Diterbitkan pada 5 Julai 2026, 17:41

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Pilah – Cement Industries of Malaysia Berhad (CIMA) menyumbangkan sebanyak RM200,000.00 bagi menjayakan program Projek Sinergi Akademik: Melestarikan Kecemerlangan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2026 yang melibatkan sekolah di daerah Kuala Pilah, Jempol dan Jelebu.

Sumbangan itu disampaikan menerusi penyerahan cek cura oleh Yang Amat Mulia (YAM) Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin Ibni Tuanku Muhriz selaku Pengerusi CIMA pada majlis yang berlangsung semalam di Dewan Seminar Pendeta Za’ba, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kuala Pilah, dengan kerjasama PPD Kuala Pilah, PPD Jempol dan Jelebu, serta CIMA.

YAM Tunku Ali Redhauddin berkata, “Semoga program ini bermanfaat untuk para pelajar di semua sekolah Daerah Jempol, Jelebu dan Kuala Pilah, serta dapat meningkatkan lagi prestasi pencapaian SPM bagi kedua-dua daerah.”

“Projek tersebut menghimpunkan pelajar terpilih berdasarkan keputusan Peperiksaan Akhir Sesi Akademik (PASA) Tingkatan Empat, dengan pemilihan semula boleh dibuat berdasarkan keputusan pihak pengurusan.

Sementara itu, Ketua Bidang Bahasa SMK Palong Tujuh (F), Puan Rosmini Mamat berkata, “Diharapkan program ini dapat membantu meningkatkan kemahiran menjawab bagi mata pelajaran yang dipilih, iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sejarah melalui perkongsian oleh para penceramah yang berpengalaman bagi mata pelajaran tersebut.”

“Program ini juga diharapkan dapat melonjakkan lagi prestasi para pelajar yang terlibat dalam peperiksaan SPM 2026 bagi kedua-dua kumpulan harapan dan aspirasi,” ujarnya.

YAM Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin Ibni Tuanku Muhriz semasa menyampaikan ucapan perasmian program Projek Sinergi Akademik: Melestarikan Kecemerlangan SPM 2026, di PPD Kuala Pilah, semalam.

Seorang peserta, Nur ‘Aini Zulaikha Shamsulazman dari SMK Palong Tujuh (F) berkata, “Program ini sangat bermanfaat terutamanya bagi subjek teras seperti Bahasa Melayu, Matematik, Bahasa Inggeris dan Sejarah kerana membantu pelajar memahami topik yang sukar dengan lebih mudah melalui penerangan yang jelas, latihan yang berfokus, serta teknik menjawab soalan peperiksaan.”

Beliau berkata, “Penceramah juga banyak berkongsi teknik dan strategi menjawab soalan mengikut kehendak peperiksaan serta tip untuk memperoleh markah yang tinggi dan mencapai keputusan yang cemerlang, selain meningkatkan keyakinan, motivasi dan minat pelajar.”

“Saya juga berpeluang berkenalan dengan rakan-rakan dari sekolah lain yang sangat baik dan sentiasa saling membantu sepanjang program berlangsung, selain dapat bertukar pendapat, berkongsi ilmu serta berbincang tentang cara pembelajaran yang lebih berkesan,” jelasnya.

YAM Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin Ibni Tuanku Muhriz menyampaikan cek cura sumbangan bernilai RM100,000.00 bagi program Projek Sinergi Akademik: Melestarikan Kecemerlangan SPM 2026 di Daerah Jempol dan Jelebu.

Turut hadir, Pegawai Pendidikan Daerah Kuala Pilah, Tuan Haji Kamanizam Haji Tindek, Pegawai Pendidikan Daerah Jempol dan Jelebu, Tuan Haji Murad Nordin, serta Pengarah Urusan CIMA, Encik Hairol Azizi Tajudin.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi