Diterbitkan pada 8 Disember 2025, 13:27

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Cuti sekolah akhir tahun bagi sesi 2025/2026 adalah pada 19 Disember 2025 hingga 20 Januari 2026 bagi (Kumpulan A) dan 20 Disember 2025 hingga 11 Januari 2026 bagi negeri (Kumpulan B). Di sebalik tarikh yang berbeza ini, murid sebenarnya melangkah masuk ke satu fasa yang memberi mereka ruang untuk  bernafas, berhenti seketika dan memerhati perkembangan diri selepas setahun bergelumang dengan rutin sekolah.

Dalam tempoh rehat yang panjang ini, murid berpeluang menilai kembali kekuatan, kelemahan dan potensi diri. Cuti bukan lagi sekadar masa lapang, namun ruang introspeksi apabila murid peluang untuk memahami perkara yang telah mereka capai, yang masih mengusik fikiran serta kemahiran baharu yang ingin mereka bentuk untuk sesi seterusnya.

Kesedaran diri itu boleh terbit melalui aktiviti mudah. Antaranya termasuklah mencuba projek kecil yang mencabar diri, menyertai kelas yang menajamkan minat peribadi atau terlibat dalam aktiviti komuniti yang menimbulkan rasa tanggungjawab. Ada murid yang menemui keyakinan melalui aktiviti fizikal, ada pula yang menemui suara kreatif melalui seni atau penulisan.

Setiap murid membawa pengalaman unik. Pengisian cuti wajar disesuaikan mengikut cara mereka memahami diri, iaitu sama ada mereka memerlukan rehat emosi, dorongan minat baharu atau laluan untuk mencungkil potensi terpendam. Dengan kesedaran diri sebagai kompas, cuti sekolah menjadi lebih bermakna dan benar-benar membantu murid berkembang sebagai individu yang berpotensi.

Satu daripada pengisian cuti sekolah ialah aktiviti akademik ringan. Aktiviti ini dapat membantu murid mengenal pasti kemampuan sebenar mereka tanpa tekanan bilik darjah.

Dalam suasana santai, murid lebih mudah melihat di mana letaknya kekuatan mental dan bidang yang memerlukan penambahbaikan. Tanpa desakan peperiksaan, mereka dapat meneroka topik yang diminati, belajar mengikut ritma sendiri serta memahami cara pembelajaran yang paling serasi dengan diri. Proses ini secara tidak langsung membina kesedaran diri akademik sebagai satu asas penting untuk perancangan pembelajaran pada tahun berikutnya.

Cabaran membaca secara mingguan boleh membantu murid menyedari tahap kefahaman dan minat bacaan mereka, manakala membuat projek mini sains di rumah memberikan mereka peluang mencuba, menelaah dan belajar semula tanpa rasa gentar. Ada murid yang mungkin menyedari bahawa mereka lebih memahami konsep apabila melukis rajah, manakala yang lain mendapati mereka belajar dengan lebih baik melalui perbualan atau video.

Dengan memahami cara mereka belajar dan perkara yang mereka minati, murid dapat memasuki sesi persekolahan baharu dengan kesedaran diri yang lebih kukuh, sekali gus menjadikan perjalanan akademik mereka lebih terarah dan yakin.

Selain itu, aktiviti yang menumpukan pembangunan sahsiah semasa cuti sekolah membantu murid memahami nilai diri dan emosi mereka dengan lebih mendalam.

Dalam tempoh cuti yang tenang, murid mempunyai ruang untuk melihat bagaimana mereka berinteraksi dengan orang lain, perkara yang mencetuskan motivasi atau kekecewaan mereka serta cara untuk mereka bertindak dalam situasi tertentu. Aktiviti sebegini mendorong murid menilai kematangan emosi, empati dan kemampuan untuk membuat keputusan. Secara tidak langsung aktiviti ini menjadi elemen penting dalam pembinaan jati diri dan daya tahan mental.

Sebagai contoh, penyertaan dalam aktiviti komuniti seperti gotong-royong atau bantuan kemasyarakatan boleh menimbulkan kesedaran tentang peranan mereka dalam masyarakat, manakala kem kepimpinan membantu mereka sedar sama ada mereka cenderung memimpin, menyokong atau memerhati sebelum bertindak. Aktiviti komunikasi atau etiket sosial pula membuka ruang untuk murid mengenal pasti cara mereka mengekspresikan diri, tahap keyakinan serta keperluan untuk memperbaiki kemahiran interpersonal.

Apabila murid semakin peka terhadap nilai, emosi dan potensi peribadi, mereka lebih mudah membentuk identiti dan matlamat hidup, sekali gus memasuki tahun persekolahan seterusnya dengan pemahaman diri yang lebih stabil dan matang.

Di samping itu, aktiviti fizikal semasa cuti sekolah bukan sekadar untuk kesihatan tubuh, tetapi juga penting untuk membina kesedaran murid terhadap batas diri dan ketahanan mental.

Melalui sukan atau aktiviti luar, murid dapat menguji kekuatan, stamina dan kemampuan menghadapi cabaran secara langsung. Proses ini memberi mereka peluang untuk mengenali had diri, belajar mengawal emosi ketika gagal dan merasai kepuasan apabila berjaya. Kesedaran tentang batas dan potensi sendiri ini membantu mereka membentuk keyakinan diri dan sikap disiplin yang akan menyokong pembelajaran serta kehidupan harian.

Sebagai contoh, aktiviti mendaki bukit atau mengikuti perkhemahan asas memberikan pengalaman kepada murid untuk mengurus tenaga, menghadapi risiko kecil serta bekerjasama dengan rakan. Sukan seperti bola sepak, renang atau tae kwan do pula mengajar mereka tentang kesabaran, fokus dan kepentingan latihan berterusan. Aktiviti ini membolehkan murid melihat sejauh mana kemampuan mereka, sekali gus mendorong refleksi diri tentang kelebihan dan kelemahan fizikal serta mental.

Dengan kesedaran terhadap batas dan ketahanan diri yang diperoleh daripada aktiviti fizikal, murid lebih bersedia menghadapi cabaran akademik, sosial dan peribadi pada tahun berikutnya, sambil membina keyakinan dan disiplin yang kukuh.

Seterusnya, pengisian cuti sekolah boleh dioptimumkan dengan aktiviti digital dan kreatif. Kegiatan berfaedah ini dapat membuka peluang kepada murid untuk mengenal minat, bakat dan gaya pembelajaran mereka sendiri.

Melalui eksplorasi kreativiti dan kemahiran teknologi, murid bukan sahaja belajar sesuatu yang baharu, namun menyedari kekuatan, kesukaan dan cara mereka mengekspresikan idea. Proses ini membina keyakinan diri serta membantu murid memahami perkara yang benar-benar memberikan kepuasan dan motivasi dalam diri mereka.

Contohnya, murid boleh menyertai kelas asas pengaturcaraan, reka bentuk grafik, penghasilan video atau seni muzik. Ada murid yang menemui minat mendalam dalam bidang animasi atau penulisan kreatif, manakala yang lain pula menyedari bahawa mereka lebih cenderung kepada aspek analitik digital seperti pengekodan atau reka bentuk projek sains. Aktiviti sebegini memberi ruang murid untuk bereksperimen tanpa takut gagal dan membantu mereka mengenal potensi sebenar diri.

Dengan kesedaran tentang minat dan bakat sendiri, murid dapat merancang aktiviti dan matlamat masa hadapan dengan lebih terarah, sekali gus menjadikan cuti sekolah bukan hanya masa lapang, namun platform untuk pembangunan diri yang bermakna.

Pendek kata, cuti sekolah akhir tahun bukan sekadar ruang untuk berehat, namun merupakan peluang berharga kepada murid untuk membina kesedaran diri, mengenal potensi dan memahami kekuatan serta batasan masing-masing melalui pelbagai aktiviti akademik, sahsiah, fizikal dan kreatif. Dengan memanfaatkan masa cuti secara terancang, murid dapat mengembangkan keyakinan, disiplin, empati dan kreativiti, sekali gus membina asas yang kukuh untuk menghadapi cabaran tahun baharu.

Oleh itu, cuti sekolah perlu dilihat bukan sekadar jangka masa kosong, namun sebagai medan refleksi dan pembangunan diri. Murid digalakkan merancang pengisian cuti berdasarkan minat, keperluan dan keunikan diri masing-masing agar setiap hari cuti membawa pengalaman yang bermakna, menjadikan mereka lebih bersedia, matang dan berkeyakinan untuk memasuki sesi persekolahan seterusnya.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi