Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangJohor Bahru — Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Johor menegaskan komitmennya dalam memastikan tiada murid di negeri itu yang tercicir daripada menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), susulan dakwaan tular yang mengatakan seorang murid dihalang daripada menduduki peperiksaan tersebut.
JPN Johor dalam satu kenyataan memaklumkan hasil siasatannya dan mendapati bahawa murid berkenaan tidak mendaftar untuk menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 setelah berhenti sekolah pada tahun 2024 atas permintaan penjaga bagi mengikuti pendidikan kemahiran. Hal ini sekali gus menolak dakwaan bahawa murid tersebut dihalang daripada menduduki peperiksaan SPM 2025 berikutan pelibatannya dalam kes buli.
Menurut kenyataan itu, tindakan pemulihan berhubung dengan kes buli telah dilaksanakan oleh pihak sekolah sebelum murid terebut berhenti sekolah. Semasa perjumpaan khas antara Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dengan penjaga, pihak-pihak telah bersetuju supaya murid tersebut menduduki peperiksaan SPM pada tahun 2026, dengan bantuan Unit Bimbingan dan Kaunseling dalam urusan pendaftaran.
Bagi memastikan kebajikan dan kesinambungan pendidikan murid tersebut, GIATMARA menawarkan tajaan penuh pengajian selama enam bulan bermula Januari 2026, manakala Pelibatan Ibu Bapa, Komuniti dan Swasta (PIBKS) daerah akan menanggung sewaan bilik bagi tempoh yang sama.
JPN Johor turut merakamkan penghargaan kepada pihak sekolah, PPD, GIATMARA dan PIBKS atas usaha bersama dalam memastikan kebajikan serta akses pendidikan murid di negeri itu terus menjadi keutamaan.
“JPN Johor kekal komited dalam memastikan tiada murid yang tercicir daripada menduduki peperiksaan SPM,” menurut kenyataan itu.