Diterbitkan pada 31 Mac 2026, 11:31

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Pengumuman pihak kerajaan mengenai pengenalan komponen baharu dalam kurikulum persekolahan seperti Pendidikan Karakter dalam setiap mata pelajaran yang bermula pada tahun 2026 merupakan satu usaha yang terpuji dan berpandangan jauh. Usaha ini jelas menunjukkan kesungguhan negara untuk melahirkan generasi yang bukan sahaja cemerlang dari segi akademik, malah turut menyerlah dari segi nilai moral dan sahsiah diri.

Namun begitu, dalam kesungguhan kita membentuk insan yang beretika dan berakhlak mulia, saya ingin mengutarakan satu cadangan untuk dipertimbangkan sebagai pelengkap kepada usaha tersebut. Cadangan saya ialah memperkenalkan mata pelajaran asas perundangan pada peringkat sekolah menengah.

Sebagai pelajar tahun akhir sarjana muda dalam bidang undang-undang, saya tidak dapat menafikan betapa luas dan kompleksnya sistem perundangan yang menjadi tunjang kepada kelestarian sesebuah negara. Cadangan ini muncul dalam fikiran saya kerana sebahagian daripada masyarakat kita masih tidak memiliki pengetahuan asas tentang hak dan tanggungjawab mereka sebagai warganegara. Misalnya, kebanyakan rakyat keliru antara undang-undang sivil dengan jenayah.

Selain itu, banyak rakyat tidak mengetahui peranan institusi kehakiman dalam mengekalkan keseimbangan sistem pemerintahan negara. Pada hemat saya, kelompongan ini berpunca daripada ketiadaan pendedahan awal tentang perundangan dalam sistem pendidikan kebangsaan.

Sewajarnya, setiap warga Malaysia sekurang-kurangnya perlu mengetahui dan memahami undang-undang tertinggi yang menjadi asas kepada semua undang-undang lain dalam negara ini, iaitu Perlembagaan Persekutuan. Undang-undang bertulis ini merupakan dokumen agung yang menjadi tunjang kepada sistem pemerintahan, hak asasi dan tanggungjawab setiap rakyat Malaysia.

Walau bagaimanapun, masih banyak dalam kalangan masyarakat yang tidak pernah menyentuh dan membaca undang-undang tersebut, apatah lagi memahami kandungannya meskipun undang-undang tersebut memberikan kesan secara langsung dalam kehidupan seharian kita sebagai warganegara.

Antara hak yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan yang wajar difahami oleh setiap rakyat termasuklah:

  1. Hak kesamarataan di sisi undang-undang – Perkara 8 memperuntukkan bahawa semua orang hendaklah mendapat layanan dan perlindungan yang sama rata di sisi undang-undang.
  2. Kebebasan bersuara, berhimpun dan berpersatuan – Perkara 10 memberikan jaminan bahawa setiap rakyat Malaysia mempunyai hak untuk menyuarakan pendapat, menyertai perhimpunan aman, dan membentuk persatuan.
  3. Hak kepada pendidikan – Perkara 12 menegaskan bahawa tiada diskriminasi dalam hal pendidikan dan setiap individu berhak menerima pendidikan mengikut syarat yang ditetapkan.
  4. Kebebasan beragama – Perkara 11 menjamin hak setiap individu untuk menganut dan mengamalkan agamanya secara aman dan bebas.
  5. Hak terhadap pelindungan harta – Perkara 13 memperuntukkan bahawa tiada seorang pun boleh dilucutkan hartanya kecuali mengikut undang-undang, dan pampasan yang adil perlu diberikan jika hartanya diambil.

Undang-undang ini hanya membentuk sebahagian kecil daripada hak yang dijamin oleh perlembagaan. Sekiranya setiap rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang pendidikan dapat memahami hak ini dengan jelas, tentulah masyarakat kita akan menjadi lebih berdaya saing, celik undang-undang dan sukar dimanipulasikan oleh maklumat palsu, ketidakadilan, serta salah guna kuasa.

Saya sendiri berpeluang menyertai Program Celik Undang-undang di sebuah kawasan FELDA di negeri selatan tanah air. Program ini dikelola oleh Student Community Law Club (SCLC) di bawah fakulti pengajian saya yang aktif menjayakan aktiviti kesukarelawanan dan kesedaran undang-undang.

Semasa sesi interaktif bersama-sama dengan sekumpulan remaja yang menetap di FELDA tersebut, saya mendapati bahawa kebanyakan remaja masih tidak kenal akan Perlembagaan Persekutuan. Malahan, mereka tidak pernah didedahkan secara khusus kepada dokumen itu yang menjadi asas kepada semua undang-undang di negara kita.

Apabila ditanya, sebilangan daripada mereka hanya menjawab bahawa mereka pernah mendengar tentang undang-undang itu semasa mempelajari mata pelajaran Sejarah. Namun begitu, pengetahuan mereka tentang undang-undang ini terhad kepada kisah penubuhan Suruhanjaya Reid, tanpa benar-benar memahami konteks dan kepentingan perlembagaan dalam kehidupan seharian mereka sebagai rakyat Malaysia.

Pengalaman ini membuktikan bahawa terdapat jurang pengetahuan asas undang-undang yang ketara dalam kalangan masyarakat kita. Hal ini menjadi tamparan besar kepada negara bahawa kita tidak boleh bergantung semata-mata pada sukatan mata pelajaran Sejarah sahaja untuk membina kefahaman tentang kenegaraan yang kukuh.

Oleh itu, terdapat keperluan yang mendesak untuk memberikan pendekatan yang lebih praktikal dan mudah difahami bagi membicarakan hal undang-undang dan perlembagaan kepada golongan muda, terutamanya komuniti masyarakat yang berada di luar bandar.

Walaupun pada zaman ini, semua maklumat dapat diperoleh di hujung jari melalui jaringan Internet, pendedahan awal tetap perlu diberikan kerana tanpa pendedahan ini, masyarakat tidak akan terfikir untuk membuat carian tentang undang-undang sebagai bahan bacaan pada waktu senggang.

Sesungguhnya saya menaruh harapan yang tinggi agar suatu hari nanti, kefahaman terhadap asas perundangan tidak menjadi perkara asing lagi dalam kalangan rakyat Malaysia. Biarlah generasi yang akan datang membesar dengan ilmu tentang hak mereka sebagai warganegara di samping mengetahui perbezaan antara keadilan dengan penindasan. Hal ini bagi mengelakkan mereka terpengaruh dengan maklumat yang menyesatkan.

Semoga cadangan ini menjadi pencetus kepada perubahan besar dalam cara kita mendidik dan membina masyarakat yang benar-benar berprinsip, berdaya fikir dan bermaruah.

Arif Haiqal Roslan, Fakulti Undang-undang, UiTM Shah Alam.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi