Diterbitkan pada 28 Julai 2026, 16:56

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Malaysia melangkah setapak lagi dalam memperkukuh ekosistem teknologi negara menerusi pelancaran rasmi kecerdasan buatan (AI) Malaysia, yang menjadi antara inisiatif penting ke arah merealisasikan aspirasi Negara AI menjelang tahun 2030.

Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim berkata, inisiatif itu dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 100,000 belia dengan menyediakan peluang untuk mereka meningkatkan kemahiran serta terlibat secara aktif dalam pembangunan teknologi AI.

Menurut beliau, generasi muda tidak seharusnya menjadi pengguna teknologi semata-mata, sebaliknya perlu dibimbing untuk menjadi pencipta nilai, peneroka inovasi dan pemacu kemajuan negara pada masa hadapan.

“Pelancaran AI Malaysia merupakan satu lonjakan penting dalam perjalanan negara menuju aspirasi Negara AI menjelang 2030.

“Inisiatif ini akan memastikan golongan belia mempunyai pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan untuk mengambil bahagian dalam ekonomi berasaskan AI,” ujarnya.

Sebagai entiti pelaksana teras, AI Malaysia akan mengemudi Pelan Tindakan AI Kebangsaan 2026–2030 yang memberikan tumpuan kepada usaha memperluas penggunaan AI dalam pelbagai sektor secara selamat, beretika dan bertanggungjawab.

Pelaksanaannya turut disokong oleh Institut Keselamatan AI Malaysia yang berperanan membantu memastikan pembangunan serta penggunaan teknologi berkenaan tidak menjejaskan keselamatan, hak dan kepentingan masyarakat.

Beliau menyatakan bahawa kemajuan digital perlu memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat serta tidak menyebabkan mana-mana golongan tercicir daripada arus pembangunan.

Pada masa yang sama, kerjasama antara kerajaan, industri, institusi pendidikan, penyelidik dan masyarakat perlu diperkukuh bagi membina ekosistem AI yang berdaya saing dan diyakini.

Beliau menyifatkan pelancaran AI Malaysia sebagai permulaan penting dalam usaha meningkatkan kesejahteraan rakyat, memperkukuh keselamatan negara dan mempersiapkan Malaysia untuk menghadapi perubahan ekonomi global.

Beliau turut mengajak seluruh rakyat berganding bahu untuk membina masa hadapan digital yang inklusif, selamat dan berdaya saing demi kemakmuran negara.

Kredit Foto: Facebook YAB Dato' Seri Anwar Ibrahim
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi