Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) membuka permohonan Opsyen Pinjaman Boleh Ubah Berasaskan Merit Akademik (PBU Akademik) Fasa Kedua bermula 1 Julai hingga 31 Ogos 2026, melibatkan lebih 59,000 bekas pelajar tajaan JPA yang telah menamatkan pengajian pada atau sebelum 31 Disember 2024.
PBU Akademik merupakan model penajaan baharu yang diperkenalkan pada 1 Jun 2025, bertujuan menentukan kadar bayaran balik pinjaman berdasarkan pencapaian akademik pelajar. Pendekatan ini beralih daripada kaedah sebelum ini yang menilai bayaran balik berdasarkan tempat berkhidmat graduan tajaan JPA.
Menurut kenyataan media oleh pihak JPA, sehingga kini, lebih 11,000 pelajar baharu telah menerima penajaan di bawah model PBU Akademik, manakala lebih 23,000 pelajar sedia ada di bawah model Pinjaman Boleh Ubah Berasaskan Merit Tempat Berkhidmat (PBU 2016) telah menyertai Opsyen Fasa Pertama yang dilaksanakan dari Januari hingga Mac 2026.
Pelaksanaan Fasa Kedua ini dijangka memperluas manfaat kepada lebih banyak bekas pelajar tajaan JPA yang memenuhi syarat kelayakan.
Menurut pihak JPA, antara syarat utama kelayakan termasuk pelajar yang menamatkan pengajian pada atau sebelum 31 Disember 2024, tidak mempunyai tunggakan bayaran balik pinjaman atau Elaun Terlebih Bayar (ETB), serta masih berada dalam tempoh ikatan kontrak berkhidmat dengan kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) atau sektor swasta.
Sementara itu, bagi pelajar yang mempunyai tunggakan, permohonan hanya boleh dibuat selepas semua bayaran diselesaikan.
Selain itu, opsyen ini juga tidak ditawarkan kepada pelajar yang ditamatkan penajaan kerana melanggar syarat perjanjian PBU 2016, telah menyelesaikan sepenuhnya bayaran balik pinjaman atau ikatan kontrak, atau gagal melengkapkan penajaan sehingga peringkat Ijazah Pertama.
Pelajar yang layak perlu mengemas kini maklumat perhubungan melalui Portal Malaysian Student Engagement Online Feed (MySELF) sebelum mengemukakan permohonan dalam tempoh yang ditetapkan.
Dokumen perjanjian pula hendaklah ditandatangani secara dalam talian melalui sistem ePROMISE, diikuti bayaran duti setem menerusi sistem MyTAX Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) dalam tempoh 30 hari selepas ditandatangani.
Pihak JPA turut memaklumkan bahawa sebarang bayaran balik pinjaman di bawah PBU 2016 yang telah dibuat sebelum pelaksanaan opsyen ini tidak akan dipulangkan.
Sehubungan dengan itu, bekas pelajar tajaan JPA yang memenuhi syarat disaran menyemak status kelayakan masing-masing serta mengemukakan permohonan melalui Portal MySELF sebelum tarikh tutup.
Maklumat lanjut boleh diperoleh melalui Portal Penajaan JPA di https://penajaan.jpa.gov.my, e-mel [email protected], atau Pusat Panggilan Kerajaan Malaysia (MyGCC) di talian 03-8000 8000.