Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPort Dickson – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan bahawa peratus keluar mengundi (VTO) keseluruhan bagi hari pengundian awal Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Negeri, Negeri Sembilan Ke-16 telah merekodkan sebanyak 88.97 peratus setakat pukul 3.00 petang tadi, di samping meletakkan unjuran VTO yang mampu mencecah sebanyak 75 peratus pada hari pengundian, Sabtu ini.
Berdasarkan statistik yang dikeluarkan, kategori pengundi melibatkan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pasukan Gerakan Am (PGA) serta pasangan mencatatkan kadar peratusan tertinggi, iaitu sebanyak 93.24 peratus yang merangkumi sebanyak 4,824 orang daripada keseluruhan 5,174 pengundi berdaftar.
“Pencapaian keseluruhan sebanyak 14,651 orang pengundi awal pada kali ini dilihat menunjukkan peningkatan yang ketara berbanding rekod PRU Dewan Negeri Sembilan Ke-15 pada tahun 2023 yang sekadar mencatatkan 62.30 peratus,” menurut hantaran yang dikeluarkan SPR hari ini.
Menyentuh mengenai prospek pengundian pada Sabtu, Pengerusi SPR, YBhg. Datuk Seri Ramlan Harun menyatakan bahawa,
Berdasarkan pemerhatian terhadap persaingan sengit suasana kempen, pihak SPR yakin bahawa sasaran 72 hingga 75 peratus pengundi itu mampu direalisasikan,
Mengulas mengenai perkembangan proses pengundian awal hari ini, beliau memaklumkan bahawa secara keseluruhan operasi di pusat-pusat mengundi mencatatkan kelancaran yang amat baik, teratur dan dalam keadaan terkawal.
“Alhamdulillah, semuanya berjalan dengan lancar dan tertib, walaupun ada beberapa kes kecil yang telah pun kita selesaikan,” ujar beliau bagi mengesahkan situasi terkini.
Menyentuh mengenai pemantauan pihak SPR sepanjang tempoh berkempen pula, beliau mendedahkan bahawa agensi tersebut telah menerima sebanyak 206 aduan rasmi berhubung dengan pelbagai kesalahan pilihan raya.
Walau bagaimanapun, beliau menjelaskan bahawa aduan-aduan tersebut majoritinya sekadar membabitkan kesalahan kecil, terutamanya isu yang berkaitan dengan pemasangan bahan-bahan kempen.
“Secara umumnya PRN kali ini berjalan dengan baik, tertib dan aman, tahniah kepada orang Negeri Sembilan,” puji beliau atas tahap kematangan amalan politik masyarakat di kawasan tersebut.
Berdasarkan rekod, sebanyak 20 pusat mengundi awal daripada 38 buah pusat mengundi telah ditutup sehingga pukul 2.00 petang tadi.