Diterbitkan pada 13 Januari 2026, 08:06

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Selari dengan pembangunan negara yang semakin pesat berkembang pada era modenisasi ini, pasaran tenaga kerja juga turut berdepan dengan pelbagai cabaran yang kompleks dalam pelbagai sektor. Malaysia kini berhadapan dengan transformasi digital yang pesat, peningkatan persaingan serta perubahan struktur ekonomi yang menuntut tenaga kerja yang berkemahiran tinggi. Keadaan ini telah menyebabkan Malaysia memberi perhatian terhadap kepentingan pembangunan sumber manusia sebagai agenda utama untuk membangunkan generasi muda sebagai modal insan yang berkualiti dalam arus ekonomi kini. Pembentukan modal insan yang berkualiti perlu memberi perhatian terhadap individu yang berpengetahuan, berkemahiran insaniah, berfikiran kritis dan berkemampuan untuk menyesuaikan diri dengan perubahan ekonomi dunia.

Sehubungan dengan itu, pendidikan akhlak menjadi teras utama dalam pembangunan sumber manusia yang membentuk asas nilai, etika dan tingkah laku yang diperlukan. Melalui penghayatan akhlak yang kukuh, pekerja yang juga merupakan modal insan dapat menjalankan kerja dengan lebih berintegriti, berinteraksi secara beradab serta bertindak dengan penuh tanggungjawab dalam pelbagai keadaan. Nilai-nilai ini bukan sahaja membantu pekerja menyesuaikan diri dengan perubahan dan tekanan kerja, malah mampu memperkukuh budaya organisasi yang sihat dan profesional.

Sebagaimana sabda Rasulullah SAW melalui Hadis Makārim al-Akhlāq yang diriwayatkan oleh Imam Malik dalam al-Muwaṭṭa’ dan juga diriwayatkan oleh Imam Ahmad, kedua-duanya menyatakan bahawa:

Sesungguhnya aku diutuskan hanyalah untuk menyempurnakan kemuliaan akhlak

Melalui Hadis ini, Rasulullah SAW bersabda bahawa akhlak merupakan teras kepada pembentukan modal insan yang termasuk dalam konteks pekerjaan dan organisasi. Sesungguhnya, dalam dunia pekerjaan dan organisasi kini, pendidikan akhlak berperanan penting untuk membentuk modal insan yang bukan sahaja berpengetahuan dan berkemahiran, tetapi juga berintegriti, amanah dan bertanggungjawab dalam melaksanakan tugas. Bersesuaian dengan era teknologi yang semakin pantas, penghayatan nilai akhlak menjadi bertambah penting dalam membentuk etika pekerja dalam berurusan, berinteraksi dan membuat keputusan tanpa mengabaikan prinsip moral. Penerapan pendidikan akhlak dalam pembangunan modal insan bukan sahaja meningkatkan kualiti individu, malah menyumbang kepada pembentukan budaya kerja yang profesional, harmoni dan lestari.

Malah, Rasulullah SAW turut bersabda dalam Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim bahawa;

Sebaik-baik kamu adalah yang paling baik akhlaknya”.

Melalui hadis ini, Rasulullah SAW menyatakan bahawa ukuran kecemerlangan seseorang pekerja bukan hanya terletak pada kemahiran atau pencapaian dalam pekerjaannya sahaja, tetapi meliputi kualiti akhlaknya semasa menjalankan tugas di tempat kerja. Oleh itu, penghayatan nilai akhlak seseorang pekerja seperti amanah, jujur, bertanggungjawab dan saling menghormati orang lain, bukan sahaja memenuhi tuntutan profesionalisme moden, malah meliputi prinsip Islam dalam melahirkan modal insan yang berintegriti serta menyumbang kepada pembentukan budaya organisasi yang beretika.

Selain itu, kerajaan juga telah melancarkan Dasar Modal Insan Negara dan Pelan Pembangunan Pendidikan yang memberi perhatian kepada pembentukan nilai etika dan integriti, serta pembinaan sahsiah dan akhlak untuk melahirkan tenaga kerja yang berdaya saing. Pelan Pembangunan Pendidikan ini memberi perhatian kepada pembangunan yang selari dengan keperluan ekonomi negara dengan menekankan penghasilan tenaga kerja yang berkualiti, berkemahiran tinggi serta memiliki nilai etika dan akhlak yang kukuh, bagi memastikan modal insan yang dilahirkan bukan sahaja berdaya saing dan produktif, malah mampu menyumbang secara berintegriti kepada pertumbuhan ekonomi dan pembangunan negara secara lestari.

Di samping itu, Dasar Modal Insan Negara pula memberi perhatian terhadap pembangunan modal insan secara menyeluruh dan bersepadu dengan menekankan keseimbangan antara penguasaan ilmu, kemahiran, nilai moral dan akhlak mulia. Hal ini bagi melahirkan tenaga kerja yang berintegriti, berdaya tahan dan berkeupayaan menghadapi cabaran perubahan ekonomi dan sosial dalam persekitaran global yang dinamik.

Sehubungan dengan itu, kedua-dua dasar ini jelas menunjukkan bahawa pembangunan sumber manusia tidak boleh melihat aspek teknikal dan akhlak secara berasingan, sebaliknya perlu digerakkan secara bergandingan agar tenaga kerja yang dihasilkan bukan sahaja cekap dan produktif, malahan memiliki jati diri, etika kerja dan tanggungjawab sosial yang tinggi. Ini juga akan dapat membentuk budaya kerja yang harmoni sekali gus menyokong kelestarian organisasi untuk jangka panjang.

Selain pembangunan sumber manusia pada peringkat organisasi, tumpuan yang signifikan juga perlu diberikan kepada pembinaan modal insan sejak peringkat kanak-kanak di sekolah melalui pelaksanaan pendidikan yang bersepadu dan berteraskan penguasaan ilmu, kemahiran, nilai moral, serta akhlak mulia. Pendekatan ini bertujuan mewujudkan asas sahsiah yang kukuh sejak peringkat awal kehidupan, sekali gus membentuk individu yang berintegriti, bertanggungjawab dan berdaya saing. Dengan demikian, pendidikan awal juga berperanan sebagai platform strategik dalam memastikan pendidikan akhlak berkesinambungan dengan pembangunan modal insan yang berkualiti. Kesemuanya ini mampu menyumbang kepada pembangunan sumber manusia dalam organisasi sekali gus membina masyarakat yang berintegriti.

Pembangunan awal sumber manusia memainkan peranan penting dalam menyokong pembangunan sosial dan ekonomi yang menjadikan individu dibentuk dengan asas ilmu pengetahuan, kemahiran, nilai moral dan akhlak yang kukuh sejak peringkat awal kehidupan. Mereka juga akan cenderung untuk menjadi warga yang produktif, beretika dan bertanggungjawab. Bersesuaian dengan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR), pembentukan ini bukan sahaja meningkatkan keupayaan mereka untuk menyumbang secara efektif dalam sektor pekerjaan dan organisasi, malah turut memperkukuh kesejahteraan sosial, menggalakkan penyertaan masyarakat yang konstruktif, serta menyokong pertumbuhan ekonomi yang lestari dan inklusif dalam jangka panjang.

Berasaskan kepada perbincangan pendidikan akhlak dalam pembangunan modal insan ini, beberapa ahli sosiologi barat telah membincangkan bahawa pendidikan akhlak individu dapat difahami melalui pelbagai teori yang menekankan peranan sosial, interaksi dan pembelajaran dalam pembentukan nilai. Albert Bandura telah memperkenalkan Teori Pembelajaran Sosial yang juga dikenali sebagai Social Learning Theory yang menekankan bahawa setiap individu pekerja itu mempelajari tingkah laku dan norma melalui pemerhatian, peniruan dan penguatan daripada persekitaran sosial kerja mereka. Oleh itu, dalam konteks pendidikan akhlak, Albert Bandura menyatakan bahawa pembinaan akhlak kanak-kanak bermula sejak kecil, iaitu melalui tingkah laku yang ditunjukkan oleh masyarakat sekelilingnya, seperti ahli keluarga, rakan, guru, rakan sekerja dan majikannya.

Berdasarkan pemerhatian, apabila tingkah laku positif yang dilakukan itu mendapat pujian atau ganjaran sosial, maka individu tersebut akan lebih cenderung untuk melakukan nilai tersebut lagi sebagai sebahagian daripada sahsiah kehidupan mereka. Oleh itu, Bandura juga bersetuju bahawa pendidikan akhlak ini memerlukan persekitaran yang kondusif berserta dengan model teladan untuk menjadi contoh yang baik kepada pembentukan modal insan yang beretika dan bertanggungjawab dalam masyarakat.

Menurut pandangan ilmuwan tempatan, Syed Muhammad Naquib al-Attas, akhlak menekankan kepada integrasi nilai moral, sahsiah dan spiritual dalam membina modal insan yang seimbang dari segi intelektual, emosi dan rohani. Beliau menyatakan bahawa pendidikan akhlak dalam kalangan masyarakat bukan sekadar pengajian teori sahaja, malah lebih kepada proses pembentukan insan melalui penghayatan ilmu, nilai dan pengalaman hidup yang berlandaskan prinsip Islam. Beliau menegaskan bahawa akhlak mulia seseorang harus dipupuk sejak peringkat awal pendidikan melalui bimbingan keluarga, sekolah dan masyarakat, agar individu tersebut mampu membina nilai, seperti amanah, jujur, disiplin dan bertanggungjawab dalam tugasan  seharian. Dalam konteks pendidikan di Malaysia, pendekatan ini dapat diterjemahkan melalui program seperti Modul Akhlak dan Sahsiah serta aktiviti kokurikulum yang menekankan pengamalan nilai melalui pengalaman praktikal, teladan guru dan penglibatan dalam masyarakat, seterusnya melahirkan warga yang berintegriti, beretika dan menyumbang secara konstruktif kepada pembangunan sosial dan negara.

Kesimpulannya, pembangunan yang hanya menumpukan pada aspek material, kemahiran teknikal dan kemajuan teknologi, tanpa keseimbangan dengan nilai moral dan etika, akan melahirkan modal insan yang tidak berkualiti pada era modenisasi ini. Oleh itu, integrasi nilai akhlak sebagaimana yang digariskan oleh pemikiran Islam dan teori pendidikan moden adalah selaras dengan kerangka Malaysia MADANI kini. Sebagaimana modal insan dalam konsep MADANI, maka pendekatan ini juga bukan hanya membincangkan tentang individu yang berdaya saing dan berpengetahuan, malah berakhlak mulia, berintegriti dan bertanggungjawab terhadap masyarakat, serta negara sekali gus menyumbang kepada pembinaan tamadun bangsa yang seimbang dan lestari.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi