Diterbitkan pada 21 November 2024, 12:32

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Perkembangan moden ekonomi Islam bermula pada suku kedua abad ke-21. Kini, ekonomi Islam menjadi sebuah sistem ekonomi global yang lebih berinovasi seiring dengan arus kemodenan dunia.

Terdapat dua faktor utama yang menyumbang kepada perkembangan ekonomi Islam, iaitu yang pertama ialah permintaan. Faktor permintaan ini didorong oleh pertambahan populasi penduduk Islam di seluruh dunia. Demografi penduduk Islam dunia juga dilihat kian meningkat dan hal ini memberikan kesan yang positif terhadap pertumbuhan perbelanjaan pengguna Islam pada peringkat global.

Yang kedua ialah faktor penawaran. Kerancakan faktor penawaran ini disokong oleh negara anggota Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) yang sekali gus membantu pertumbuhan terhadap penawaran produk dan perkhidmatan yang memiliki tahap pematuhan syariah dan halal bagi pasaran pada peringkat global. Sekiranya permintaan semakin meningkat, maka penawaran juga turut meningkat dalam pasaran. Perkara ini akan menjadi satu titik keseimbangan di mana harga dan kuantiti barangan dan perkhidmatan yang ditawarkan adalah pada tahap yang optimum.

Laporan daripada Dinar Standard, iaitu sebuah organisasi yang menjalankan kajian mengenai ekonomi Islam pada peringkat global, sebanyak anggaran dua bilion pengguna Muslim yang membelanjakan USD 2.29 trilion pada tahun 2022 terdiri daripada sektor makanan, farmasi, kosmetik, fesyen, pelancongan, media dan rekreasi. Manakala jangkaan terus meningkat menjelang tahun 2027, dengan nilai mencecah USD 3.1 trilion bersamaan dengan kadar pertumbuhan sebanyak 4.8% dalam tempoh lima tahun. Berdasarkan kajian oleh Pew Research Center’s Forum on Religion and Public Life, populasi global masyarakat Islam mencecah 1.9 bilion pada tahun 2019 dan dijangka meningkat kepada 3 bilion dalam 40 tahun yang akan datang. Pada  tahun 2023, populasi masyarakat Islam dunia sudah melebihi 2 bilion. Maka itu, gaya hidup masyarakat Islam bakal menguasai pasaran global. Pertumbuhan yang positif ini terus menarik minat syarikat terkemuka dunia dalam pelbagai sektor untuk menawarkan produk dan perkhidmatan yang lebih berdaya saing dan berkualiti tinggi dalam pasaran.

Kehebatan ekonomi Islam di Malaysia pula dibuktikan melalui satu laporan yang dikeluarkan oleh Dinar Standard. Menurut laporan tersebut, “State of The Global Islamic Economy 2023/24”, Malaysia berada pada kedudukan teratas untuk sepuluh tahun berturut-turut sebagai negara yang mempunyai perkembangan ekonomi Islam yang terbaik di dunia, diikuti oleh negara besar lain seperti Arab Saudi, Indonesia, Emiriah Arab Bersatu (UAE). Manakala Indonesia pula naik ke tangga ketiga sebagai sebuah negara terbaik.

Penilaian ini terdiri daripada 49 penunjuk yang dibahagikan kepada empat komponen yang dikenal pasti menjadi pemberat kepada tahap pembangunan ekonomi Islam. Penilaian ini dilaksanakan berdasarkan prestasi tahap kewangan, tadbir urus yang mematuhi garis panduan syariah, kesedaran masyarakat tentang kepentingan penggunaan barangan dan perkhidmatan Islam, dan kesan sosial terhadap penggunaan barangan serta perkhidmatan Islam. Penunjuk ini digunakan sebagai penanda aras ekosistem negara terkemuka dunia yang mampu menyokong perkembangan perniagaan ekonomi Islam secara relatif kepada saiz populasi negara yang lebih bersifat terangkum.

Laporan tersebut juga menjelaskan bahawa sektor ekonomi yang memacu barangan dan perkhidmatan Islam yang berada di pasaran global terbahagi kepada enam kategori, iaitu sektor makanan dan minuman halal, kosmetik halal, industri pakaian, media dan rekreasi, kewangan Islam, farmasi dan pelancongan Islam. Secara tidak langsung melalui pencapaian tersebut, banyak pelabur luar yang melihat Malaysia sebagai negara terbaik dalam menerajui industri halal dan ekonomi Islam. Perkembangan ekonomi Islam di Malaysia terus mendapat tempat di pasaran setanding dengan barangan dan perkhidmatan konvensional lain.

Terkini, Belanjawan 2025 menyokong penuh usaha sama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Halal Development Corporation Berhad (HDC) dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dalam mengukuhkan industri halal negara dengan peruntukan sebanyak RM20 juta selaras dengan Pelan Induk Industri Halal 2030 Malaysia yang sedang memfokuskan matlamatnya untuk menyumbang sebanyak RM75.2 billion atau 11% kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara menjelang tahun 2030.

Pelbagai usaha telah dilaksanakan oleh pihak HDC. Pada Ogos 2024, pihak HDC bersama-sama Malaysian Association of Hotels Training and Education Center (MAHTEC) telah menandatangani satu perjanjian memorandum bertujuan untuk meningkatkan ekosistem Halal Malaysia dengan mengintegrasikan industri perkhidmatan perhotelan ke arah pembangunan hospitaliti berteraskan halal dan patuh syariah. Menurut pengerusi HDC, Encik Khairul Azwan  Harun, agenda ini juga turut termaktub dalam Pelan Induk Industri Halal 2030, iaitu untuk membangunkan perkhidmatan hospitaliti mesra Muslim sebagai sektor utama bagi pertumbuhan ekonomi negara Malaysia. Selain itu, Malaysia telah menduduki tangga teratas dalam perkhidmatan hospitaliti mesra Muslim ini sejak 8 tahun berturut-turut dalam Global Muslim Trave Index (GMTI). Perkara tersebut merupakan satu pencapaian yang perlu dibanggakan apabila Malaysia kekal unggul di mata dunia.

Dari segi penerimaan rakyat Malaysia pula, ekonomi Islam dan industri halal ini begitu sinonim dengan budaya rakyat Malaysia, tidak kira kaum bangsa dan agama. Hal ini menunjukkan satu keharmonian yang tercipta dan terjaga sejak sekian lama dalam ekosistem ekonomi Islam negara Malaysia. Pada masa akan datang, pemerkasaan produk halal tidak tertumpu hanya pada produk sahaja, bahkan mungkin lebih banyak perkhidmatan yang akan diinovasi oleh pemain industri dan dapat dimanfaatkan oleh semua umat Islam di seluruh negara. Pemain industri juga dapat memanfaatkan industri halal sebagai satu peluang yang patut untuk mereka laburkan kerana mampu membuka pasaran perniagaan mereka pada peringkat global. Selain itu, sektor ini dapat dimanfaatkan oleh rakyat Malaysia dalam meningkatkan kuasa beli, peluang pekerjaan dan sosioekonomi rakyat Malaysia ke arah yang lebih baik.

Kredit Foto: rc.xyz NFT gallery | Unsplash
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi