Diterbitkan pada 2 Julai 2026, 16:03

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Padang Besar – Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), YBhg. Datuk Ruslin Jusoh menegaskan bahawa usaha membanteras penyalahgunaan dadah bukanlah tanggungjawab AADK semata-mata, sebaliknya memerlukan pelibatan serta komitmen semua pihak.

“Fokus AADK adalah untuk memastikan setiap individu memainkan peranan masing-masing. Institusi keluarga merupakan benteng utama bagi membentuk masyarakat yang bebas daripada bahaya dadah, diikuti komuniti, serta semua agensi kerajaan yang perlu berganding bahu membendung gejala ini.”

Demikian ucapan beliau yang dipersembahkan kepada Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dalam Program Kayuhan Berinformasi bersempena dengan Jelajah Aspirasi Bebas Dadah (JABD) anjuran Agensi Antidadah Kebangsaan Negeri Perlis di sekitar Felda Mata Air, Padang Besar.

Berangkat bersama-sama dengan baginda ke program yang dilaksanakan dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) itu ialah anakanda baginda, iaitu Waris Yang Kedua Negeri Perlis, Yang Amat Mulia (YAM) Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail.

Menyambut keberangkatan baginda ialah Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) AADK, Encik Zainudin Abdullah, Pengarah Bahagian Penguatkuasaan dan Keselamatan AADK, Encik Mahadzir Elias, Pengarah AADK Negeri Perlis, Encik Mohamad Zaki Farkhi Ahmad, serta ketua-ketua jabatan, agensi negeri dan persekutuan di Negeri Perlis.

YBhg. Datuk Ruslin turut merakamkan penghargaan atas keprihatinan Tuanku Raja Muda Perlis kerana mengaspirasikan negeri yang bebas daripada penyalahgunaan dadah dan sentiasa memberikan perhatian serta penekanan terhadap isu-isu dadah.

Menurut beliau, baginda menjadi inspirasi kepada semua pihak untuk bersama-sama memperluas penyampaian mesej pencegahan dan juga memerangi penyalahgunaan dadah kepada masyarakat selain menggalakkan amalan gaya hidup sihat.

Program tersebut menjadi platform strategik dalam memperkukuh kerjasama antara jabatan dengan agensi, di samping memperluas penyampaian mesej pencegahan penyalahgunaan dadah kepada masyarakat dan semua ketua jabatan.

Mesej yang diterima oleh para ketua jabatan diharap dapat diteruskan kepada seluruh pegawai dan kakitangan di agensi masing-masing supaya kesedaran mengenai bahaya penyalahgunaan dadah dapat diperluas ke setiap peringkat organisasi.

“Peserta yang terlibat dalam program kayuhan ini terdiri daripada individu yang mempunyai pengaruh dan peranan penting dalam organisasi masing-masing. Mereka merupakan ejen penyampai yang amat signifikan bagi usaha pencegahan dadah apabila kembali ke jabatan dan komuniti masing-masing,” ujar beliau.

YBhg. Datuk Ruslin turut berharap agar Program Jelajah Aspirasi Bebas Dadah dapat diteruskan sebagai platform untuk menyebarluaskan mesej pencegahan dadah kepada masyarakat, selain menggalakkan amalan gaya hidup sihat melalui aktiviti berbasikal.

Bersempena dengan program tersebut juga, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan menyempurnakan penyerahan sumbangan agihan zakat MAIPs kepada tiga orang asnaf terpilih.

Setiap penerima menerima bantuan wang tunai sebanyak RM700, Kit MAIPs Peduli serta beras fidyah bagi membantu meringankan beban perbelanjaan harian mereka.

Asnaf yang terpilih pada edisi kali ini ialah Encik Mad Kasa Talib dan Encik Che Mah Ariffin yang kedua-duanya berumur 70 tahun dari Felda Mata Air, serta Encik Dan@Zain Salleh berumur 81 tahun dari Kampung Sena Dalam, Jalan Padang Besar.

Kredit Foto: Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi