Diterbitkan pada 15 Februari 2026, 20:57

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat menyempurnakan majlis perasmian Pusat Aktiviti Belia Setempat (Y-HUB) Majlis Belia Malaysia (MBM) di Cheras, semalam.

Pusat tersebut berfungsi sebagai alternatif pusat rekreasi dan ruang interaksi buat anak muda di ibu negara bagi menjalankan aktiviti yang bermanfaat.

Keberangkatan baginda ke Wisma Zelan, Bandar Tun Razak itu turut mencatatkan sejarah apabila menjadi kunjungan sulung seorang pewaris takhta negeri ke Ibu Pejabat MBM.

Program yang bertemakan Kayuhan dan Sesi Tuanku Raja Muda Perlis Bersama Belia itu turut disi dengan sesi interaksi bersama-sama golongan belia yang hadir serta memberikan ruang kepada para peserta bertukar pandangan secara terbuka.

DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail turut berkenan berangkat ke Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur untuk meluangkan masa bersama-sama dengan pasukan Liga Super, KL City FC atau lebih dikenali sebagai “The City Boys”.

Dalam sesi tersebut, baginda sempat beramah mesra dengan barisan jurulatih serta para pemain pasukan bola sepak tersebut.

Raja Muda Perlis DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkesempatan beramah mesra dengan barisan jurulatih serta para pemain pasukan Liga Super KL City F.C.

Pada masa yang sama, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra menyaksikan sesi penyampaian sumbangan silaturahim bersempena dengan sambutan Tahun Baru Cina dan Ramadan Karim daripada pihak MBM kepada bekas-bekas pemain pasukan KL pada era 1980-an dan 1990-an sebagai tanda penghargaan terhadap jasa dan sumbangan mereka dalam arena bola sepak.

Antara bekas pemain KL yang hadir dalam majlis penyampaian tersebut termasuklah Azman Adnan, Tan Siew Seng, Subadron Aziz, Saidin Osman, Nazim Din, Kamarul Zaman Yusof dan Datuk Ramlan Askolani.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi