Diterbitkan pada 24 Januari 2025, 16:41

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Dalam era digital yang pesat berkembang, media sosial menjadi medium utama untuk berkongsi pengalaman serta pandangan berharga dalam kehidupan. Namun begitu, satu fenomena yang semakin mendapat perhatian masyarakat ialah amalan menunjuk-nunjuk anak (sharenting) yang berasal daripada gabungan perkataan bahasa Inggeris share dan parenting. Fenomena ini kian menular dalam kalangan ibu bapa.

Kendatipun fenomena menunjuk-nunjuk anak ini kelihatan tidak berbahaya, tindakan ibu bapa yang terlalu banyak mendedahkan kehidupan anak mereka dengan memuat naik gambar, video atau maklumat peribadi anak mereka secara dalam talian boleh membawa pelbagai implikasi. Antaranya termasuklah ancaman terhadap privasi dan keselamatan kanak-kanak dan masalah etika keibubapaan.

Risiko Keselamatan dalam Talian

Fenomena ini turut mencetuskan kebimbangan, khususnya di bawah konteks Akta Kanak-Kanak 2001 yang menekankan kepentingan perlindungan privasi, keselamatan dan kesejahteraan kanak-kanak. Akses tanpa kawalan terhadap maklumat peribadi kanak-kanak boleh membuka ruang kepada eksploitasi dan jenayah siber yang menjadikan isu ini semakin penting untuk diberikan perhatian.

Menurut kenyataan Menteri Komunikasi, YB Tuan Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil, dalam satu kenaytaan berpandangan bahawa terdapat ibu bapa yang terlalu banyak berkongsi maklumat peribadi anak-anak mereka seperti lokasi persekolahan, pakaian seragam dan lencana sekolah. Tindakan ini membuka peluang kepada pihak yang tidak bertanggungjawab untuk menyalahgunakan maklumat tersebut.

Mengulas isu ini, Pengerusi Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CMCF), Rafiq Razali, dalam kenyataannya yang disiarkan dalam sebuah akhbar arus perdana, menekankan agar ibu bapa dan penjaga perlu berhenti sejenak dan berfikir sebelum menekan butang ‘hantar’. Beliau menegaskan bahawa Internet tidak pernah lupa akan setiap perkongsian yang dilakukan dalam talian kerana perkongsian itu boleh kekal untuk selama-lamanya.

Kanak-kanak yang singgah di reruai CMCF.

Jejak Digital dan Kesan Jangka Panjang

Jejak digital yang terhasil daripada perkongsian ibu bapa tanpa kawalan boleh memberikan kesan yang mendalam terhadap masa hadapan kanak-kanak. Dari segi pendidikan hingga peluang pekerjaan, maklumat yang tersebar tanpa kawalan boleh merosakkan reputasi mereka. Selain itu, kanak-kanak berisiko terdedah kepada penghinaan, rasa rendah diri dan tekanan emosi akibat pendedahan kisah peribadi yang dilakukan tanpa persetujuan mereka.

Perbuatan ini bukan sahaja memberikan kesan terhadap kehidupan sosial kanak-kanak, malah boleh mencetuskan impak jangka panjang terhadap kesejahteraan mental mereka. Oleh itu, ibu bapa perlu lebih berhati-hati dan sedar bahawa setiap perkongsian mereka dalam talian berpotensi memberikan impak besar terhadap kebajikan anak mereka pada masa hadapan.

Tanggungjawab Ibu Bapa dan Penjaga

“Apabila ibu bapa, guru atau penjaga mengutamakan keuntungan berbanding dengan kesejahteraan anak-anak, masyarakat perlu tampil memperjuangkan perlindungan yang lebih kukuh demi menjaga hak dan maruah mereka,” kata Ketua Pegawai Eksekutif CMCF, Puan Mediha Mahmood dalam laporan Utusan Malaysia pada tarikh yang sama.

Masyarakat perlu memainkan peranan dalam menangani perkara ini. Kesedaran kolektif dan tindakan bersama diperlukan untuk memastikan bahawa setiap perkongsian dalam talian benar-benar melindungi dan bukannya mengeksploitasi kanak-kanak. Tanggungjawab ini tidak hanya terletak pada ibu bapa dan penjaga, malah turut melibatkan tanggungjawab masyarakat untuk memberikan sokongan dan kesedaran dalam menjaga kebajikan kanak-kanak di alam maya.

Kes yang melibatkan eksploitasi maklumat yang dikongsi tanpa pertimbangan sewajarnya menunjukkan peningkatan yang membimbangkan di peringkat global. Maklumat yang dikongsi tanpa menyedari implikasinya boleh dimanfaatkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab untuk membina profil kanak-kanak yang kemudiannya dieksploitasi demi kepentingan peribadi. Situasi ini menjadi lebih membimbangkan kerana jenayah sering berlaku tanpa disedari oleh mangsa.

Contoh Antarabangsa dan Langkah Undang-undang

Mengikut penelitian pihak CMCF, beberapa buah negara pada peringkat antarabangsa telah mengambil langkah serius bagi menangani isu ini melalui pembaharuan undang-undang. Sebagai contoh, kanak-kanak di Perancis boleh mengambil tindakan undang-undang terhadap ibu bapa yang berkongsi kandungan peribadi tanpa kebenaran. Mahkamah di Itali juga telah mengarahkan ibu bapa untuk memadamkan perkongsian yang menjejaskan privasi anak mereka.

Di Australia dan Amerika Syarikat pula, perbincangan mengenai penguatkuasaan undang-undang yang serupa sedang giat dijalankan. Walaupun di Malaysia tiada undang-undang khusus yang mengawal isu ini, Kod Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia tetap menekankan kepentingan perlindungan maruah dan privasi kanak-kanak sebagai aspek utama dalam memastikan keselamatan mereka dalam talian.

Kawalan Kendiri dalam Era Digital

Untuk membantu ibu bapa mengawal tabiat amalan menunjuk-nunjuk anak, beberapa langkah kawalan kendiri boleh diambil:

  1. Berfikir sebelum Berkongsi: Pertimbangkan sama ada maklumat yang ingin dikongsi benar-benar perlu dan selamat. Elakkan berkongsi maklumat yang boleh menjejaskan keselamatan anak seperti lokasi sekolah atau aktiviti harian.
  2. Menghormati Hak Anak: Walaupun mereka masih kecil, anak juga mempunyai hak privasi. Fikirkan bagaimana perkongsian hari ini mungkin mempengaruhi mereka pada masa hadapan.
  3. Menggunakan Tetapan Privasi: Pastikan akaun media sosial anda ditetapkan kepada mod “peribadi” dan hanya boleh dilihat oleh individu yang dipercayai.
  4. Mendidik Diri tentang Keselamatan Digital: Sentiasa kemas kini pengetahuan mengenai ancaman keselamatan dalam talian dan cara melindungi diri serta keluarga.
  5. Berhati-hati dengan Kandungan Visual: Elakkan memuat naik gambar anak dalam situasi yang boleh menimbulkan rasa malu atau kurang sesuai, seperti ketika mandi atau tidur.
  6. Mengehadkan Perkongsian Maklumat Sensitif: Elakkan berkongsi maklumat yang boleh digunakan untuk mengesan rutin harian anak seperti lokasi atau aktiviti sekolah yang boleh digunakan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Amalan menunjuk-nunjuk anak mungkin dilihat sebagai cara berkongsi kebahagiaan keluarga, namun amalan ini turut membawa risiko terhadap privasi dan keselamatan kanak-kanak sekiranya melampaui batas. Sebagai ibu bapa dan penjaga, kita bertanggungjawab untuk melindungi masa hadapan anak dan mendapatkan sokongan daripada masyarakat dan kerajaan dalam mencipta ekosistem digital yang lebih selamat.

Perlindungan kanak-kanak tidak terhad pada keperluan asas sahaja, malah turut melibatkan penjagaan privasi dalam dunia digital. Fenomena ini memerlukan kita lebih bijak dalam setiap tindakan dalam alam maya. Pilihan yang dibuat hari ini akan mempengaruhi keselamatan generasi akan datang.

Pelajar yang mengikuti program anjuran CMCF.

Kesedaran masyarakat dan langkah pencegahan proaktif seperti pendidikan keselamatan siber, amalan berkongsi maklumat secara bijak dan pengawasan tegas oleh ibu bapa adalah penting untuk melindungi generasi muda daripada ancaman digital yang semakin kompleks.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi