Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Sebanyak 12,974 ribu calon telah mendaftar untuk menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia Ulangan (SPMU) Tahun 2026 yang dijadualkan berlangsung bermula 14 Julai 2026 hingga 16 Julai 2026.
Menurut kenyataan media KPM hari ini, peperiksaan tersebut bakal melibatkan tiga mata pelajaran utama, iaitu Bahasa Melayu, Sejarah, dan Matematik di 188 pusat peperiksaan di seluruh negara.
Bagi memastikan kelancaran sepanjang tempoh peperiksaan, KPM telah melantik sebanyak 1,530 ribu petugas bagi mengendalikan Ujian Bertulis dan Ujian Mendengar Bahasa Melayu. Manakala, 1,366 ribu petugas pula ditugaskan untuk menguruskan Ujian Bertutur Bahasa Melayu.
Sehubungan dengan itu, KPM mengingatkan semua calon agar menyemak dan merujuk jadual waktu peperiksaan bagi mendapatkan butiran lengkap mengenai tarikh, masa, kod, dan kertas peperiksaan serta arahan keselamatan yang perlu dipatuhi.
“Jadual waktu tersebut boleh dimuat turun melalui portal rasmi Lembaga Peperiksaan di pautan lp.moe.gov.my,” Jelas KPM.
KPM mengingatkan calon SPMU 2026 untuk membawa dokumen penting seperti dokumen pengenalan diri dan pernyataan pendaftaran peperiksaan semasa hadir ke pusat peperiksaan.
Sementara itu, calon SPMU 2026 juga boleh mencetak dokumen pendaftaran menerusi portal Sistem Pengurusan Peperiksaan Atas Talian di pautan sppat.moe.gov.my.
KPM turut menegaskan agar semua pihak yang terlibat mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan peraturan yang telah ditetapkan demi memastikan pengurusan SPMU Tahun 2026 berjalan dengan lancar.