Diterbitkan pada 19 November 2025, 11:10

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Malaysia merupakan sebuah negara yang unik dengan kepelbagaian bangsa, agama dan budaya yang membentuk identiti kebangsaan yang harmoni. Sebagai sebuah negara yang beridentitikan kebangsaan Malaysia, kelestarian warisan telah menjadi kekuatan utama dalam membina perpaduan nasional yang menzahirkan kehidupan nasional di bawah satu payung mahkota raja berpelembagaan. Sesungguhnya, kelestarian warisan Malaysia ini merupakan pendekatan yang dapat menyatukan pelbagai lapisan masyarakat tanpa mengira bangsa, agama dan latar belakang, di samping memperkukuh semangat kebangsaan dan menyemai semangat kebersamaan dalam kalangan rakyat Malaysia.

Dari sudut sejarah, setiap bangsa di Malaysia, sama ada Melayu, Cina, India dan bumiputera mempunyai amalan, nilai, pandangan dan budaya kehidupannya yang tersendiri. Secara tradisinya, kehidupan setiap bangsa telah membina cara dan amalan kehidupan tersendiri yang berbeza daripada setiap aspek nilai dan pandangan budaya masyarakatnya. Sebagai contoh, masyarakat Cina di Malaysia, mempunyai sejarah warisan kehidupan yang berbeza daripada rakyat Cina di Tanah Besar, China. Nenek moyang mereka telah melalui proses warisan hidup di Tanah Melayu bersama-sama dengan masyarakat Melayu, India dan bumiputera yang lain sebelum ini. Begitu juga dengan kaum India, Melayu dan bumiputera yang telah melalui proses sejarah kehidupannya di bawah satu kehidupan warisan yang lestari dengan kepelbagaian bangsa.

Oleh itu, berasaskan kepada kehidupan, kepelbagaian masyarakat sejak sejarah sebelum merdeka telah membina asimilamsi budaya warisan tersendiri yang menjadi tonggak perpaduan nasional beridentitikan Malaysia. Sejarah kelestarian warisan inilah yang dapat membina tonggak perpaduan nasional Malaysia yang tersendiri.

Bagi membina tonggak perpaduan nasional melalui kelestarian warisan Malaysia, pihak kerajaan telah melaksanakan pelbagai dasar strategik yang berperanan memperkukuh identiti kebangsaan serta memupuk keharmonian dalam kalangan masyarakat majmuk. Bagi membentuk identiti nasional yang berasaskan kebudayaan Malaysia, kerajaan telah memperkenalkan Dasar Kebudayaan Kebangsaan (DKK) pada tahun 1971 untuk memberikan perhatian terhadap nilai budaya tempatan serta menggabungkan unsur positif daripada pelbagai etnik. Usaha ini bukan sahaja memelihara dan memperkaya warisan budaya, malah menjadi asas kepada pembinaan jati diri dan perpaduan rakyat yang berasaskan kepada kebudayaan Melayu dan budaya kaum lain yang telah wujud sejak awal kemerdekaan.

Selanjutnya, bagi memperincikan langkah strategik dalam melindungi, memulihara dan memanfaatkan warisan negara, kerajaan juga telah melancarkan Dasar Warisan Negara 2005 sebagai panduan utama dalam memastikan pengurusan warisan dilaksanakan secara terancang dan berkesan. Dasar ini menekankan kepentingan warisan ketara seperti bangunan, tapak sejarah dan artifak, serta warisan tidak ketara seperti bahasa, seni, adat resam dan amalan tradisi yang menjadi lambang identiti nasional.

Melalui dasar ini, kerajaan berhasrat menjadikan warisan budaya bukan sekadar peninggalan masa lalu, tetapi juga sebagai sumber ilmu, rujukan sejarah dan aset ekonomi yang mampu menyumbang kepada pembangunan komuniti setempat, seterusnya membina kelestarian warisan. Dengan itu, dasar ini juga berperanan penting dalam membina kesedaran kolektif rakyat terhadap nilai dan makna warisan sebagai tonggak perpaduan, kebanggaan nasional serta kekuatan negara dalam menghadapi arus globalisasi dan perubahan zaman.

Sebagai sebuah negara yang berkembang pesat dalam bidang ekonomi dan mempunyai perpaduan nasional yang lestari, Dasar Perpaduan Negara 2021–2030 telah digubal untuk memperkukuh semangat perpaduan dan menghormati kepelbagaian budaya, agama serta adat melalui prinsip “Beraneka tetapi bersatu” atau “Unity in Diversity”. Dasar ini menekankan pembentukan masyarakat yang inklusif, toleran dan saling menghormati, yang memperlihatkan setiap kelompok etnik dan budaya diberikan ruang untuk mengekspresikan identiti masing-masing dalam kerangka keharmonian nasional.

Dasar ini juga berfungsi sebagai panduan dalam memperkukuh nilai bersama, memperluas interaksi antara komuniti, serta mempertingkat penyertaan rakyat dalam aktiviti sosial dan kebudayaan yang berasaskan semangat muhibah. Malah melalui pelaksanaan dasar ini, kerajaan juga berusaha memastikan perpaduan bukan sekadar simbolik, tetapi terjalin secara kukuh melalui penghayatan nilai warisan, kebudayaan dan sejarah yang dikongsi bersama sebagai asas kepada kestabilan dan kemakmuran negara.

Secara keseluruhannya, tonggak perpaduan nasional melalui kelestarian warisan yang melalui semua dasar yang telah digubal oleh kerajaan sebelum ini, saling melengkapi antara satu sama lain dalam membina tonggak perpaduan nasional sebagai sebuah negara yang berkelestarian nasional. Kesemua dasar ini bukan sahaja menekankan aspek pemeliharaan dan pemuliharaan warisan budaya, malah turut mengangkat martabat warisan tersebut sebagai medium penting dalam membina persefahaman serta semangat kebersamaan antara masyarakat pelbagai kaum.

Dalam konteks ini, kelestarian warisan berperanan sebagai asas pembinaan tonggak perpaduan nasional, di mana warisan budaya tidak lagi dilihat sekadar peninggalan masa lalu, sebaliknya berfungsi sebagai jambatan penghubung yang menyatukan rakyat melalui nilai bersama, warisan sejarah dan keindahan budaya yang dikongsi. Melalui pendekatan ini, perpaduan nasional dapat diperkukuh secara berterusan, sekali gus memastikan kestabilan sosial dan kemakmuran negara terpelihara dalam menghadapi cabaran globalisasi masa kini.

Bersesuaian dengan dasar kerajaan sebelum ini, kelestarian budaya warisan Malaysia telah menjadi pemangkin kepada penghayatan dan pelaksanaan prinsip Malaysia MADANI yang kini menekankan keseimbangan antara kemajuan material dengan nilai kemanusiaan. Sebagaimana kerangka prinsip MADANI, usaha kelestarian budaya warisan ini mempunyai peranan yang signifikan dalam membentuk rakyat Malaysia yang berperadaban dan bersatu padu, dari aspek kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan.

Melalui prinsip kelestarian ini juga, konsep warisan budaya dapat terus dipelihara dan dipulihara agar terus diwarisi oleh generasi akan datang, selaras dengan matlamat pembangunan negara yang lestari dan seimbang. Manakala dari sudut kesejahteraan pula, sebarang kegiatan pemuliharaan dan penganjuran program budaya mampu memperkukuh hubungan sosial, meningkatkan ekonomi komuniti setempat serta membina masyarakat yang harmoni dan sejahtera.

Selaras dengan prinsip MADANI ini juga, penekanan terhadap daya cipta perlu dizahirkan melalui inovasi dalam mempromosikan warisan budaya, seperti adaptasi seni tradisional dalam bentuk moden tanpa menjejaskan nilai asalnya. Dalam teras MADANI, konteks hormat-menghormati menonjolkan penghargaan terhadap kepelbagaian budaya, adat dan agama yang menjadi asas perpaduan nasional. Secara keseluruhannya, keyakinan terhadap kepentingan kelestarian warisan nasional akan memperkukuh jati diri rakyat Malaysia sebagai bangsa yang berakar pada nilai sejarah dan identiti sendiri. Keadaan ini mencerminkan prinsip ihsan melalui semangat kasih sayang, bertanggungjawab dan empati dalam memelihara khazanah warisan untuk kebaikan seluruh masyarakat.

Kesimpulannya, kelestarian budaya warisan bukan sahaja selari dengan hasrat kerajaan untuk memperkukuh perpaduan dan identiti nasional, namun menjadi wahana penting dalam menghidupkan roh Malaysia MADANI sebagai gagasan pembangunan negara yang berpaksikan kepada nilai kemanusiaan, kesejahteraan dan keharmonian yang berterusan. Keunikan ini lahir dan berpaksikan pada Perlembagaan Persekutuan, yang menjamin hak setiap kaum serta membentuk asas perpaduan dan keharmonian sosial. Kini, Perlembagaan Malaysia tidak hanya menjadi tunjang kepada perpaduan nasional yang menjamin kebebasan beragama dan hak untuk mengamalkan budaya masing-masing, malah melalui semangat kelestarian budaya warisan Malaysia ini juga akan membentuk semangat kenegaraan yang berkongsi keindahan warisan secara bersama.

Kelestarian budaya warisan Malaysia bukan sekadar bersifat dasar atau program semata-mata, sebaliknya menjadi wadah untuk memperkukuh semangat kebangsaan, memperingati perjuangan kemerdekaan dan mengangkat martabat warisan kebangsaan sebagai asas pembentukan jati diri nasional. Melalui kelestarian warisan ini juga, masyarakat dapat menghayati makna kemerdekaan sebenar yang bukan hanya bebas daripada penjajahan, tetapi kebebasan untuk mengekalkan, menghargai dan memelihara warisan budaya yang membentuk jiwa bangsa Malaysia.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi