Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangThailand kembali menjadi tuan rumah Sukan Asia Tenggara atau dikenali sebagai Sukan SEA bagi tahun 2025. Ini merupakan kali ketujuh negara Gajah Putih itu menganjurkan sukan berprestij di rantau Asia Tenggara ini setelah kali terakhir menjadi tuan rumah pada tahun 2007.

Untuk edisi ke-33 ini, tiga wilayah dipilih untuk menganjurkan pelbagai acara sukan, iaitu Bangkok, Chonbori dan Songkhla. Kejohanan ini akan diadakan pada 9 Disember 2025 hingga 20 Disember 2025 membabitkan 11 negara Asia Tenggara dan 50 acara sukan. Namun, disebabkan musibah banjir yang melanda wilayah Songkhla baru-baru ini, pihak kerajaan Thailand telah membuat keputusan untuk mengubah 10 acara sukan yang sepatutnya berlangsung di wilayah itu ke Bangkok.
Sukan SEA mula diperkenalkan pada tahun 1959. Bangkok dipilih menjadi tuan rumah pertama pada tahun tersebut. Idea sukan serantau ini tercetus pada tahun 1958 apabila enam buah negara yang berada dalam Semenanjung Asia Tenggara, iaitu Malaya, Thailand, Burma, Kemboja, Laos dan Vietnam Selatan telah bermesyuarat di Tokyo, Jepun. Keenam-enam negara ini sedang menghadiri kejohanan Sukan Asia yang diadakan di Tokyo pada ketika itu. Melalui mesyuarat itu, keenam-enam negara ini bersetuju untuk menganjurkan satu kejohanan sukan serantau bagi memperkukuhkan semangat perpaduan melalui sukan dalam kalangan negara-negara itu. Maka, satu sukan yang dikenali sebagai Sukan Semenanjung Asia Tenggara (South East Asian Peninsular Games) atau singkatan Sukan SEAP akan dilangsungkan di Thailand pada tahun 1959.
Pada masa yang sama, Persekutuan Sukan SEAP telah ditubuhkan yang berperanan seperti Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) dan Majlis Olimpik Asia (OCA) untuk mengelola kejohanan Sukan SEAP. Sukan SEAP yang pertama telah dianjurkan pada 12 Disember 1959 hingga 17 Disember 1959 di kota Bangkok. Sebanyak 12 acara sukan telah dipertandingkan dengan disertai oleh enam buah negara, iaitu Burma, Malaya, Laos, Vietnam Selatan, Singapura dan Thailand. Negara Kemboja tidak menyertai kejohanan walaupun menjadi negara pelopor dalam mesyuarat yang diadakan di Jepun pada tahun sebelumnya.
Kontinjen Thailand menjadi juara keseluruhan pertama setelah mengumpul sebanyak 35 pingat emas. Kontinjen Malaya menduduki tempat kedua di bawah Burma dalam carta pungutan pingat emas setelah menggondol sebanyak lapan pingat emas. Pasukan bola sepak Vietnam Selatan menjadi juara pertama acara bola sepak lelaki setelah menewaskan pasukan bola sepak Thailand dalam perlawanan akhir dengan jaringan 3-1.
Sukan SEAP kembali pada tahun 1961 dengan Yangon, Burma menjadi tuan rumah edisi kedua itu. Edisi ini menjadi kejohanan pertama yang menghimpunkan sebanyak enam negara pelopor Sukan SEAP apabila Kemboja menyertai kejohanan kali ini. Sebanyak tujuh negara menyertai sukan ini termasuk Singapura dan 13 acara sukan dipertandingkan. Seperti yang dijangka, Burma menjadi juara keseluruhan Sukan SEAP kali ini dengan mengumpul 35 pingat emas. Kontinjen Malaya kekal di kedudukan ketiga setelah mengumpul sebanyak 16 pingat emas di belakang kontinjen Thailand.
Lebih manis, Malaya memenangi ibu segala pingat di temasya kali ini apabila memenangi pingat emas dalam acara bola sepak lelaki. Pasukan bola sepak Malaya menewaskan tuan rumah dengan jaringan 2-0 dalam perlawanan akhir.
Sukan SEAP yang sepatutnya dianjurkan pada tahun 1963 terpaksa dibatalkan apabila tuan rumah, Kemboja menarik diri daripada menganjurkan temasya dwitahunan itu kali ini akibat isu politik dalaman. Oleh itu, Sukan SEAP kembali dianjurkan dua tahun kemudian, iaitu pada tahun 1965. Malaysia yang telah ditubuhkan pada tahun 1963 dipilih menjadi tuan rumah pada tahun 1965. Kuala Lumpur telah dipilih sebagai tuan rumah bagi kejohanan kali ini.
Thailand telah merampas semula kedudukan sebagai juara keseluruhan apabila mengungguli sebanyak 38 pingat emas daripada 14 acara sukan yang dipertandingkan. Kontinjen Malaysia berjaya memperbaiki kedudukan dengan menduduki tangga kedua dengan menggondol sebanyak 33 pingat emas.
Nama Sukan SEAP kekal sehingga tahun 1975. Bermula tahun 1977, sukan serantau ini dikenali pula sebagai Sukan Asia Tenggara ataupun Sukan SEA. Nama ini kekal sehingga edisi sekarang.
Malaysia melalui Kuala Lumpur dipilih menjadi tuan rumah Sukan SEA pada tahun 1977. Kali ini, tiga negara Asia Tenggara lagi menyertai sukan ini, iaitu Negara Brunei Darussalam, Indonesia dan Filipina. Kemboja, Laos dan Vietnam tidak menyertai kejohanan sukan kali ini akibat masalah politik dalaman yang melanda kedua-dua negara itu. Dengan kemasukan negara Indonesia dan Filipina dalam kejohanan ini menjadikan perebutan juara keseluruhan Sukan SEA semakin sengit dengan dua negara sedia ada, iaitu Malaysia dan Thailand.
Kontinjen Indonesia menjadi ‘juara pertama’ Sukan SEA apabila berjaya menggondol sebanyak 62 pingat emas. Gergasi Asia Tenggara, Thailand menduduki tempat kedua dengan pungutan 37 pingat emas, manakala tuan rumah, Malaysia menduduki tempat kelima dengan pungutan 21 pingat emas.
Sukan SEA Edisi ke-18 pada tahun 1995 di Chiang Mai, Thailand menjadi Sukan SEA yang pertama yang berjaya menghimpunkan 10 buah negara ASEAN pada ketika itu. Jumlah sukan yang dipertandingkan juga berjaya ditambah sebanyak 28 kategori sukan untuk edisi kali ini. Buat pertama kali juga, kejohanan ini dilangsungkan di luar ibu negara tuan rumah terbabit bagi memperkenalkan lokasi lain yang mampu meningkatkan ekonomi tempatan.
Thailand menjadi juara keseluruhan Sukan SEA 1995 setelah berjaya memungut pingat emas sebanyak 157 pingat. Malaysia menduduki tempat keempat melalui pungutan 31 pingat emas.
Sejarah sekali tercipta apabila negara yang mencapai kemerdekaan pada tahun 2002, Timor Leste menyertai Sukan SEA pada tahun 2003. Walaupun Vietnam sudah menyertai sukan itu sejak sekian lama, negara itu pertama kali menjadi tuan rumah Sukan SEA pada tahun 2003. Dalam edisi kali itu, Vietnam muncul juara keseluruhan buat pertama kali setelah berjaya mengumpul sebanyak 158 pingat emas di hadapan Thailand.
Sukan SEA 2003 turut menjadi titik tolak penganjuran sukan tradisional seperti sepak bulu ayam, lumba bot tradisional dan renang bersirip. Kebanyakan ketiga-tiga sukan itu disertai oleh negara-negara Indo-China, Vietnam, Laos dan Kemboja. Thailand turut menyertai sukan tersebut.
Sukan SEA Edisi ke-33 di Thailand pada Disember 2025 bakal menjadi kejohanan yang istimewa. Penerimaan Timor Leste sebagai negara anggota ASEAN dalam Sidang Kemuncak ASEAN yang berlangsung di Kuala Lumpur baru-baru ini telah menjadi satu penghormatan yang tidak terhingga kepada negara kecil itu. Selama ini, Timor Leste hanya menyertai Sukan SEA sebagai ‘negara jemputan’, tetapi untuk tahun ini, negara itu boleh berbangga menjadi kontinjen yang sah bertanding dalam sukan serantau itu.
Namun begitu, isu ketegangan diplomatik yang melibatkan negara Thailand dan Kemboja sedikit mengganggu rentak kejohanan kali ini. Pihak Jawatankuasa Olimpik Kebangsaan Kemboja (NOCC) memaklumkan bahawa kontinjen Kemboja tidak menghantar pasukan bola sepak lelaki dan wanita ke edisi kali ini atas alasan faktor keselamatan. Penarikan diri itu diumumkan seminggu sukan bola sepak lelaki dan wanita membuka tirai perlawanan pada 3 dan 4 Disember 2025 sekali gus mengganggu jadual asal sukan itu.
Bagi Malaysia, Sukan SEA menjadi sebagai wadah untuk mengetengahkan bakat-bakat baharu dalam pelbagai disiplin sukan. Melalui kejohanan inilah, muncullah nama-nama seperti Nazmizan Mohamad dan Khairul Hafiz Jantan dalam acara olahraga, Nurul Huda Abdullah dalam acara renang, Rosman Alwi dalam acara lumba basikal dan Mohd Al Jufferi Jamari dalam acara pencak silat. Mereka antara atlet negara yang berjaya meraih pingat emas sekali gus mengharumkan nama Malaysia di kejohanan serantau itu.
Untuk edisi ke-33 ini, diharapkan Malaysia akan terus cemerlang dalam menaikkan nama atlet baharu. Sukan SEA dianggap sebagai batu loncatan untuk atlet baharu menonjolkan bakat dan prestasi sebelum beraksi di Sukan Asia, Sukan Olimpik dan kejohanan dunia bagi acara masing-masing.