Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKUALA LUMPUR – Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memperkenankan peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin sebagai Perdana Menteri.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin menerusi kenyataan Istana Negara berkata, susulan peletakan jawatan ini, Seri Paduka Baginda berkenan supaya Muhyiddin menjalankan tugas sebagai Perdana Menteri sementara sehingga Perdana Menteri baharu dilantik.
Hal ini adalah selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahawa Seri Paduka Baginda hendaklah melantik seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hemat Baginda mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat sebagai Perdana Menteri baharu untuk mempengerusikan Jemaah Menteri.
Dalam kenyataan itu, Seri Paduka Baginda turut menzahirkan penghargaan kepada Muhyiddin dan Jemaah Menteri atas khidmat bakti dan tadbir urus negara yang telah dilaksanakan di bawah Perikatan Nasional bermula 1 Mac 2020, khususnya dalam memerangi COVID-19.
“Selaku Ketua Utama Negara, Seri Paduka Baginda memahami dan menghormati sistem dan proses perundangan negara dan juga menghormati apa-apa keputusan yang dibuat oleh Muhyiddin berteraskan keluruhan Perlembagaan Persekutuan dan kedaulatan undang-undang,” ujar kenyataan itu.
Seri Paduka Baginda berkenan menerima menghadap Muhyiddin di Istana Negara pada pukul 12.23 tengah hari dan perjumpaan itu berlangsung selama 30 minit. Selain peletakan jawatan Muhyiddin, Seri Paduka Baginda turut berkenan menerima surat peletakan jawatan seluruh Jemaah Menteri dengan serta-merta berkuat kuasa pada hari ini. Terdahulu, Seri Paduka Baginda turut berkenan menerima menghadap Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali; Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun; serta Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya, Datuk Abdul Ghani Salleh.