Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangDalam konteks dunia global yang semakin pantas, institusi media sama ada media cetak, elektronik mahupun portal dalam talian, tidak sekadar berfungsi sebagai saluran maklumat, tetapi turut berperanan sebagai duta kecil kepada sesebuah negara. Oleh itu, acara antarabangsa berprofil tinggi seperti Sidang Kemuncak ASEAN merupakan ruang penting untuk memperlihatkan tahap profesionalisme dan kesiapsiagaan negara penganjur, termasuklah kecekapan media nasional dalam mengendalikan liputan siaran langsung.
Namun begitu, dalam siaran langsung Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di ibu negara baru-baru ini, pengulas siaran tersebut telah melakukan kesilapan apabila menyebut nama bekas pemimpin tiga buah negara anggota ASEAN yang juga merupakan jiran terdekat Malaysia, iaitu Joko Widodo (Indonesia), Lee Hsien Loong (Singapura) dan Srettha Thavisin (Thailand) ketika mengulas kehadiran Prabowo Subianto, Lawrence Wong dan Anutin Charnvirakul.
Tiga kesilapan dalam tempoh 24 jam ini bukan sahaja mengundang pelbagai reaksi, malah turut “menjentik” kepercayaan masyarakat terhadap mutu dan profesionalisme media di negara ini. Persoalannya, mengapakah kesilapan kedua dan ketiga boleh berlaku? Apakah tiada tindakan susulan selepas kesilapan pertama dikesan?
Kesilapan fakta dalam siaran langsung itu mendedahkan kelemahan dalam pengurusan acara berskala besar pada peringkat serantau oleh media yang berkenaan. Sebagai sebuah institusi yang memikul tanggungjawab untuk menyalurkan maklumat secara tepat dan pantas, media rasmi perlu memperkukuh sistem semakan fakta sebelum dan semasa siaran berlangsung. Langkah ini penting bagi memastikan tiada kesilapan berlaku, khususnya ketika melibatkan acara diplomasi utama yang menjadi perhatian dunia.
Selain itu, terdapat keperluan mendesak untuk melaksanakan program latihan yang lebih sistematik kepada pengulas serta petugas lapangan yang terlibat dalam liputan langsung. Latihan berkala bukan sahaja dapat memperkukuh kemahiran mereka dalam mengendalikan tekanan dan situasi luar jangka, malah mampu meningkatkan tahap profesionalisme ketika berinteraksi dengan maklumat sensitif. Pendedahan kepada teknik pengucapan awam juga mampu menambah keyakinan apabila mengendalikan liputan langsung lawatan tokoh atau pemimpin dunia.
Sebagai contoh, Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR) yang merupakan institusi latihan di bawah Kementerian Komunikasi, perlu merangka modul latihan yang komprehensif bagi memastikan para petugas di barisan hadapan seperti penerbit, penyampai dan penulis skrip dilengkapi dengan ilmu dan kemahiran yang menepati piawaian antarabangsa.
Di samping itu, pelibatan lebih aktif pihak pengurusan media dalam menyelia siaran wajar dipertimbangkan. Dengan bimbingan secara langsung dan menyediakan garis panduan yang jelas, pengulas dapat membuat keputusan yang lebih beretika serta berhati-hati dalam penyampaian maklumat. Pendekatan proaktif sebegini bukan sahaja dapat mempertingkatkan mutu liputan, bahkan berperanan besar dalam memulihkan kepercayaan masyarakat terhadap kredibiliti media nasional.
Kerjasama erat antara organisasi media dengan pihak berkuasa kerajaan boleh membawa kepada penetapan garis panduan operasi yang lebih ketat dan seragam. Usaha ini akan memastikan setiap liputan siaran langsung mempunyai tahap kesilapan sifar dan sudah pasti akan meningkatkan imej negara di pentas antarabangsa.
Dalam hal ini, walaupun media berkenaan sudah mengeluarkan kenyataan memohon maaf serta memaklumkan akan mengambil tindakan terhadap kesilapan tersebut dan mengukuhkan prosedur semakan editorial, masyarakat umum masih belum berpuas hati. Bagi majoriti rakyat, sebuah stesen penyiaran rasmi tidak wajar melakukan kesilapan seperti itu.
Tindakan memohon maaf hanya langkah awal, namun persoalan yang lebih penting ialah sejauh manakah mekanisme penerbitan, semakan redaksi dan latihan profesional dilaksanakan dalam kalangan tenaga penyiaran nasional?
Punca Kesilapan
Bagaimanakah kesilapan itu boleh berlaku? Penulis berpendapat bahawa kesilapan tersebut mungkin berpunca daripada beberapa faktor. Pengulas siaran mungkin tidak mempersiapkan diri dengan cukup teliti, atau penulis dan penerbit tidak mengemas kini bahan siaran termasuklah nama, gelaran dan jawatan pemimpin negara yang hadir pada acara berkenaan.
Dalam sesetengah organisasi media, proses kerja editorial masih bergantung pada kebiasaan, bukannya kepada prosedur operasi standard yang ketat. Keadaan ini boleh menyebabkan berlakunya kelemahan dalam penyeliaan dan penyemakan fakta.
Dalam penulisan skrip, ilmu pengetahuan memainkan peranan penting. Penulis teringat peristiwa ketika mengendalikan latihan editorial untuk wartawan pelatih sekitar tahun 2008. Sewaktu latihan penterjemahan, penulis meminta mereka menterjemah perkataan “UN’s Secretary General Ban Ki-moon” ke dalam bahasa Melayu. Penulis sengaja tidak meletakkan tanda baca pada nama itu bagi menguji sejauh mana mereka mengenali nama tersebut. Seperti yang dijangka, semua pelatih menterjemahkannya sebagai “Setiausaha PBB Jeneral Ban Ki-moon”. Jika mereka mengetahui nama dan kedudukan tokoh itu, sudah pasti mereka akan menterjemahkannya sebagai “Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon.
Tekanan dalam siaran langsung di lapangan berbeza tahapnya daripada siaran langsung di dalam studio. Dalam suasana Sidang Kemuncak ASEAN yang melibatkan pelbagai pemimpin dunia dan perjalanan atur cara yang berlaku cepat, pengulas terpaksa mengendalikan maklumat secara pantas. Situasi ini sudah pasti akan meningkatkan risiko kesilapan jika pengulas tidak benar-benar bersedia.
Kesan kepada Profesionalisme Media dan Imej Negara
Kesalahan seperti ini boleh menimbulkan pelbagai implikasi. Acara seperti Sidang Kemuncak ASEAN merupakan pentas diplomasi utama. Kesalahan liputan di negara tuan rumah boleh mengundang persepsi negatif bahawa negara tuan rumah atau media nasionalnya kurang bersedia, lemah dari segi piawaian siaran atau tidak mematuhi protokol antarabangsa.
Meskipun kesilapan itu tidak sampai membawa kepada keretakan pada hubungan rasmi, imej negara dan stesen penyiaran rasmi negara tetap terjejas serta boleh menimbulkan rasa tidak senang dalam kalangan pihak yang terlibat.
Sebagai stesen yang mewakili suara rasmi negara di pentas antarabangsa, kesalahan yang berlaku secara terbuka boleh menjejaskan kepercayaan khalayak terhadap keupayaan institusi penyiaran awam untuk mengekalkan piawaian profesional yang tinggi. Mereka perlu menilai semula garis panduan editorial, pengesahan fakta serta standard latihan untuk pengulas.
Dari sudut penyiaran dan komersialisme, kesilapan sebegini boleh menjadi beban kepada pengurusan stesen untuk mengembalikan semula keyakinan penonton dan pengiklan sehingga boleh menjejaskan pendapatan stesen, sekali gus boleh meninggalkan kesan kepada mutu rancangan akibat kemerosotan pendapatan periklanan bagi membiayai pelbagai kos penerbitan termasuklah bayaran kepada karyawan kreatif.
Belajar daripada Kesilapan
Janganlah kita menyalahkan sesiapa. Marilah kita belajar daripada kesilapan agar kejadian sama tidak berulang.
Melalui insiden ini, beberapa pengajaran penting boleh diambil oleh pihak media yang membuat liputan untuk acara antarabangsa. Selain daripada persediaan pada peringkat praacara seperti semakan fakta dan latihan, langkah penambahbaikan perlu dilakukan pada peringkat pascaacara dengan mengadakan sesi pascanilai bagi memberikan peluang pihak yang terlibat bagi melihat kembali segala kekurangan dan kesilapan. Dalam perbincangan pascanilai, setiap aspek liputan mesti dibincangkan secara mendalam sebagai langkah persediaan untuk acara lain pada masa akan datang.
Peristiwa ini merupakan pengajaran berharga dan amaran bahawa reformasi menyeluruh perlu dilakukan terhadap ekosistem penyiaran nasional yang bukan sekadar melibatkan isu teknikal atau kesilapan individu, tetapi mencerminkan perlunya penilaian semula terhadap budaya kerja, sistem editorial dan tahap literasi geopolitik tenaga penyiaran. Dalam dunia diplomasi moden yang berasaskan persepsi dan reputasi, kesilapan sekecil nama boleh membawa makna sebesar imej nasional.
Langkah media berkenaan memohon maaf secara terbuka wajar dipuji sebagai tindakan bertanggungjawab, namun reformasi sebenar hanya akan berlaku apabila institusi media menyedari bahawa mereka bukan sekadar penyampai berita, tetapi penjaga maruah dan citra negara pada peringkat dunia.
Penulis ialah mantan Setiausaha Agung Persatuan Veteran RTM.