Antarabangsa dan Politik Borneo,Institut Kajian Orang Asal Borneo (BorIIS),Universiti Malaysia Sabah,

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi