Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangJudul: The Prosecutor (Tarikh edaran 21 Disember 2024)
Pengarah: Donnie Yen
Produser: Donnie Yen, Raymond Wong
Pelakon Utama: Donnie Yen, Julian Cheung,Michael Hui, Francis Ng, MC Cheung Tin-fu
Syarikat Penerbit: Mandarin Motion Pictures, Huace Pictures

Pada bahagian penutup filem The Prosecutor, watak Donnie Yen sebagai seorang peguam awam memberitahu bahawa, “Mahkamah Hong Kong mementingkan bukti sebagai dasar pengadilan…”
Malangnya terdapat suatu masalah yang menjadi penyebab di sebalik aksi lincah semua watak dalam filem ini. Tema filem yang berlatarkan isu perundangan dalam masyarakat Hong Kong ini memaparkan beberapa bukti kelemahan dalam sistem perundangan. Sebenarnya, bukti yang dijadikan piawai pengadilan dalam filem boleh diputar belit melalui teknik pujuk rayu peguam yang bijak mempermainkan tatacara perundangan. Akibatnya, orang awam akan jatuh dan menjadi mangsa sistem perundangan.
Kisah bermula dengan seorang cucu kepada lelaki yang tinggal di perumahan flat kos murah Hong Kong yang telah menawarkan alamat rumah untuk dipergunakan sebagai tempat mengepos bungkusan dadah. Teknik meminjam alamat dengan bayaran beribu-ribu dolar telah digunakan oleh sindiket haram untuk mengedar dadah. Demi memperoleh ganjaran yang tinggi, sesetengah individu sanggup mengambil risiko untuk penerima kiriman bungkusan berbahaya yang kemudian diserahkan kepada ahli sindiket haram. Akibatnya cucu remaja kepada seorang datuk yang menjadi tukang bersih diseret ke sidang pengadilan Hong Kong kerana didapati berperanan sebagai penerima bungkusan dadah.
Watak datuk yang kurang berpendidikan pula termakan dengan pujukan sdan menerima cadangan peguam agar cucunya mengaku salah kerana dijamin akan menerima keampunan oleh pihak pendakwa awam dan hanya berdepan dengan hukuman ringan. Ternyata hukuman yang dijatuhkan sebaliknya, iaitu 10 tahun lantas memberikan kejutan besar kepada mereka, sekaligus menjadi realiti pahit bagi mereka.
Petikan kata watak Michael Hui sebagai pendakwa raya dalam filem ini,
“Kadang-kadang kita tahu seseorang itu tidak bersalah, tetapi sekiranya terdapat bukti, kita akan menjatuhkan hukum.” Kata-kata watak Francis Ng yang menjadi watak ketua pendakwa pula, “Aku ada sebanyak 38 kes untuk diikuti pada minggu ini, tolong jangan bazirkan sumber negara untuk semakan semula kes kecil.”
Hala tuju plot filem arahan Donnie Yen tidak semudah yang disampaikan oleh penulis. Sebagai pakar kungfu dan pelakon yang berpengalaman serta pernah berhijrah ke Boston USA pada usia 11 tahun, Donnie Yen mengadunkan pelbagai teknik lasak, paparan penipuan peguam (lakonan Julian Cheung yang menghidu serbuk dadah di kelab) dan adegan bergasak dengan pembunuh upahan yang cuba menghapuskan watak seorang datuk yang mempertikaikan keadilan di negaranya.
Dalam garapannya, Donnie Yen menggunakan lensa kamera dengan cerdik sambil mengajak penonton meninjau dunia sindiket haram yang bijak dalam bersubahat dengan pihak peguam umpama peribahasa harapkan pegar, pegar makan padi. Dalam paparan layar perak kelolaan Donnie Yen, pihak terpelajar juga tergamam untuk membuat muslihat bagi membolehkan pelanggannya untuk terus bermaharajalela dalam dunia penyeludupan dadah.
Filem ini bermula dengan adegan tembak-menembak Donnie Yen sebagai seorang pegawai polis yang berkaliber dan tangkas membelasah pihak musuh. Namun begitu, dalam perbicaraan mahkamah, pihak yang bersalah telah berjaya melepaskan diri dalam mahkamah kerana peguam bela pihak pesalah pandai mencari ketirisan dalam sistem perundangan. Seterusnya, watak Donnie Yen dikembangkan dengan meninggalkan dunia polis dan belajar untuk menjadi pendakwa awam supaya beliau boleh menyumbangkan tenaga sebagai ahli Jabatan Pendakwa Kebangsaan.
Filem ini memperkenalkan teknik pertarungan dunia moden yang sangat hebat. Aksi lincah seperti menendang, menumbuk, menerajang dan mencampak lawan dari negara Kemboja ke lantai dan pertarungan antara Donnie Yen dengan beberapa watak jahat mampu mengekalkan perhatian penonton di dalam pawagam.
Kekuatan filem ini pastinay terletak pada teknik kepelbagaian lakonan oleh barisan pelakonnya yang menunjukkan gaya pertuturan bahasa Kantonis yang cukup memberangsangkan. Teknik semiotik para pelakon termasuklah dari segimimik muka, renungan mata, senyum kambing, luapan emosi, jelingan manja, laungan yang berderai dan lentik jari sudah cukup menyampaikan mesej yang dihasratkan.
Dalam satu temu ramah khas antara Donnie Yen bersama-sama seorang wartawan dari Taiwan tentang filem The Prosecutor yang diterjemahkan sebagai Salah Hukum dalam bahasa Kantonis, beliau telah memberitahu bahawa adegan lasak di dalam disko yang pernah dirakam terpaksa dikeluarkan daripada suntingan filem kerana beliau tidak berpuas hati dengan persembahan secara keseluruhan. Kesudahannya, beliau mencari barisan pelakon sambilan, DJ baharu dan membuat perubahan latar tempat bagi penggambaran semula untuk menyampaikan impak lakonan yang dikehendaki olehnya. Hanya jauhari yang mengenal manikam. Begitulah perlambangan yang boleh diberikan kepada Donnie Yen apabila berbicara tentang hasil kerjanya ayng beigtu teliti dalam segala aspek.
Yang pasti, penonton yang bakal mengikuti filem The Prosecutor (bererti Pendakwa dalam bahasa Melayu), pasti akan terpesona dengan teknik aksi lasak yang terhasil. Sebagai pengarah dan pelakon utama filem ini, Donnie Yen mengadunkan hiburan dan persoalan pengadilan secara cemerlang. Sememangnya Donnie Yen tidak hanya bergelar pelakon kungfu yang hebat, malah boleh diiktiraf sebagai pengarah yang cukup teliti dan bertenaga dalam menghidupkan plot daripada kertas putih kepada layar perak.