Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangEra pascapandemik bukan sahaja meninggalkan kesan terhadap sistem kesihatan global, malah telah membuka kotak mengenai betapa rapuhnya ketahanan tenaga dunia. Dalam mendepani tahun 2026 yang penuh dengan ketidaktentuan bekalan bahan api fosil dan lonjakan tarif elektrik dunia, sektor pendidikan Malaysia merangkumi institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan sekolah, kini berdiri sebagai benteng hadapan dalam eksperimen kelestarian nasional. Persoalan besar yang timbul bukan lagi sekadar “bolehkah kita bekerja dari rumah?”, tetapi “sejauh manakah bekerja dari rumah (BDR) mampu menjadi strategi nasional dalam mengurus krisis tenaga global?”
Baru-baru ini, Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim dalam satu amanat mengenai Kelestarian Ekonomi Negara menegaskan bahawa Malaysia tidak boleh lagi bergantung kepada model operasi tradisional yang bersifat “business as usual”. Beliau menyatakan:
Kita perlu beralih daripada budaya penggunaan yang membazir kepada budaya kecekapan yang pintar. Sektor awam, terutamanya institusi pendidikan, harus menjadi pelopor dalam penggunaan teknologi bagi mengurangkan jejak karbon negara. Jika teknologi membolehkan kita beroperasi dengan impak tenaga yang rendah tanpa menjejaskan produktiviti, maka itulah jalan ke hadapan yang kita pilih.
Transformasi Digital IPTA: Lubuk Penjimatan Skala Besar
IPTA dalam konteks ini merupakan gergasi yang menyimpan potensi penjimatan tenaga yang amat signifikan. Sebuah kampus universiti bukan sekadar blok pejabatn namun merupakan sebuah “bandar kecil” yang menempatkan dewan kuliah, asrama, pusat data dan makmal penyelidikan yang beroperasi hampir 24 jam. Intensiti penggunaan tenaga di sini amat luar biasa. Oleh itu, langkah memperkenalkan BDR bagi kakitangan akademik dan pentadbiran, serta model pembelajaran hibrid bagi pelajar, merupakan satu transformasi yang amat dialu-alukan.
Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abdul Kadir dalam satu sesi dialog akademik turut menyokong anjakan ini. Menurut beliau:
Kementerian melihat bahawa fleksibiliti pada peringkat IPTA merupakan kunci kepada daya saing masa hadapan. Dengan mengurangkan keperluan kehadiran fizikal untuk kuliah teori, kita bukan sahaja menjimatkan kos operasi elektrik di kampus yang mencecah jutaan ringgit, malah kita membantu mengurangkan beban mobiliti nasional. Ini adalah sumbangan besar sektor pengajian tinggi terhadap agenda tenaga hijau negara.
Apabila kuliah dijalankan secara dalam talian, universiti dapat melakukan “zonasi tenaga” (energy zoning), di mana bangunan yang tidak digunakan boleh dipadamkan sistem penyaman udara dan pencahayaannya secara berpusat. Namun begitu, penjimatan ini bukan bermakna universiti ditutup sepenuhnya. Kemudahan kritikal seperti makmal berteknologi tinggi dan pusat data tetap beroperasi, tetapi dengan beban yang lebih terkawal. Strategi ini bukan sekadar menjimatkan petrol buat pensyarah, tetapi merupakan langkah “demand-side management” yang mampu mengurangkan beban grid nasional pada waktu puncak.
Kestabilan Fizikal Sekolah: Kepentingan Modal Insan
Namun begitu, naratif yang berbeza perlu diterapkan kepada institusi sekolah. Berbeza dengan IPTA yang mempunyai pelajar dewasa dan matang, sekolah rendah dan menengah merupakan makmal pembentukan sahsiah manusia. Di sini, bekerja dari rumah atau pembelajaran di rumah (PdPR) mempunyai had yang sangat nyata. Walaupun secara teknikalnya sekolah menggunakan tenaga yang jauh lebih rendah berbanding dengan universiti, namun disebabkan operasinya terhad kepada waktu siang, dan peralatan teknologi yang tidak begitu kompleks seperti makmal universiti, maka kos “sosial” akibat penutupannya adalah terlalu tinggi.
Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek dalam satu kenyataan media menegaskan bahawa sekolah mesti kekal sebagai hab interaksi fizikal utama. Beliau berkata:
Kita tidak boleh berkompromi dalam aspek pembangunan karakter murid. Sekolah bukan sekadar tempat menghabiskan sukatan pelajaran, tetapi tempat menyemai disiplin dan nilai murni. Walaupun kita menyokong kecekapan tenaga, keutamaan kita pada peringkat sekolah adalah memastikan setiap anak bangsa mendapat bimbingan bersemuka. Fokus kita sekarang adalah menjadikan bangunan sekolah lebih cekap tenaga, bukan mengosongkannya.
Keperluan sekolah untuk kekal beroperasi secara fizikal adalah kritikal bagi mengelakkan berlakunya jurang pembelajaran, terutamanya di kawasan luar bandar yang masih berdepan dengan cabaran infrastruktur digital. Di sekolah, strategi yang lebih tepat bukanlah BDR secara total, sebaliknya adalah modenisasi fasiliti. Penggunaan lampu LED, panel solar di bumbung sekolah, dan sistem pengudaraan semula jadi merupakan jawapan kepada krisis tenaga tanpa perlu mengorbankan kualiti pendidikan.
Sinergi Operasi Pintar: Menghubung Sektor Awam dan Sektor Swasta
Krisis tenaga global ini juga menuntut sinergi yang lebih erat antara IPTA dengan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS). IPTS selalunya lebih lincah dalam mengadaptasi teknologi bagi mengurangkan kos operasi. Namun begitu, IPTA yang merupakan institusi milik rakyat perlu menjadi penanda aras bagi pengurusan sumber yang mampan. Bekerja dari rumah di IPTA perlu dilihat sebagai satu bentuk “kerja pintar” (smart working). Keadaan ini membolehkan perkongsian sumber dilakukan secara maya, mengurangkan keperluan pembinaan bangunan tambahan yang hanya akan menambah beban tenaga jangka panjang.
Melalui koordinasi yang strategik, kerajaan boleh memperkenalkan insentif bagi institusi pendidikan yang berjaya mencapai sasaran “net-zero”. Hal ini termasuklah menggalakkan penggunaan sistem automasi bangunan (Building Automation System) yang mampu memantau penggunaan elektrik secara data masa nyata (real time). Dengan data yang tepat, keputusan untuk melaksanakan BDR pada hari-hari tertentu boleh dilaksanakan berdasarkan ramalan beban tenaga, sekali gus menjadikan sektor pendidikan sebagai sektor yang paling responsif terhadap krisis sumber.
Peneraju Kelestarian Negara: Melampaui Isu Petrol
Kita perlu membetulkan persepsi bahawa BDR hanyalah tentang menjimatkan kos petrol individu atau mengelak kesesakan jalan raya. Dalam konteks yang lebih besar, keadaan ini merupakan daya tahan nasional (national resilience). Apabila bekalan tenaga dunia tergugat, sesebuah negara yang mempunyai sistem kerja yang fleksibel dan efisien akan lebih mudah bertahan.
Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim telah berkali-kali mengingatkan bahawa:
Malaysia MADANI menuntut kita menjadi rakyat yang berfikir secara strategik. Setiap kilowatt elektrik yang kita jimatkan di pejabat atau di kampus merupakan pelaburan untuk masa hadapan cucu-cicit kita. Pendidikan harus menjadi contoh utama bagaimana kita menggunakan akal dan teknologi untuk mengatasi kekangan sumber.
Dengan menjadikan BDR sebagai satu daripada instrumen pengurusan tenaga di IPTA, kita sebenarnya sedang melatih tenaga kerja masa hadapan para pelajar untuk bekerja dalam ekosistem digital yang cekap, manakala dengan mengekalkan sekolah sebagai institusi fizikal yang cekap tenaga, kita memastikan asas pembangunan negara tidak goyah.
Menuju Masa Hadapan Hijau
Kesimpulannya, langkah mengimbangi antara keperluan BDR di IPTA dengan kestabilan fizikal di sekolah merupakan manifestasi kematangan tadbir urus negara. Kita tidak boleh memadamkan terus lampu di menara gading atau menutup pintu-pintu bilik darjah. Sebaliknya, kita harus mengurus “cahaya” tersebut dengan lebih bijak.
Transformasi ini memerlukan pengorbanan dan perubahan minda daripada semua pihak. Pensyarah, guru, pelajar dan ibu bapa perlu melihat bahawa keberkesanan pendidikan tidak lagi diukur pada jumlah jam kita berada di bawah bumbung bangunan, tetapi pada kualiti ilmu yang disampaikan dan impak positif yang kita tinggalkan kepada alam sekitar.
Melalui integrasi dasar yang disuarakan oleh pucuk pimpinan negara, sektor pendidikan Malaysia mampu membuktikan kepada dunia bahawa krisis tenaga bukanlah penghalang, sebaliknya merupakan jambatan menuju masa hadapan yang lebih hijau, mampan dan kompetitif. Akhirnya, pendidikan yang lestari bukan sahaja melahirkan insan yang bijaksana, tetapi juga rakyat yang bertanggungjawab terhadap kelestarian bumi yang kita kongsi bersama.