Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangGema takbir Aidilfitri yang berkumandang menandakan kemenangan setelah sebulan mengharungi madrasah Ramadan serta merupakan manifestasi pengukuhan ukhuwah dalam silaturahim masyarakat.
Namun begitu, terselit satu realiti yang sering kali terlepas daripada radar perbincangan perdana, iaitu cabaran pengurusan kewangan dalam kalangan mahasiswa. Aidilfitri juga merupakan ujian daya tahan ekonomi dan kebijaksanaan mahasiswa mengurus sumber yang terbatas.
Majoriti mahasiswa pada hari ini bergerak berdasarkan rantaian kewangan yang tipis, ada yang bergantung sepenuhnya kepada pinjaman pendidikan seperti Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), biasiswa, mahupun bantuan kewangan daripada keluarga.
Tanpa literasi kewangan yang ampuh, kegembiraan menyambut Syawal boleh bertukar menjadi “trauma kewangan” yang menghimpit kehidupan mereka di kampus selepas cuti berakhir.
Pada era digital yang serba pantas, cabaran utama mahasiswa bukan hanya disebabkan oleh kenaikan harga barang, tetapi serangan psikologi melalui media sosial. Budaya Fear of Missing Out (FOMO) atau perasaan takut atau cemas ketinggalan trend, aktiviti atau maklumat terkini yang menyeronokkan, telah mencengkam jiwa anak muda pada hari ini.
Ada mahasiswa yang terperangkap dalam budaya konsumerisme dan FOMO, kesan daripada terpengaruh dengan aktiviti pemasaran yang agresif dan algoritma media sosial yang memaparkan iklan secara bertubi-tubi, menjebakkan mahasiswa ke dalam kancah perbelanjaan impulsif.
Dari sudut kewangan mikro pelajar, mahasiswa sering kali terperangkap dalam “inflasi gaya hidup”. Keinginan untuk menyamakan taraf sambutan rakan sebaya menyebabkan mereka gagal membezakan antara keperluan (needs) dengan kehendak (wants).
Dalam konteks ekonomi pelajar, setiap ringgit mempunyai nilai utiliti yang sangat tinggi. Kegagalan mengurus aliran tunai bermakna mereka terpaksa mencatu makanan serta termasuk dalam kitaran “miskin pasca-Raya”.
Kepentingan Literasi Kewangan Berterusan
Menyentuh aspek ini, pandangan Dekan Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Dr. Mohamad Fazli Sabri, amat relevan untuk dijadikan sandaran.
Beliau menegaskan bahawa literasi kewangan tidak seharusnya kekal sebagai teori di dewan kuliah semata-mata, sebaliknya perlu dizahirkan melalui amalan pengurusan yang sistematik dan berterusan. Literasi ini merangkumi tiga elemen utama, iaitu perancangan, pemantauan dan penilaian semula.
Mahasiswa perlu mempunyai “kecerdasan kewangan” untuk menolak godaan berbelanja melebihi kemampuan. Penyediaan belanjawan yang terperinci serta amalan menabung secara konsisten sebelum musim perayaan mampu menjadi penampan (buffer) terhadap sebarang perbelanjaan luar jangka.
Melalui perancangan yang rapi, mahasiswa dapat memastikan bahawa sambutan Hari Raya Aidilfitri tidak akan menjadi punca kepada kemelut hutang atau masalah kewangan yang lebih kompleks pada masa hadapan.
Membina Tabiat Positif untuk Masa Hadapan
Memantau keupayaan serta mengawal nafsu berbelanja merupakan indikator kematangan seseorang individu. Pengurusan kewangan yang berhemah bukan sahaja tentang angka di atas kertas, tetapi tentang pembentukan disiplin diri dan integriti peribadi.
Kita tidak mahu melihat generasi intelektual kecundang dalam kancah hutang seawal usia 20-an hanya kerana kegagalan mengurus emosi semasa musim perayaan.
Oleh itu, institusi pengajian tinggi dan organisasi berkaitan juga boleh memainkan peranan aktif untuk menyuntik kesedaran ini. Kempen kesedaran kewangan menjelang musim perayaan perlu dipergiat untuk mengingatkan mahasiswa tentang risiko pembaziran perbelanjaan.
Tuntasnya, sambutan Hari Raya Aidilfitri seharusnya disambut dengan penuh kesyukuran dan kesederhanaan. Pelajar yang memiliki literasi kewangan yang tinggi akan mampu mengimbangi antara tuntutan tradisi dengan realiti kemampuan ekonomi mereka.
Marilah kita jadikan Aidilfitri pada kali ini sebagai titik tolak untuk membina tabiat pengurusan kewangan yang lebih mampan. Biarlah baju yang dipakai itu sederhana, asalkan akaun bank dan masa hadapan akademik kekal terjaga.
Melalui pendekatan yang lebih matang, mahasiswa bukan sahaja dapat meraih pahala ibadah, malah berjaya membuktikan bahawa mereka merupakan generasi yang celik wang dan bijak mengemudi masa hadapan.