Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan Sekarang
Kedudukan wilayah Pulau Pinang sebagai wilayah milik Kesultanan Kedah sebelum British mendudukinya merupakan satu fakta sejarah yang tidak dipertikai. Secara perundangan, wilayah Pulau Pinang terdiri daripada dua buah bahagian, iaitu Pulau dan Seberang Perai. Kedua-duanya diduduki British melalui dua buah perjanjian berasingan—Perjanjian 1791 dan Perjanjian 1802. Perjanjian 1786 hanya satu draf dan tidak bertandatangan. Perjanjian 1791 dan 1802 tidak sekadar menetapkan syarat British menduduki Pulau Pinang, tetapi turut menegaskan hubungan geopolitik dan kedaulatan Kesultanan Kedah.
Analisis Jurisprudens Watan menegaskan bahawa tafsiran undang-undang ketika itu mestilah berpaksikan adat Melayu dan prinsip undang-undang antarabangsa. Sebelum Piagam Keadilan diperkenalkan di Pulau Pinang pada 25 Mac 1807, tafsiran Perjanjian tersebut tidak boleh dibuat mengikut undang-undang Inggeris. Mengikut adat Melayu, seorang raja pemerintah Melayu tidak boleh melepaskan wilayah dan jajahan takluk baginda kepada bangsa yang bukan beragama Islam.
Perjanjian 1791 membenarkan Syarikat British menduduki Pulau Pinang dengan kewajipan membuat bayaran tahunan kepada Yang di-Pertuan Kedah sepanjang tempoh British mendudukinya berserta syarat lain. Frasa “Kedah dan Pulau Pinang adalah satu negeri” mengukuhkan Pulau Pinang tidak terpisah daripada Kedaulatan Kedah. Peruntukan lain bahawa British tidak boleh melindungi pemberontak atau mereka yang derhaka kepada Sultan menunjukkan pengiktirafan British terhadap kedaulatan Kesultanannya. Lantaran, Intipati perjanjian tersebut di sisi adat Melayu menunjukkan satu yang bersyarat bersifat pajakan, bukan cession atau penyerahan mutlak yang boleh ditafsirkan secara bebas. Perjanjian asal 1791 dan 1802 adalah bertulisan Jawi. Walaupun versi bahasa Inggeris Perjanjian tidak menggunakan istilah lease, sifat substantifnya memenuhi ciri pajakan: kewajipan pembayaran, syarat menduduki tanah, dan pengiktirafan kedaulatan Kedah.
Mengikut versi Bahasa Inggeris, Artikel II Perjanjian 1802 mensyaratkan Syarikat British untuk membayar Yang di-Pertuan Perlis dan Kedah sebanyak 10 ribu dolar setahun selagi mereka menduduki Pulau Pinang dan negeri yang bersetentangan dengannya, iaitu Seberang Perai. Ini bermaksud hak dan liabiliti British ke atas Pulau Pinang dan Seberang Perai akan luput apabila British tidak lagi mendudukinya. Peruntukan pemberian “selama-lamanya” hanya melibatkan kawasan seluas 60 relong yang tertakluk kepada ukuran seperti amalan pemberian tanah (alienation) berserta dengan syarat kewajipan British untuk melindungi pantai perairan Kedah daripada ancaman musuh dan perompak seperti termaktub dalam Perkara III Perjanjian 1802. Frasa Perlis, Kedah, dan Pulau Pinang sebagai “satu negeri” masih diperuntukkan sekali gus memelihara hak kedaulatan Kesultanan Kedah ke atas bahagian Pulau dan Seberang Perai.
British akhirnya melaksanakan fungsi kuasa kedaulatan ke atas bahagian Pulau dan Seberang Perai selepas Piagam Keadilan 1807 diperkenalkan, meskipun penguatkuasaan Piagam tersebut boleh dipertikai dengan kewujudan dua buah Perjanjian awal itu. Kedua-dua Perjanjian 1791 dan 1802 pada hakikatnya mengakui kedaulatan dan pengekalan kedaulatan Kesultanan Kedah ke atas wilayah Pulau Pinang sekali gus fakta itu menafikannya sebagai ”deserted territory” seperti pemerhatian Mahkamah dalam kes Ong Cheng Neo v. Yeap Cheah Neo (1872) atas alasan semata-mata belum ada kes dibicarakan di Pulau Pinang.
Dalam kes Reg. V. Willians (1858), Mahkamah membuat pemerhatian bahawa apabila Pulau Pinang menjadi kepunyaan British, tiada penduduk yang menuntut hak untuk dibicarakan di bawah undang-undang sedia ada dan tiada tribunal untuk menguatkuasakan undang-undang tempatan. Selama 20 tahun tiada undang-undang tempatan yang diakui sedangkan British mendakwa sudah menduduki Pulau Pinang secara sah sejak 1786. Undang-undang Inggeris sudah pasti diperkenalkan lebih awal daripada Piagam Keadilan 1807 melalui Perjanjian yang dimasuki oleh Syarikat Inggeris jika Perjanjian tersebut merupakan instrumen undang-undang yang sah memindahkan kedaulatan Kesultanan Kedah kepada Kerajaan British. Namun begitu, jelasnya penerimaan terhadap Perjanjian 1791 dan 1802 tidak begitu.
Mengikut rekod dokumen perundangan, kali terakhir kedudukan status Pulau Pinang disentuh dalam perjanjian antara Kerajaan British dengan Kerajaan Siam ialah pada 6 Mei 1869, yang turut ditandatangani oleh Sultan Ahmad Tajuddin Mukarram Shah Kedah. Pihak Kerajaan British diwakili oleh Thomas Knox, Esq., Konsul Jeneral Britain di Siam. Menurut Allen (1981), salinan Arkib Kedah dan M.G. tiada bercop mohor Sultan Kedah. Perjanjian 1869 itu membatalkan Perjanjian 1786, 1791, 1802, dan 1868. Artikel II Perjanjian 1869 masih mensyaratkan bahawa Gabenor British Koloni Negeri Selat hendaklah membuat bayaran tahunan kepada Yang di-Pertuan Kedah, sebanyak 10 ribu dolar, selagi Kerajaan British terus menduduki Pulau Pinang dan negeri yang bersetentangan dengannya.
Meskipun dalam Artikel III Perjanjian 1869 disebutkan sejumlah kawasan sebagai wilayah yang diserahkan, tiada peruntukan khusus berbentuk instrumen undang-undang untuk memberi kesan perpindahan kuasa kedaulatan seperti amalan semasa. Perkara II dan III Perjanjian 1869 menunjukkan dua kedudukan undang-undang jika dilihat bersama-sama dengan kawalan Kerajaan British ke atasnya. Perkara II Perjanjian 1869 menunjukkan bahagian Pulau dan Seberang Perai adalah pajakan kepada British yang akan tamat apabila British tidak lagi mendudukinya. Perkara III Perjanjian 1869 menunjukkan pelaksanaan fungsi kuasa kedaulatan dalam bahagian Seberang Perai yang diserahkan kepada British turut akan terhenti kerana tertakluk kepada bayaran tahunan di bawah Perkara II Perjanjian 1869.
Semasa rundingan antara Raja-raja Melayu dengan Kerajaan British yang turut disertai oleh Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu untuk membentuk Persekutuan Tanah Melayu, Sultan Kedah telah merakamkan reservasi hak kerajaan baginda terhadap bahagian Pulau dan Seberang Perai meskipun baginda bersetuju Pulau Pinang menyertai Persekutuan Tanah Melayu sebagai satu wilayah. Reservasi tersebut turut diakui oleh Kerajaan British dan dalam pengetahuan Raja-raja Melayu yang lain.
Fasal 5 Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1957 membatalkan semua perjanjian terdahulu antara Kerajaan British dengan Raja-raja Melayu melainkan perjanjian yang menyentuh kewilayahan manakala Jadual Keempat Perjanjian tersebut secara khusus menamatkan hak, liabiliti dan obligasi Kerajaan British ke atas wilayah Pulau Pinang kerana British tidak lagi menduduki bahagian Pulau dan Seberang Perai bermula pada 31 Ogos 1957. Berdasarkan Perjanjian 1791, 1802 dan 1869, hak, liabiliti dan obligasi Kerajaan British ke atas bahagian Pulau dan Seberang Perai wujud selagi mereka menduduki wilayah Pulau Pinang. British akan hilang semua hak, liabiliti dan obligasi selepas tarikh mereka tidak lagi menduduki wilayah Pulau Pinang. Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu turut melampirkan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu, Perlembagaan Pulau Pinang dan Perlembagaan Melaka.
Oleh hal yang demikian, tanpa ada instrumen undang-undang yang diluluskan oleh Majlis Negeri Kedah sebelum Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1957 ditandatangani untuk meletakkan bahagian Pulau dan Seberang Perai atau wilayah Pulau Pinang di bawah pentadbiran Kerajaan Pulau Pinang pada 31 Ogos 1957 dan selepasnya, Pulau Pinang yang merupakan sebahagian hak wilayah Kesultanan Kedah masih belum diikat secara sah dengan Kerajaan Persekutuan mahupun Kerajaan Pulau Pinang. Dalam erti kata lain, hak, liabiliti dan obligasi Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Pulau Pinang ke atas wilayah Pulau Pinang masih belum terletak dengan sempurna sehingga berlaku rundingan terma komersial dan instrumen undang-undang yang memberikan kesan sedemikian seperti berlaku apabila pentadbiran Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya diwujudkan.
Kesimpulannya, Perkara 166(1), 166(2), dan 167(2)(a) Perlembagaan Persekutuan tidak mengabsahkan perpindahan hak, liabiliti dan obligasi Kerajaan British ke atas bahagian Pulau dan Seberang Perai pada 31 Ogos 1957 kepada Kerajaan Pulau Pinang kerana British tidak mempunyai sebarang hak apabila tidak lagi mendudukinya. Perkara 166(1), 166(2), dan 167(2)(a) ialah peruntukan perlembagaan yang bertujuan untuk memindahkan hak, liabiliti dan obligasi Baginda Ratu England ke atas wilayah Pulau Pinang kepada Kerajaan Pulau Pinang. Peruntukan Perkara 166(1), 166(2), dan 167(2)(a) itu juga telah dimansuhkan melalui pindaan Perlembagaan Persekutuan dalam tahun 1963.
Perkara 167(7) Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan Kerajaan Persekutuan mengambil alih pembayaran tahunan di bawah Perjanjian 1869 tidak memberikan apa-apa kesan undang-undang walaupun Kerajaan Persekutuan terus membuat bayaran tersebut kepada Kerajaan Kedah atas alasan yang sama, kerana British tidak boleh memindahkan suatu yang bukan haknya.
Justeru, Kerajaan Persekutuan dan Pulau Pinang perlu membuka ruang rundingan dengan Kerajaan Kedah untuk memuktamadkan semua isu yang belum diselesaikan semasa wilayah Pulau Pinang menyertai Persekutuan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957 sebagai sebuah negeri dan diletakkan di bawah kedaulatan Yang di-Pertuan Agong.
Datuk Dr. Wan Ahmad Fauzi Wan Husain ialah Pengasas Jurisprudens dan Fiqh al-Watan serta Profesor Madya ISTAC Universiti Islam Antarabangsa Malaysia/Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah.