Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangAktiviti sukarelawan kini semakin rancak dilaksanakan di institusi pengajian tinggi (IPT), merangkumi pelbagai bentuk pelibatan, daripada bantuan kemanusiaan hinggalah kepada usaha pemuliharaan alam sekitar. Fenomena ini mencerminkan peningkatan kesedaran dalam kalangan mahasiswa tentang kepentingan pelibatan sukarela sebagai wahana membina jati diri, memupuk nilai empati serta mengasah ciri kepimpinan sebelum melangkah ke alam pekerjaan.
Sebagaimana yang kita sedia maklum, pelbagai agensi kerajaan, badan swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) turut berganding bahu dengan IPT untuk menjayakan inisiatif kesukarelawanan, khususnya ketika berlakunya bencana alam melalui penyediaan bantuan kecemasan, logistik dan sokongan kemanusiaan.
Mahasiswa juga semakin didedahkan dengan pelbagai program kesukarelawanan Bersama-sama dengan NGO bagi menyemai budaya tolong-menolong, memperkukuh semangat tanggungjawab sosial, serta memupuk kepekaan terhadap isu komuniti. Dalam hal ini, IPT memainkan peranan signifikan dengan menyediakan platform yang kondusif kepada mahasiswa melalui latihan kepimpinan, penyaluran dana dan pemberian pengiktirafan terhadap pelibatan aktif dalam aktiviti sukarelawan.
Sektor pendidikan juga telah memberikan perhatian terhadap manfaat mahasiswa di IPT yang menyertai badan sukarelawan untuk membina daya kepimpinan mereka apabila tamat pengajian kelak. Aktiviti sukarelawan merupakan satu pendekatan yang berkesan di IPT untuk melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah memiliki nilai insaniah yang tinggi. Sesungguhnya, aktiviti sukarelawan ini dapat memberikan peluang kepada pelajar untuk berinteraksi dan bekerjasama dengan masyarakat dalam menyelesaikan masalah di lapangan.
Bagi membina kepimpinan dalam kalangan mahasiswa, aktiviti sukarelawan ini juga dapat memupuk kemahiran komunikasi dan pengurusan yang memerlukan daya tahan mental yang tinggi. Malah, aktiviti sukarelawan ini juga dapat memberikan ruang kepada mahasiswa untuk mengasah bakat mereka apabila membuat keputusan dan memimpin pasukan.
Selain itu, aktiviti sukarelawan juga memberikan pendedahan kepada pelajar yang terlibat untuk menganggotai kumpulan dan berpeluang memegang peranan sebagai ketua projek, penyelaras program atau fasilitator, yang dapat memperkukuh keyakinan diri serta keupayaan membuat keputusan yang bijak dan beretika. Sesungguhnya, aktiviti sukarelawan ini berfungsi sebagai medan latihan kepimpinan yang holistik dan praktikal kepada mahasiswa untuk menyumbang kepada pembentukan pemimpin muda yang lebih peka terhadap isu sosial, bertanggungjawab dan mampu membawa perubahan positif kepada masyarakat. Bagi memperkasakan budaya kepipimpinan pelajar melalui aktiviti sukarelawan, kerjasama dengan agensi lain seperti badan swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) perlu dipertingkatkan.
Ahli psikologi berpendapat bahawa aktiviti sukarelawan memainkan peranan penting dalam membentuk dan memperkukuh daya kepimpinan individu. Hal ini dikatakan demikian kerana aktiviti sukarelawan menyentuh secara langsung aspek perkembangan psikososial individu. Selain itu, turut memberikan kelebihan kepada pelajar yang berada pada fasa remaja dan sedang melalui peringkat pembentukan identiti dan tanggungjawab sosial. Pelajar dapat membentuk diri untuk meneroka peranan sosial, membina empati dan mengembangkan keupayaan untuk membina kepimpinan yang berkesan.
Sehubungan dengan itu, aktiviti sukarelawan ini juga dapat meningkatkan keyakinan diri, kecekapan emosi dan kemahiran interpersonal. Ahli psikologi percaya bahawa situasi sebenar yang melibatkan cabaran masyarakat akan memberikan peluang kepada mahasiswa untuk belajar mengurus tekanan, menyelesaikan konflik dan memimpin kumpulan secara praktikal. Menurut ahli teori pembelajaran sosial oleh Albert Bandura, pelajar akan belajar untuk mengembangkan sifat kepimpinan melalui pemerhatian dengan meniru tingkah laku pemimpin dalam kalangan sukarelawan yang lain, seterusnya membina kecekapan diri melalui pengalamannya.
Bersesuaian dengan perbincangan ahli psikologi ini, pihak kerajaan melalui Kementerian Belia dan Sukan (KBS) telah melaksanakan Dasar Kesukarelawanan Negara (DKN) yang memberikan perhatian terhadap kepentingan pelibatan belia termasuk mahasiswa di IPT dalam aktiviti sukaralewan sebagai medium pembinaan jati diri dan kepimpinan. Dasar ini memberikan perhatian terhadap pengiktirafan untuk membentuk mahasiswa menjadi individu yang lebih bertanggungjawab, beretika dan berkepimpinan tinggi. Hal ini sekali gus dapat menyediakan platform kepada mereka untuk memenuhi keperluan pembentukan kepemimpinan yang berkualiti di samping membina sifat bertanggungjawab dan berintegriti.
Selari dengan dasar tersebut, Kementerian Pendidikan Tinggi juga turut memperkenalkan inisiatif seperti Service Learning Malaysia-University for Society (SULAM) yang menggabungkan pembelajaran akademik dengan khidmat komuniti. Melalui program ini juga, pelajar akan diberi peluang untuk mengasah bakat kemahiran insaniah seperti komunikasi, pengurusan projek dan kepimpinan.
Bagi meningkatkan kualiti peryertaan pelajar dalam aktiviti sukarelawan ini, pihak kerajaan telah menggalakkan pelibatan pelajar dalam NGO dan pertubuhan antarabangsa melalui geran dan peluang penyertaan dalam program sukarelawan global. Perlaksanaan dasar Malaysia MADANI pada hari ini turut menggalakkan dan mendorong golongan belia terutama mahasiswa di IPT untuk menjadi agen perubahan sosial bagi memperkukuh nilai murni dalam kalangan rakyat Malaysia. Dasar ini bukan sahaja membuka peluang kepada mahasiswa untuk terlibat dalam aktiviti sukarelawan, tetapi membentuk mereka menjadi pemimpin masa hadapan yang prihatin, berwawasan dan bernilai kemanusian.
Pada hari ini, universiti awam dan universiti swasta, serta kolej pengajian telah memberikan perhatian terhadap pelibatan pelajar dalam aktiviti sukarelawan untuk membina daya kepimpinan. IPT telah menyediakan pelbagai platform seperti kelab, persatuan dan program sukarelawan yang dirangka khusus untuk memberi ruang kepada mahasiswa melatih kemahiran kepimpinan secara praktikal. Pelbagai aktiviti sukarelawan di universiti yang telah dianjurkan seperti program khidmat komuniti, misi bantuan bencana, program anak angkat dan aktiviti kemasyarakatan yang melibatkan pelajar sebagai perancang, penyelaras dan pelaksana.
Secara keseluruhannya, aktiviti sukarelawan merupakan medium yang efektif untuk membina daya kepimpinan mahasiswa melalui penyertaan dalam pelbagai aktiviti kemasyarakatan. Sokongan daripada agensi kerajaan, pihak swasta dan NGO telah membantu pihak universiti membina daya kepimpinan pelajar holistik dan berkesan. Pewujudan Dasar Kesukarelawanan Negara (DKN), Dasar Pembangunan Belia Negara (DPBN) dan aspirasi Malaysia MADANI telah memperkukuh usaha untuk melahirkan pemimpin masa hadapan yang berintegriti dan peka terhadap isu sosial negara. Ahli psikologi turut mengiktiraf peranan sukarelawan dalam perkembangan psikososial pelajar untuk menjadikannya sebagai satu pendekatan yang menyeluruh dan praktikal dalam membentuk pelajar menjadi pemimpin yang berwibawa. Kerjasama berterusan antara pihak kerajaan, IPT, NGO dan masyarakat penting untuk memperkasakan budaya kepimpinan melalui aktiviti sukarelawan dalam membentuk mahasiswa yang beretika, berintegriti dan bertanggungungjawab.