Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Rakyat sentiasa memerhati setiap tindakan pasukan keselamatan kerana setiap keputusan yang diambil memberikan impak besar terhadap keyakinan masyarakat. Pengorbanan dan dedikasi pasukan keselamatan menjadi benteng utama negara dalam memastikan Malaysia kekal damai, stabil dan sejahtera.
“Tanpa komitmen tinggi daripada mereka, keamanan dan ketenteraman yang kita nikmati hari ini sukar untuk dipertahankan. Oleh itu, dalam memberikan perkhidmatan, sifat sabar, tenang, jujur dan ikhlas mesti sentiasa diutamakan.”
Demikian titah Raja Muda Perlis, DYTM Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, selepas berkenan berangkat mengadakan lawatan ke Defence Services Asia (DSA) 2026 yang berlangsung di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur.
Keberangkatan baginda yang juga merangkap Komander Rejimen 504 Askar Wataniah Tentera Darat Malaysia mencerminkan komitmen berterusan dalam menyokong pembangunan sektor pertahanan negara, khususnya dalam memperkasa inovasi teknologi, merangsang pertumbuhan industri tempatan serta memperkukuh jaringan strategik di peringkat antarabangsa
Kunjungan DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ini merupakan ruang bagi meneliti perkembangan terkini dalam teknologi pertahanan moden, termasuk sistem persenjataan, mobiliti taktikal, dan penyelesaian keselamatan bersepadu yang semakin dinamik.
Sepanjang lawatan tersebut, Tuanku Raja Muda turut berkenan untuk melawat pameran dari pelbagai pempamer utama dunia, antaranya Reunert Electronics, Rosoboronexport, Colt CZ, FN Herstal, Heckler & Koch, Steyr Arms, Weststar, Mal Tech serta Caracal selain Pavilion Turkiye dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).


Edisi ke-19 Defence Services Asia (DSA) 2026 yang berlangsung dari 20 hingga 23 April 2026 ini diadakan serentak dengan National Security Asia (NATSEC) 2026 yang menghimpunkan penggiat industri pertahanan dan keselamatan dari seluruh dunia dalam satu platform berprestij.
Penganjuran kali ini merupakan yang terbesar dalam sejarah, dengan penyertaan sebanyak 1,456 syarikat dari 63 buah negara.
Skala penyertaan ini bukan sahaja menegaskan kedudukan Malaysia sebagai hab strategik industri pertahanan di rantau ini, malah membuka ruang luas kepada pemindahan teknologi, pengukuhan kerjasama antarabangsa serta pembangunan kapasiti tempatan yang lebih mampan dan berdaya saing.
DSA 2026 turut menjadi pemangkin penting dalam memperkukuh ekosistem pertahanan negara, selari dengan aspirasi Malaysia untuk terus ke hadapan sebagai negara yang inovatif, berdaya tahan dan bersedia mendepani cabaran keselamatan global pada masa hadapan.