Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKangar – Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan berangkat menyempurnakan perasmian Majlis Hari Anugerah Cemerlang dan Hari Kokurikulum Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tuanku Lailatul Shahreen yang berlangsung di Dewan Syed Sirajuddin Areeb Putra, Padang Behor, baru-baru ini.
Keberangkatan tiba baginda telah disambut oleh Pengarah Pendidikan Negeri Perlis, Encik Rose Aza Che Arifin dan Pengetua Sekolah, Puan Lili Mariam Mohammad @ Mokhtar.
Tuanku Lailatul Shahreen dalam titah perutusan baginda menzahirkan bahawa majlis yang penuh bermakna ini merupakan wadah untuk menghargai kejayaan serta usaha gigih para murid, di samping mencerminkan komitmen berterusan seluruh warga sekolah dalam membudayakan kecemerlangan pendidikan.
Baginda bertitah, majlis penganugerahan tersebut bukan sekadar pentas untuk mengiktiraf pencapaian akademik semata-mata, malah menjadi simbol kejayaan sekolah dalam melahirkan murid yang seimbang dari aspek jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial, selaras dengan hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan.
Tuanku Raja Puan Muda turut merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada semua penerima anugerah atas kejayaan yang telah dicapai.
“Jadikanlah pengiktirafan ini sebagai pemangkin untuk terus menimba ilmu, memperkukuh sahsiah serta membina karakter unggul agar menjadi insan yang memberi manfaat kepada masyarakat dan negara.
“Ingatlah bahawa kecemerlangan sebenar bukan hanya diukur melalui pencapaian akademik, tetapi turut terserlah melalui pembinaan akhlak yang mulia, disiplin yang tinggi serta keazaman untuk terus berbakti,” titah baginda.
Sempena majlis tersebut, Tuanku Raja Puan Muda berkenan menyempurnakan penyampaian Anugerah Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis kepada Muhammad Irfan Hadi Mohamad Yusri.
Baginda juga berkenan menyampaikan Anugerah Khas Kategori Murid kepada Nur Zulaikha Julaihi (Ikon Akademik), Muhammad Afif Syafiq Shariffudin (Ikon Kepimpinan dan Ikon Sukan) serta Izz Damia Rizq Muhammad Faizal (Ikon Koakademik).
Selain itu, baginda berkenan menyempurnakan penyampaian Anugerah Pencapaian Terbaik Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 kepada para pelajar cemerlang sebagai tanda penghargaan atas kecemerlangan akademik yang telah mereka kecapi.
Sebanyak tujuh orang pelajar menerima anugerah bagi kategori 9A, enam orang pelajar bagi kategori 8A, 11 orang pelajar bagi kategori 7A, manakala lima orang pelajar lagi menerima anugerah bagi kategori 6A.
DYTM Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen menzahirkan harapan agar SMK Tuanku Lailatul Shahreen akan terus melakar lebih banyak kejayaan dan kecemerlangan pada masa hadapan, seterusnya kekal sebagai sebuah institusi pendidikan yang unggul serta menjadi kebanggaan rakyat negeri Perlis.
Baginda turut mendoakan agar segala usaha murni, komitmen dan pengorbanan yang dicurahkan oleh seluruh warga sekolah sentiasa dikurniakan keberkatan, rahmat dan lindungan daripada Allah SWT demi melahirkan generasi pewaris negara yang cemerlang, berakhlak mulia dan berdaya saing.

Pada masa yang sama, Pengetua Sekolah, Puan Lili Mariam memaklumkan sekolah tersebut terus membuktikan kecemerlangan sebagai antara institusi pendidikan terbaik di Perlis apabila mencatat keputusan memberangsangkan dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 dengan mencapai kelulusan 100 peratus serta merekodkan Gred Purata Sekolah (GPS) 3.19, meningkat daripada 3.35 pada tahun sebelumnya.
Peningkatan sebanyak 0.16 mata itu sekali gus mengekalkan trend peningkatan GPS selama tiga tahun berturut-turut, serta mencerminkan keberkesanan usaha berterusan pihak sekolah dalam memperkasakan kecemerlangan akademik.
Selain kecemerlangan akademik, SMK Tuanku Lailatul Shahreen turut menyerlah pada peringkat kebangsaan dan antarabangsa, iaitu sebanyak 16 orang murid berjaya menduduki peperiksaan Diploma d’Études en Langue Française (DELF).
DELF merupakan pengiktirafan rasmi kerajaan Perancis dalam penguasaan bahasa Perancis dan Muhammad Aisar Burhanudin pula tersenarai antara 10 calon terbaik peringkat kebangsaan bagi tahap A1.
Dalam bidang kokurikulum dan sukan, warga sekolah turut mengharumkan nama Perlis menerusi pelbagai kejayaan pada peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa.
Antara pencapaian membanggakan termasuklah murid-murid mewakili negeri dalam sukan tenis, golf, skuasy, renang, memanah tradisional dan lompat tali, termasuk kejayaan meraih pingat di Hong Kong Rope Skipping Championship 2026 serta Andaman Championship di Satun, Thailand.
Sementara itu, kejayaan pasukan bola sepak sekolah bawah 18 tahun turut muncul tempat ketiga peringkat negeri.
Dalam bidang inovasi, Pasukan Pembimbing Rakan Sebaya (PRS) sekolah berjaya merangkul dua pingat emas, masing-masing dalam Perlis International Engineering Invention and Innovation Exhibition (Pi-ENVEX) 2026 yang melibatkan penyertaan daripada 11 negara serta International Invention, Innovation and Design Competition 2026.
Bidang kesenian turut mencatat kejayaan apabila Puteri Ainul Farisya Zuraimi dinobatkan sebagai Johan Pertandingan Nyanyian GENTA SUARA 2026 peringkat negeri Perlis dan akan mewakili negeri ke peringkat kebangsaan.
Puteri Ainul Farisya turut dipilih mewakili Perlis dalam Pertandingan Tarian Sekolah-sekolah Malaysia (Generasi MADANI) Peringkat Kebangsaan, manakala kumpulan nasyid sekolah, Sautul Mubin, muncul johan dalam pertandingan Festival Nasyid Peringkat Zon Utara 2026.