Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangProgram pengajian matrikulasi dan tingkatan enam akan berada di bawah Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) mulai tahun hadapan seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dalam peluncuran Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026-2035 pada Januari lalu. Hal ini merupakan satu perkembangan baharu kerana sebelum ini kedua-dua program ini (matrikulasi dan tingkatan enam) terletak di bawah kendalian Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Ruang lingkup KPM sangat luas, maka wajarlah pengajian pra-universiti ini diletakkan di bawah KPT.
Angka pelajar lepasan SPM yang terlibat dalam pengajian pra-universiti ini agak besar. Data lepasan SPM 2024 menunjukkan bahawa sebanyak 62,729 orang memilih untuk melanjutkan pelajaran ke tingkatan enam bagi sesi 2025 dan dikatakan sebagai angka yang agak besar. Pengurusan yang benar-benar sesuai amat perlu bagi memastikan para pelajar yang bakal memasuki pengajian sarjana muda ini memiliki tahap pencapaian dan persediaan yang sesuai.
Perkembangan pengajian pra-universiti yang dipindahkan ke bawah kendalian KPT ini menunjukkan sistem pendidikan negara mempunyai pandangan yang jauh. Pengajian pra-universiti yang diletakkan di bawah kendalian KPT dilihat sebagai tindakan yang wajar dan tepat dengan memungkinkan satu persediaan yang lebih baik kepada calon-calon yang bakal memasuki pengajian universiti. Dengan kendalian KPT diharapkan program pengajian akan lebih dirancang dengan suatu yang lebih sesuai sebagai persediaan memasuki kampus bagi mengikuti ijazah sarjana muda.
Tempoh masa yang ada sebelum program ini bermula pada tahun hadapan (2027) perlu dirancang dengan sebaik-baiknya. Seperti yang dinyatakan oleh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Diraja Dr. Zambry Abdul Kadir, beberapa perkara sedang dibincangkan dan dirancang oleh pihak KPT bagi memastikan program ini mencapai hasrat yang diharapkan. Antara persoalan penting yang dinyatakan oleh beliau antara lain tentang isu perjawatan guru yang terlibat dengan program matrikulasi dan tingkatan enam dan juga kesesuaian lokasi pengajian dan kemudahan pengajaran-pembelajaran pelajar tingkatan enam.
Isu perjawatan guru tingkatan enam dan pensyarah program matrikulasi penting bagi memastikan kebajikan kakitangan terpelihara dengan masa hadapan yang lebih terjamin. Skim gaji dan kenaikan pangkat harus diperhalusi dengan terperinci agar sesuai dengan peranan dan beban kerja dan tanggungjawab yang dipikul oleh pensyarah. Peluang melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi (seperti ke peringkat sarjana dan ijazah doktor falsafah) perlu difikirkan dan diberikan peluang dan galakan bagi kakitangan yang berminat.
Kelayakan dan pengajian yang lebih tinggi ini perlu difikirkan supaya lebih sesuai dengan perkembangan semasa yang berlaku. Kelayakan pendidikan staf akademik tidak dinafikan mempunyai hubungan yang rapat dengan mutu pengajaran yang disampaikan. Penghormatan dan keyakinan masyarakat juga akan lebih tinggi dengan kelayakan akademik yang lebih tinggi. Sudah semestinya peranan dan keberkesanan staf akademik akan lebih baik dengan peningkatan kelayakan akademik. Semua ini akan memberikan pulangan dan rantaian kesan positif yang baik bagi semua pihak yang terlibat. Program matrikulasi dan tingkatan enam pastinya akan menghasilkan kesan yang baik dengan kelayakan akademik guru dan juga kebajikan yang lebih terjaga.
Kesesuaian lokasi pengajian, kemudahan pengajaran-pembelajaran, silibus dan kurikulum pengajian tingkatan enam merupakan antara faktor penting kerana memberikan kesan yang positif kepada program matrikulasi dan program tingkatan enam di bawah KPT.
Program tingkatan enam pula perlu mempunyai pusat pengajian tertentu; mungkin beberapa pusat pengajian tingkatan enam di setiap negeri. Hal ini penting supaya ada perubahan fizikal yang positif yang mendorong kepada lebih tarikan para pelajar kepada pengajian tingkatan enam. Jelmaan fizikal pra-universiti ada baiknya jika ada sedikit perbezaan antara sekolah menengah biasa tingkatan satu hingga lima. Tidak dinafikan bahawa jelmaan dan bangunan fizikal mempunyai pengaruh terhadap minat dan semangat belajar. Persekitaran fizikal mempunyai sedikit sebanyak pengaruh terhadap kesan positif pembelajaran.
Selain itu, bentuk dan seni bina dewan kuliah program tingkatan enam perlu ada perbezaan dengan sekolah menengah tingkatan satu hingga lima. Mungkin dewan kuliah dibina sesuai dengan penyampaian kuliah massa yang mempunyai bilangan pelajar yang besar. Bilik-bilik kecil bagi mengendalikan tutorial dalam jumlah yang lebih kecil juga perlu dibina. Begitu juga dengan bilik guru perlu dibina sedikit berbeza daripada bilik guru di sekolah menengah biasa. Perkara yang berkaitan dengan seni bina fizikal ini tidak boleh dianggap remeh kerana mempunyai hubungan kesan rantaian positif terhadap pengajaran dan pembelajaran secara menyeluruh.
Susun atur keseluruhan pusat pengajian tingkatan enam dan matrikulasi juga harus sesuai dan dibezakan dengan susun atur sekolah menengah dan asrama biasa. Sebagai contoh, bangunan akademik, perpustakaan dan pusat penginapan pelajar perlu dirancang dengan baik bagi mencapai pencapaian objektif yang optimum. Kesilapan dalam susun atur perancangan fizikal akan memberikan kesan rantaian yang negatif.
Silibus, kurikulum dan pilihan mata pelajaran yang perlu dipilih oleh para pelajar juga tidak kurang pentingnya. Perlu diingatkan bahawa program tingkatan enam dan matrikulasi ini bukan lagi sekolah menengah tetapi pra-universiti. Setiap pelajar sewajarnya sudah jelas tentang minat dan kursus yang bakal diambil pada peringkat ijazah sarjana muda kelak. Kursus dan mata pelajaran yang ditawarkan juga mestilah sesuai dengan program pra-universiti. Mata Pelajaran tingkatan enam perlu diubah secara menyeluruh dan selari dengan kursus dan fakulti yang terdapat di universiti. Pusat Program tingkatan ini perlu diperluas selaras dengan mata pelajaran yang ada di universiti seperti kursus Undang-undang, Sains Politik, Sosiologi, Hubungan Antarabangsa, Psikologi, Hubungan Industri, Pengajian Perniagaan dan seumpamanya. Pada masa ini, kursus seperti Undang-undang, Sains Politik, Psikologi, Sosiologi dan mata Pelajaran yang saya sebutkan di atas belum lagi diperkenalkan pada peringkat tingkatan enam yang dikendalikan oleh KPM sebelum ini.
Penulis menyarankan agar mata pelajaran yang disebutkan di atas perlu diperkenalkan di bawah program baharu tingkatan enam yang dikendalikan oleh KPT ini. Alasannya, mana-mana pelajar yang berminat untuk mengikuti pengajian undang-undang pada peringkat sarjana muda akan lebih mudah disebabkan semasa berada di tingkatan enam, mereka telah sedia memiliki asas ilmu undang-undang. Begitulah juga bagi mereka yang bercadang mengikuti kursus Sosiologi, Sains Politik, Psikologi dan seumpamanya pada peringkat sarjana muda di universiti.
Penulis melihat perubahan kendalian program matrikulasi dan tingkatan enam daripada KPM kepada KPT merupakan satu perubahan yang baik, patut dipuji dan berpandangan jauh. Semoga program kendalian baharu di bawah KPT ini akan berjalan dengan baik, lancar, tersusun dan tercapai matlamatnya. Syabas kepada Perdana Menteri dan Menteri KPT.
Prof. Madya Dr. Mohd. Noor Mat Yazid ialah Felow Penyelidik Kanan, Kluster Hubungan Antarabangsa dan Politik Borneo, Institut Kajian Orang Asal Borneo (BorIIS), Universiti Malaysia Sabah.