Diterbitkan pada 15 April 2026, 08:01

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Setiap kali keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) diumumkan, ibu bapa, penjaga dan calon peperiksaan akan berada dalam suasana penuh debaran. Media arus perdana juga tidak terkecuali. Kebiasaannya pada hari tersebut, editor dan wartawan sudah bersedia untuk membuat liputan di sekolah-sekolah terpilih dengan senarai soalan yang sama pada setiap tahun. Tujuan liputan hanya untuk memaparkan kejayaan sekolah dan murid-murid yang menerima keputusan cemerlang dengan deretan ‘A’, lengkap dengan gambar wajah ceria dan kata-kata inspirasi. Dalam media sosial pula, ibu bapa sudah bersedia untuk berkongsi pencapaian anak-anak mereka sebagai tanda bangga dan syukur.

Tidak salah untuk melakukan semua itu.  Kejayaan anak-anak merupakan sesuatu yang positif dan wajar diraikan sebagai tanda sokongan dan galakan agar mereka akan terus berusaha untuk mencapai kejayaan yang lebih cemerlang pada masa hadapan.

Namun begitu, dalam keghairahan meraikan kecemerlangan, pernahkah kita berfikir tentang nasib dan perasaan mereka yang tidak memperoleh keputusan seperti yang diharapkan? Di sebalik sorotan kisah kejayaan, terdapat juga ribuan pelajar lain yang berdepan dengan kekecewaan kerana menerima keputusan yang mengecewakan. Ada yang menatap slip keputusan dengan hati yang hancur apabila segala usaha mereka selama ini tidak membuahkan hasil. Lebih mendukacitakan, ada pelajar yang gagal dalam beberapa mata pelajaran penting, sekali gus menimbulkan perasaan bimbang terhadap masa hadapan mereka yang dirasakan semakin kabur.

Tekanan daripada masyarakat sekitar juga sering kali mengganggu perasaan pelajar. Mereka cenderung menjadikan keputusan peperiksaan pelajar sebagai ukuran utama kecerdasan dan potensi seseorang.  Pelajar yang cemerlang dipuji dan diangkat sebagai contoh atau suri teladan, manakala mereka yang kurang berjaya sering dipandang sepi, atau lebih teruk lagi, dipandang rendah dan disisihkan.

Membandingkan keputusan anak dengan anak jiran, adik-beradik atau rakan sekerja yang lain menjadi budaya yang tidak sihat. Bercerita tentang kejayaan anak sebagai pembuka bicara  juga akan memburukkan lagi keadaan. Apabila deretan ‘A’ menjadi ukuran kejayaan, maka terhapuslah nilai kemanusiaan dalam diri seorang manusia.

Bagi pelajar yang tidak memperoleh keputusan yang cemerlang, situasi ini boleh memberikan kesan yang mendalam terhadap emosi dan keyakinan diri mereka.  Pelajar mungkin berasa malu untuk berhadapan dengan keluarga, jiran dan rakan-rakan. Ada yang memilih untuk menyendiri. Tidak kurang juga yang menjauhkan diri daripada interaksi sosial kerana bimbang dihakimi. Kegagalan ini juga boleh mengakibatkan tekanan mental dan kebimbangan melampau sehingga hilang kepercayaan terhadap diri sendiri. Yang lebih membimbangkan, ada pelajar yang mula berasa hilang arah dan tujuan hidup. Hakikatnya, tidak semua pelajar berada pada situasi yang sama. Ada yang berdepan dengan kesempitan hidup, masalah keluarga, kesihatan mental atau kekurangan akses kepada sumber pembelajaran.

Dalam keadaan sedemikian, usaha yang mereka curahkan mungkin jauh lebih sukar berbanding dengan pelajar yang berada dalam persekitaran yang lebih selesa.  Oleh itu, tidak adil jika penilaian yang diberikan hanya tertumpu pada deretan ‘A’ semata-mata. Kisah perjuangan kental ini jarang mendapat liputan dalam media arus perdana. Hal ini dikatakan demikian kerana masyarakat tidak berminat untuk membaca kisah suka duka pelajar yang bangkit daripada kegagalan dan terus berusaha walaupun berulang kali gagal.

Tajuk utama akhbar hanya tentang kejayaan cemerlang dan deretan ‘A’.  Tiada langsung cerita tentang ketabahan pelajar yang gagal kerana kekangan ekonomi dan mereka yang kurang menerima perhatian. Tiada temu bual khas yang mengangkat kisah mereka sebagai inspirasi. Sedangkan dalam kehidupan sebenar, kegagalan sering kali membuka jalan baharu kepada kepada kejayaan yang lebih besar.

Masyarakat perlu mengubah perspektif dalam membuat penilaian tentang kejayaan.  Kecemerlangan akademik memang penting, namun bukanlah satu-satunya ukuran kejayaan. Dunia pekerjaan pada hari ini menawarkan pelbagai pilihan laluan seperti pendidikan teknikal dan vokasional, kemahiran keusahawanan, serta pelbagai bidang kreatif yang melangkaui pencapaian akademik semata-mata. Kegagalan dalam peperiksaan bukanlah pengakhiran, sebaliknya satu permulaan perjalanan yang membuka peluang baharu.

Peranan ibu bapa juga amat penting dalam situasi ini.  Sokongan dan penerimaan tanpa syarat daripada keluarga mampu menjadi benteng utama bagi pelajar yang sedang berdepan dengan kekecewaan. Ibu bapa seharusnya menjadi pendengar yang baik, memahami emosi anak dan membantu mereka merancang langkah seterusnya. Berilah mereka kata-kata semangat agar mereka dapat memulakan langkah baharu.

Pihak sekolah dan media juga memainkan peranan dalam membentuk naratif yang lebih seimbang dan adil. Selain membuat liputan tentang kejayaan, kisah ketabahan dan kebangkitan daripada kegagalan juga wajar dipaparkan. Masyarakat pula harus belajar untuk menjadi lebih memahami. Setiap individu mempunyai cerita dan cabaran tersendiri. Dalam kegembiraan meraikan kejayaan, janganlah kita lupa untuk menghulurkan sokongan kepada mereka yang sedang berduka. Kadangkala, satu kata-kata semangat atau nasihat yang ikhlas sudah cukup untuk memujuk jiwa yang luka dan memberikan sinar harapan.

Keputusan SPM hanyalah satu daripada banyak episod dalam perjalanan hidup seseorang.  Keputusan ini bukanlah penentu mutlak masa hadapan, apatah lagi ukuran sebenar nilai diri. Binalah budaya yang lebih inklusif dan seimbang. Jangan hanya meraikan kejayaan semata-mata, tetapi hargailah setiap usaha, fahamilah kegagalan dan berilah ruang untuk setiap individu bangkit semula.

Perjalanan kehidupan seseorang tidak bermula pada garis yang sama. Hujung perjalanan pula sering kali berakhir pada destinasi yang berbeza. Yang penting bukan titik mula, tetapi bagaimana seseorang memilih untuk meneruskan langkahnya sehingga ke titik akhir. Dalam kehidupan, bukan semua orang akan memperoleh deretan ‘A’, namun setiap usaha pasti ada imbuhannya.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi