Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangAlor Gajah – Sebanyak 120 orang guru dari tiga buah negeri, iaitu Johor, Melaka dan Negeri Sembilan menyertai kursus Pena MADANI Zon Selatan bertempat di Pusat Latihan Kenegaraan Alor Gajah.
Program yang berlangsung selama tiga hari, bermula dari 1 Julai hingga 3 Julai 2026 itu bertujuan untuk memperkukuh kefahaman guru terhadap nilai integriti, kenegaraan, serta peranan mereka sebagai penjawat awam yang bertanggungjawab.
Pegawai Tugas-tugas Khas kepada Menteri Pendidikan, YBrs. Dr. Radin Muhd Aminuddin berkata, guru sewajarnya bertindak sebagai penyampai maklumat yang tepat, sahih dan beretika kepada murid serta masyarakat.
Tegas beliau, guru merupakan tonggak utama dalam pembentukan pemikiran generasi dan pembinaan tamadun sesebuah negara.
“Setiap pendidik perlu memiliki keupayaan membina naratif MADANI yang jelas agar nilai integriti, kenegaraan dan perpaduan dapat disampaikan dengan berkesan kepada murid,” katanya ketika menyampaikan perkongsian beliau dalam kursus itu.
Menurut beliau lagi, ancaman sebenar terhadap sesebuah negara bukan hanya berpunca daripada kejatuhan ekonomi atau ancaman keselamatan, malah turut didorong oleh penyebaran naratif yang salah, budaya fitnah dan kekaburan nilai dalam masyarakat.
Katanya, kursus ini menjadi pemangkin yang melahirkan warga pendidik yang lebih cakna terhadap isu semasa, berfikiran kritis dan mampu menggalas amanah sebagai pembina generasi MADANI demi kesejahteraan dan kemajuan negara.
Sementara itu, Jurulatih Utama Kebangsaan Kenegaraan (Malaysia MADANI), Encik Muhammad Hanzalah Zullkeflee menjelaskan bahawa para guru perlu menguasai dan memahami konsep penciptaan naratif video yang memfokuskan isu kenegaraan dalam konteks keguruan.
Tambahnya lagi, para pendidik mesti memanfaatkan media sosial sebagai platform penerangan yang strategik bagi menyokong agenda Kementerian Pendidikan Malaysia.
“Guru menjadi ejen penyebar maklumat yang sahih dan memainkan peranan penting dalam pembinaan masyarakat yang berilmu, berintegriti dan cintakan negara,” ujarnya.
Pada masa yang sama, peserta kursus, Nurul Shahirin Rosli berkata, penganjuran kursus ini diharapkan dapat membuka mata para pendidik tentang saluran atau wadah penulisan yang tepat seperti Dewan Bahasa dan Pustaka, sebagai panduan dalam penyaluran maklumat yang telus kepada masyarakat.