Diterbitkan pada 2 Julai 2026, 12:14

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Yang Amat Berhormat (YAB) Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim menyifatkan penerbitan buku bertajuk Gagasan Anwar Ibrahim dalam Peradaban Budaya Bangsa bakal menjadi sumber rujukan buat generasi mendatangkan, khususnya dalam usaha memperkukuh nilai diri dan pembangunan bangsa.

Menerusi satu hantaran di laman Facebook rasmi beliau semalam, YAB Dato’ Seri Anwar berkongsi rasa berbesar hati apabila diberi kesempatan untuk meneliti dan menyumbangkan pandangan secara langsung terhadap manuskrip penulisan naskhah berkenaan.

Perdana Menteri semasa berbincang dengan YBhg. Profesor Emeritus Datuk Dr. Nik Safiah Abdul Karim berhubung dengan naskhah yang bakal diterbitkan itu.

Lebih membanggakan, karya tersebut mendapat sentuhan kepakaran Tokoh Akademik Negara yang juga tokoh bahasa tersohor, YBhg. Profesor Emeritus Datuk Dr. Nik Safiah Abdul Karim, dalam aspek penyediaan dan pengolahan kandungannya.

Buku ini merupakan hasil nukilan Pakar Linguistik dari Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya (UM), YBrs. Profesor Dr. Salinah Ja’afar.

“Saya telah ditemu bual secara eksklusif oleh kedua-duanya bagi menyempurnakan semua bahagian di dalam penulisan buku ini.

“Saya mengucapkan terima kasih atas usaha daripada penulis yang ingin merakam serta menggarap idea, pandangan dan sudut fikir saya berkaitan dengan pengalaman hidup serta pembacaan yang akan diulas secara terperinci di dalam buku ini,” jelas beliau dalam hantaran tersebut.

Mengakhiri perkongsiannya, YAB Perdana Menteri meletakkan harapan yang tinggi agar naskhah yang menghimpunkan sejarah pemikiran dan peradaban itu mampu dimanfaatkan bersama demi pembinaan landasan budaya bangsa yang lebih utuh pada masa hadapan.

Kredit Foto: Pejabat Perdana Menteri
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi