Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKrisis tenaga pada hari ini bukan sekadar soal harga minyak, tetapi cerminan sesebuah negara dan masyarakat memahami realiti dunia yang semakin tidak menentu.
Dunia sedang berhadapan dengan tekanan global yang semakin mencabar. Lonjakan harga minyak mentah, ketegangan geopolitik di Asia Barat serta gangguan rantaian bekalan tenaga memberi kesan langsung kepada banyak negara, termasuklah Malaysia. Krisis ini tidak berlaku dalam ruang vakum, tetapi berkaitan rapat dengan konflik yang berlarutan, termasuklah tindakan agresif rejim Israel yang berterusan dengan dukungan kuasa besar Amerika Syarikat, yang telah memperluas konflik dan menggugat kestabilan serantau serta global.

Krisis ini juga merupakan krisis persepsi dan menuntut kefahaman yang lebih mendalam tentang hubungan antara realiti global dengan dasar domestik. Situasi yang berlaku di laluan strategik seperti Selat Hormuz atau di medan konflik serantau akhirnya memberikan kesan kepada harga dan kehidupan harian rakyat. Dalam dunia yang saling terhubung, tiada negara yang benar-benar terpisah daripada gegaran geopolitik. Lebih membimbangkan, ketidaktentuan semasa membuka ruang kepada pelbagai kemungkinan, termasuklah risiko krisis yang berpanjangan dengan implikasi yang lebih luas terhadap kestabilan ekonomi dan kesejahteraan rakyat sekiranya konflik terus berlarutan tanpa penyelesaian yang adil.
Dalam konteks ini, tindak balas sesebuah negara tidak boleh terbatas kepada dasar domestik semata-mata kerana turut bergantung pada keupayaan diplomasi tahap tinggi. Pendekatan yang sederhana, konsisten dan berprinsip menjadi penentu antara negara yang sekadar bertahan dan negara yang mampu mengurus krisis dengan lebih berkesan.
Malaysia turut memperlihatkan aspek diplomasi budiman kepimpinan negara memainkan peranan penting dalam memastikan kepentingan negara terus terpelihara. Komunikasi berterusan serta jaringan yang luas dengan pelbagai pimpinan utama dunia membantu meredakan tekanan dan memastikan kelangsungan laluan selamat kapal perdagangan tenaga dalam suasana ketegangan. Pendekatan sederhana yang berasaskan kepercayaan ini membuktikan bahawa diplomasi lunak masih relevan dalam dunia yang semakin kompleks.
Seiring dengan itu, rakyat yang mengikuti perkembangan semasa global dapat melihat reaksi kebanyakan negara lain yang mencetuskan tekanan dan risiko yang jauh lebih ketara. Lonjakan harga dan kos yang mendadak, kegelisahan pasaran serta ketidakstabilan bekalan menjadi realiti di beberapa buah negara. Dalam keadaan tertentu, harga bahan api meningkat jauh lebih tinggi mencetuskan situasi panik berbanding dengan situasi yang dialami di negara ini.
Perbandingan ini penting, bukan untuk menafikan terus kesukaran yang dihadapi rakyat Malaysia, tetapi untuk meletakkan perbahasan dan perbandingan dalam kerangka yang lebih adil dan berasaskan realiti semasa.
Pada peringkat nasional, langkah Kerajaan MADANI mengekalkan subsidi bahan api, walaupun menelan kos berbilion ringgit setiap bulan, merupakan satu ikhtiar besar untuk menampan kesan jangka pendek terhadap rakyat. Namun begitu, setiap keputusan seperti ini hadir dengan dilema antara melindungi rakyat hari ini dan mengelakkan beban yang lebih berat kepada generasi akan datang.
Dalam dunia yang kompleks, dasar yang baik bukan semestinya yang paling popular, tetapi yang paling adil dalam jangka panjang. Sehubungan itu, pendekatan bersasar yang lebih berasaskan data serta pengukuhan pemantauan dan penguatkuasaan bagi membezakan antara penggunaan sah dan ketirisan sebenar menjadi semakin penting bagi memastikan keadilan dasar dapat dicapai dengan lebih berkesan.
Dalam keadaan luar biasa, langkah-langkah luar kebiasaan juga wajar dipertimbangkan. Pengurangan aktiviti berskala besar, penangguhan sambutan besar-besaran Aidilfitri dalam bulan Syawal serta saranan pelaksanaan kaedah kerja yang lebih fleksibel seperti bekerja dari rumah (WFH) merupakan langkah praktikal untuk mengurangkan tekanan terhadap penggunaan tenaga dan mobiliti harian.
Situasi semasa juga menuntut perubahan sikap dalam kalangan masyarakat. Amalan berjimat, penghindaran pembaziran serta penghayatan nilai kesederhanaan dalam penggunaan sumber bukan lagi pilihan, tetapi keperluan yang perlu dibudayakan.
Lebih daripada itu, krisis ini memerlukan semua pihak untuk berjiwa besar dalam melihat kepentingan bersama mengatasi kepentingan sempit. Isu yang menyentuh kehidupan rakyat tidak wajar disempitkan dengan tafsiran murahan atau dimanipulasikan untuk keuntungan politik jangka pendek. Kematangan dalam berhadapan dengan krisis menuntut kewarasan, penumpuan terhadap angka, rekod dan fakta serta kesediaan untuk mencari jalan penyelesaian secara bersama melibatkan semua pemegang taruh.
Walau bagaimanapun, perlu diakui bahawa kesan dasar tidak dirasai secara seragam. Walaupun majoriti mungkin tidak terkesan secara langsung, terdapat kelompok tertentu yang lebih terdedah kepada tekanan kos termasuklah sektor logistik, perusahaan kecil, pekerja mobiliti tinggi serta golongan yang tinggal di pinggir bandar.
Di sinilah cabaran sebenar dasar awam Kerajaan MADANI. Bagaimanakah untuk melindungi majoriti tanpa mengabaikan kelompok yang memainkan peranan penting dalam menggerakkan ekonomi? Walau bagaimanapun, keberkesanan dasar ini tidak hanya terletak pada pelaksanaannya, tetapi juga pada keupayaan kerajaan untuk berkomunikasi secara telus dan meyakinkan kerana tanpa kefahaman yang jelas, dasar yang baik sekalipun boleh disalah tafsir dan ditolak oleh rakyat.
Justeru, keadilan tidak boleh diukur semata-mata melalui angka majoriti terbanyak. Dalam banyak keadaan, dasar yang kelihatan adil pada permukaan boleh memberikan kesan yang tidak seimbang kepada kelompok tertentu. Apabila kelompok ini terkesan, kesannya akan mengalir ke seluruh rantaian ekonomi melalui peningkatan kos perkhidmatan dan harga barangan.
Dalam konteks yang lain, terdapat kecenderungan untuk mengaitkan isu tenaga dengan naratif yang tidak tepat, seolah-olah Malaysia kehilangan sumbernya sendiri atau berupaya mengawal sepenuhnya harga domestik hanya kerana status sebagai negara pengeluar minyak. Pada hakikatnya, industri tenaga negara beroperasi dalam ekosistem global yang kompleks, melibatkan eksport dan import secara serentak. Pada masa yang sama, negara turut berhadapan dengan realiti bahawa permintaan domestik terhadap produk petroleum tertentu melebihi kapasiti pengeluaran dan penapisan tempatan.
Tanpa kefahaman ini, wacana awam mudah dipengaruhi oleh persepsi yang meyakinkan tetapi tidak semestinya benar.
Krisis ini juga menuntut kejujuran dalam naratif kepimpinan. Janji dan retorik masa lalu akan sentiasa diuji oleh realiti semasa. Kepimpinan yang berwibawa bukan sahaja berani membuat keputusan sukar, tetapi juga jujur dalam menjelaskan batas dan kekangan kepada rakyat.
Pada masa yang sama, kritikan perlu diraikan sebagai sebahagian daripada elemen semak dan imbang dalam sebuah negara demokratik dan mesti berasaskan fakta dan disampaikan dengan tanggungjawab, bukan digerakkan oleh emosi atau persepsi semata-mata.
Krisis ini memperlihatkan bahawa dalam saat genting, pendekatan yang simplistik dan reaktif bukan sahaja tidak membantu, malah berisiko mengeruhkan lagi keadaan.
Pada akhirnya, krisis ini merupakan ujian kita bersama.Ujian kepada kepimpinan untuk berlaku adil dalam membuat keputusan yang sukar. Ujian kepada masyarakat untuk berhemah dalam menilai dan tidak terperangkap dalam kefahaman yang cetek, serta ujian kepada wacana awam untuk bergerak daripada reaksi kepada pemahaman.
Dalam menghadapi ribut global ini, negara ibarat sebuah payung yang berfungsi untuk melindungi, tetapi kekuatannya tidak terletak pada struktur semata-mata, sebaliknya pada sejauh mana semua pihak memeliharanya dalam menjalankan tanggungjawab bersama. Tanpa kefahaman yang jernih, jiwa yang besar serta kesediaan untuk berubah, kita bukan sahaja berisiko merobek payung itu sendiri, tetapi berisiko kehilangan perlindungan ketika ribut masih belum reda.
Penulis, Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)