Diterbitkan pada 5 Disember 2025, 12:04

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kerangka Fiqh al-Watan telah dikembangkan daripada metodologi Jurisprudens Watan yang sahih dan selaras dengan prinsip yang digariskan dalam disiplin tersebut. Pengetahuan tentang perkara ini dapat memandu para pengkaji menggunakan istilah dan memahami konsep Fiqh al-Watan yang dilaksanakan secara tepat dan jujur. Hal ini bersesuaian dengan maksud asal yang diperkenalkan oleh pengasas Jurisprudens Watan.

Istilah “watan” sering dianggap setara dengan istilah “bumiputera” dan “peribumi” kerana ketiga-tiganya merujuk kepada masyarakat atau kaum yang berafiliasi dengan bumi atau tanah asal sesebuah negeri. Walau bagaimanapun, istilah “watan” sebenarnya mempunyai makna yang lebih mendalam daripada konteks tersebut.

Sebagaimana yang dihuraikan dalam buku Kedaulatan Watan Suatu Pengenalan (2017), Jurisprudens Watan Perlembagaan Persekutuan (2019), Kedaulatan Malaysia Governan Utama Negara (2022) dan Watan Bangsa Malaysia (2024), konsep “watan” dalam kerangka Jurisprudens Watan merangkumi analisis keseluruhan yang sistematik tentang sistem kepercayaan, kedaulatan, peradaban, bahasa, adat resam, falsafah, pemikiran, warisan, pandangan dunia, perlakuan, nilai dan etos yang terbina secara organik dalam sesebuah negeri.

Buku Watan Bangsa Malaysia yang menjelaskan konsep watan dalam kerangka Jurisprudens Watan telah menerima Anugerah Buku Negara 2025 bagi Kategori Buku Kenegaraan.

Fiqh al-Watan pula merujuk pada kefahaman yang dirumuskan, diterbitkan dan dibentuk melalui metodologi Jurisprudens Watan yang meliputi aspek kenegaraan, amalan beragama, keperluan duniawi dan hubungan kemasyarakatan. Oleh sebab Fiqh al-Watan lahir daripada kerangka epistemologi dan falsafah kedaulatan watan, pembinaannya tidak boleh dipisahkan daripada pengaruh falsafah kedaulatan tersebut dalam semua aspek berkenaan.

Dari sudut kenegaraan, pelaksanaan fungsi kuasa kedaulatan yang meliputi kuasa legislatif, eksekutif dan kehakiman hendaklah mengambil kira keadaan tempatan. Keadaan ini perlu difahami secara menyeluruh dan bukan dari sudut ‘urf semata-mata. Hal ini demikian kerana keadaan tempatan melibatkan keseluruhan sistem perundangan, adat serta faktor yang membentuk keutamaan dalam konteks pemerintahan dan hubungan masyarakat.

Dalam konteks Jurisprudens Watan, istilah “adat” merangkumi peraturan dan amalan yang diwarisi secara turun-temurun dalam masyarakat, manakala “istiadat” merujuk pada upacara atau amalan rasmi yang dilaksanakan secara khusus melibatkan pemerintah atau majlis kerajaan yang mendapat perkenan baginda. Adat telah berkembang menjadi sebahagian daripada tadbir urus institusi dan struktur sosial.

Secara tradisional, adat terbahagi kepada tiga kategori, iaitu

(a) adat yang berlaku secara semula jadi;

(b) adat yang berkembang dalam kehidupan kerajaan dan komunal;

(c) adat sebagai amalan untuk menjalankan tugas tertentu. Sebagai contoh, adat Melayu berperanan sebagai etika budaya dan perundangan yang melengkapi ketetapan agama dalam al-Qur’an dan al-Sunnah, asalkan tidak bercanggah dengan prinsip Islam.

Pendekatan Jurisprudens Watan bukan sahaja memudahkan pelaksanaan kaedah pentafsiran perlembagaan, bahkan membolehkan pemahaman yang lebih adil terhadap prinsip undang-undang tempatan serta kedudukan sebenar sesuatu perkara. Fiqh al-Watan yang terbina daripadanya turut menekankan doktrin keadaan tempatan (local circumstances) sebagai asas pengurusan kepelbagaian nilai masyarakat. Sekalipun terdapat perbezaan kedudukan atau latar sosial, keseragaman identiti melalui nilai dan simbol watan seperti bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan berupaya menyatukan rakyat dalam kerangka negara bangsa.

PoCFAM dalam Pembinaan Fiqh al-Watan

PoCFAM ialah akronim bagi Potensi (Po), Cabaran (C), Kemudahan (F), Aulawiyyāt (A) dan Maqāṣid (M). Kaedah analisis ini bukan sahaja berfungsi sebagai alat penaakulan berstruktur, tetapi juga sebagai asas metodologi yang kukuh dalam pembinaan Fiqh al-Watan. Sebagai disiplin yang lahir daripada Jurisprudens Watan, Fiqh al-Watan menuntut analisis menyeluruh terhadap isu kenegaraan, amalan beragama, keperluan duniawi dan hubungan kemasyarakatan. PoCFAM menyediakan kerangka sistematik untuk memastikan keselarasan analisa setiap dimensi isu dengan prinsip kedaulatan watan.

Elemen Potensi membolehkan penilaian terhadap kapasiti sebenar dan kemampuan terpendam masyarakat serta institusi kenegaraan. Dalam konteks Fiqh al-Watan, penilaian ini membolehkan penggubalan garis panduan yang realistik berdasarkan kekuatan institusi berdaulat, struktur sosial dan keupayaan sistem tadbir urus dalam menterjemahkan prinsip syariah ke dalam ruang perlembagaan dan adat setempat.

Komponen Cabaran pula memberikan perhatian terhadap faktor dalaman dan luaran yang mempengaruhi kefahaman fiqh kebangsaan, termasuk perubahan politik, globalisasi, kerencaman etnik dan agama serta dinamik sosial. Pengiktirafan terhadap cabaran ini memastikan Fiqh al-Watan dirumuskan secara pragmatik tanpa menjejaskan prinsip kedaulatan atau asas syariah.

Unsur Kemudahan menekankan keperluan memanfaatkan segala bentuk sokongan termasuk institusi, teknologi, rangka perundangan dan adat bagi mengukuhkan pelaksanaan dasar dan hukum berasaskan Fiqh al-Watan. Hal ini melibatkan peranan institusi agama sebagai penjaga maqasid syariah dalam konteks watan.

Elemen Aulawiyyāt (keutamaan) pula berperanan untuk menyusun tertib keutamaan berdasarkan realiti setempat. Dalam Fiqh al-Watan, tertib keutamaan harus menilai keseluruhan konsep adat meliputi sejarah, budaya, amalan institusi, norma sosial dan kehendak masyarakat untuk memastikan keselarasan fungsi ketiga-tiga cabang kuasa negara dengan kedaulatan watan dan kemaslahatan rakyat.

Akhir sekali ialah komponen Maqāṣid yang memastikan keseluruhan kerangka Fiqh al-Watan mengikuti objektif syariah yang bukan sahaja melindungi agama, nyawa, akal, keturunan dan harta, malah memelihara identiti watan, keutuhan institusi kedaulatan dan keharmonian masyarakat majmuk. Maqasid berfungsi sebagai asas penilaian dasar dan keputusan negara mengikut keperluan segera, jangka masa pendek dan jangka masa panjang.

Secara keseluruhannya, pemakaian PoCFAM dalam pembinaan Fiqh al-Watan menghasilkan kerangka metodologi yang mantap, bersepadu dan bersifat kontekstual. Kaedah ini memastikan setiap hukum, dasar dan garis panduan yang dirumuskan bukan sekadar mematuhi syariah, tetapi turut berpaksikan kedaulatan watan dan berakar kukuh pada realiti sejarah, adat, budaya serta struktur kenegaraan sebuah negara berdaulat. Dengan itu, Fiqh al-Watan diperteguh sebagai satu disiplin fiqh kebangsaan yang dinamik, inklusif dan ampuh dalam menangani isu kontemporari, selaras dengan tuntutan syariah dan keperluan negara bangsa. Dalam konteks Malaysia, pemerintah itu ialah Raja-raja Melayu yang memerintah melalui prinsip syura.

Datuk Profesor Madya Dr. Wan Ahmad Fauzi Hashim@Wan Husain ialah Pensyarah Kanan di Institut Antarabangsa Pemikiran Islam dan Tamadun, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi