Diterbitkan pada 3 Mac 2026, 09:23

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) memaklumkan bahawa permohonan kemasukan pelajar Sesi I 2026/2027 ke program Sijil dan Diploma di sebanyak 36 buah Politeknik dan 106 buah Kolej Komuniti telah dibuka.

Menurut JPPKK, permohonan melalui eBorang MyPOLYCC ini boleh dibuat mulai 27 Februari 2026, pada pukul 5.00 petang hingga 27 Mac 2026, pada pukul 5.00 petang secara dalam talian menerusi pautan. Sebanyak 33,000 tempat disediakan dalam pelbagai bidang pengajian bagi sesi I 2026/2027 ini.

Tawaran ini terbuka kepada kumpulan pelajar seperti yang berikut:

  • Pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2024 ke bawah, serta lulusan Sijil Politeknik, Kolej Komuniti, Vokasional Malaysia, Institut Kemahiran Tinggi PERDA, Institut Kemahiran MARA, Institut Pertanian Malaysia dan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 3.
  • Lulusan Program Vokasional Menengah Atas (PVMA) dan lulusan SKM Tahap 2.
  • Pemilik sijil APEL yang dipelawa untuk melanjutkan pengajian ke peringkat Sijil dan Diploma.
  • Murid Orang Kurang Upaya (OKU) lepasan tingkatan lima sekolah pendidikan khas (terhad kepada kategori masalah pendengaran dan pembelajaran) bagi 12 program Sijil Khas Kemahiran di lima buah politeknik dan 12 buah kolej komuniti.

Tarikh pendaftaran pelajar baharu akan bermula pada 14 Jun 2026 bagi program Asasi. Manakala, pendaftaran bagi program Diploma, Sijil dan Sijil Khas Kemahiran akan bermula pada 21 Jun 2026.

Bagi memperkasakan program pengajian, JPPKK turut memperkenalkan Program Eksklusif NAVALTech@PSA melalui kerjasama antara Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA) dengan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM). Inisiatif di bawah Nota Kerjasama (MoU) yang dimeterai pada 20 Mei 2025 ini bertujuan untuk membekalkan tenaga kerja teknikal yang berkemahiran serta berdisiplin tinggi.

Pihak TLDM menyasarkan pengambilan sebanyak 200 orang calon setahun bagi Skim Diploma Tugas Khusus (DTK) TLDM, iaitu lantikan ke skim juruteknik TLDM. Program ini ditawarkan melalui empat program di PSA, iaitu Diploma Kejuruteraan Mekanikal, Diploma Kejuruteraan Mekanikal (Pembungkusan Industri), Diploma Kejuruteraan Elektronik (Komunikasi) dan Diploma Kejuruteraan Elektronik (Kawalan).

JPPKK turut memaklumkan bahawa berkuat kuasa mulai Sesi I 2026/2027, terdapat pindaan kepada beberapa nama program antaranya termasuklah Diploma Kejuruteraan Elektronik (Komunikasi) ditukar kepada Diploma Kejuruteraan Elektronik (Telekomunikasi), Diploma Kejuruteraan Elektronik (Kawalan) ditukar kepada Diploma Kejuruteraan Elektronik (Kawalan Automasi), Diploma Kejuruteraan Mekanikal (Plastik) ditukar kepada Diploma Kejuruteraan Mekanikal (Plastik Perindustrian), Diploma Kejuruteraan Mekanikal (Pembungkusan) ditukar kepada Diploma Kejuruteraan Mekanikal (Pembungkusan Perindustrian), Diploma Kejuruteraan Mekanikal (Loji) ditukar kepada Diploma Kejuruteraan Mekanikal (Loji Kuasa) dan Diploma Kejuruteraan Elektronik (Optoelektronik) ditukar kepada Diploma Kejuruteraan Elektronik.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi