Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangGombak – Selepas terhenti akibat wabak COVID-19, Mesyuarat Jawatankuasa Perpustakaan Undang-Undang (JKPUU) kembali diadakan pada 24 September 2024 di Perpustakaan Dar al-Hikmah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
Dalam pertemuan mesyuarat itu, pustakawan undang-undang dari seluruh Malaysia dihimpunkan untuk melantik dan membentuk barisan kepimpinan baharu bagi sesi 2024–2026 dan mengadakan sesi perkongsian maklumat sesama ahli.
Mesyuarat yang berlangsung selama satu hari itu membincangkan agenda penting, termasuklah bengkel penyediaan takwim yang merangkumi pelbagai aktiviti dan program bagi tempoh dua tahun akan datang.

Selain itu, bengkel ini bertujuan untuk merangka pelan tindakan strategik dan juga pelibatan aktiviti profesional seperti seminar, latihan, kolokium serta program berkaitan dengan perpustakaan undang-undang yang dapat memperkasakan peranan pustakawan undang-undang di Malaysia.
Mesyuarat JKPUU juga menyokong Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) 4: Pendidikan Berkualiti, yakni telah berlangsung sesi perkongsian maklumat dalam kalangan pustakawan undang-undang yang hadir.
Para pustakawan berkesempatan untuk berkongsi kekuatan koleksi dan bidang kepakaran di setiap agensi atau universiti masing-masing.
Pada masa yang sama, mereka bertukar pendapat akan koleksi istimewa, termasuklah bahan nadir yang sukar didapati, serta sumber undang-undang yang menjadi keunikan perpustakaan mereka.
Perkongsian ini membuka peluang bagi institusi lain untuk mendapat manfaat terhadap pengaksesan kepada bahan tersebut, sekali gus memperkukuhkan kerjasama antara perpustakaan undang-undang di Malaysia.
Antara institusi yang hadir, termasuklah Universiti Malaya (UM), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Multimedia University (MMU), Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia, Institut Latihan Kehakiman dan Perundangan (ILKAP) dan Suruhanjaya Sekuriti.

Sementara itu, Pengerusi JKPUU, Puan Yusrina Abu Bakar berkata,
Saya bersyukur kepada Allah SWT atas ruang dan peluang penganjuran mesyuarat pertama JKPUU tahun 2024 ini.
“Terima kasih atas kehadiran dan luangan masa semua ahli. Mesyuarat ini bukan sahaja untuk kita saling mengenali, tetapi juga sebagai platform untuk perkongsian ilmu yang bermanfaat.
Ujarnya lagi,
Kini adalah masa untuk kita merealisasikan semua aktiviti yang dirancang dan sekarang masanya untuk kita bertindak.
Dengan penubuhan pucuk kepimpinan baharu dan pelaksanaan agenda yang strategik, pertemuan ini bukan sahaja memperkukuhkan jaringan dalam kalangan ahli, tetapi juga mempromosikan perkongsian ilmu yang akan memberikan impak positif kepada perkembangan peranan perpustakaan undang-undang di negara ini.
Tuan Safa’at Tuan Ameri, Setiausaha Jawatankuasa Perpustakaan Undang-Undang (JKPUU) Sesi 2024-2026